PERCUBAAN Perikatan Nasional (PN) menggunakan isu tanah rizab Melayu untuk mencetuskan perasaan tidak senang terhadap kerajaan perpaduan gagal, kata Nik Nazmi Ahmad hari ini.
Menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim berkata beliau mampu menjawab soalan PN di Parlimen bagi memaparkan muslihat pembangkang.
“Kalau kita lihat soalan Parlimen (oleh Ismail Abd Muttalib - Maran) dari awal, ditanya dengan tanggapan tanah rizab Melayu semakin berkurangan, malah mereka menulis dalam kurungan yang kawasan itu semakin berkurangan.
“Jadi, mereka nak mainkan sentimen tanah rizab Melayu semakin kurang. Bila saya jawab keseluruhan tanah rizab Melayu (di Semenanjung) bertambah, ahli Parlimen Maran bangun dan beliau bawa isu Melayu terancam dan sebagainya.
“Jadi, beliau ada skrip dan apabila skrip itu tidak sesuai dengan naratif, mereka tuduh saya (berbohong di Parlimen) tetapi secara jujur, mereka perangkap diri sendiri,” katanya.
Awal minggu ini, Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim diarah keluar Dewan selepas enggan menarik balik kenyataan dibuatnya terhadap Nik Nazmi, yang didakwanya berbohong dan mengeluarkan kenyataan palsu mengenai keluasan tanah rizab Melayu di Kedah.
Walaupun menteri berkata keluasan tanah rizab Melayu di negeri itu berkurangan pada 2022, ahli politik PAS itu mendakwa beliau mempunyai bukti menunjukkan sebaliknya.
Awang berkata Nik Nazmi cuba memburukkan kerajaan Kedah.
Bagaimanapun, Nik Nazmi hari ini bertegas dengan jawapan Parlimen yang diberikan pada 29 Mac, mendakwa Kedah merupakan negeri yang banyak kehilangan tanah rizab Melayu dalam tempoh 2021 dan 2022.
“Jawapan yang diberikan di Parlimen ini disediakan oleh ketua pengarah tanah dan galian, di mana jabatan itu mengumpul data tanah rizab Melayu daripada pihak berkuasa negeri masing-masing.
“Data (diberi) tanah rizab Melayu Kedah adalah setakat 30 November 2022, sama seperti yang disebut dalam jawapan saya di Parlimen,” kata ahli Parlimen Setiawangsa itu.
Nik Nazmi bagaimanapun mendakwa data 2023 belum sampai kepadanya.
“Dakwaan ada penambahan tanah rizab Melayu di Kedah selepas (November 2022)... data itu tidak sampai kepada kerajaan persekutuan,” katanya.
Minggu lalu, Nik Nazmi berkata keluasan tanah rizab Melayu yang diwartakan di seluruh Semenanjung menyaksikan sedikit peningkatan walaupun tiga negeri menunjukkan pengurangan saiz.
Nik Nazmi berkata hanya Kedah, Perak dan Kuala Lumpur melaporkan penurunan keluasan tanah rizab Melayu.
“Jika kita lihat secara terperinci antara 2021 dan 2022, setiap negeri mencatatkan pertambahan tanah rizab Melayu kecuali Kedah, iaitu berkurangan daripada 721,888.93 hektar kepada 716,537.28 hektar, Kuala Lumpur berkurangan daripada 1,003.56 hektar kepada 999.48 hektar, dan Perak daripada 953,577,900 dan Perak hektar,” katanya. – 5 April, 2023.
Komen