Kuih baulu untuk si neofilik


Faisal Tehrani

PELANCONGAN adalah salah satu sektor yang menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara. Akan tetapi sering, pelancongan akan dikaitkan dengan pengalaman bermusafir dan kembara semata-mata. 

Makanya yang diberi perhatian ialah kadang-kala aspek warisan budaya yang boleh disentuh dan dilihat seperti bangunan bersejarah, muzium dan industri hospitaliti. 

Salah satu bahagian dari sektor pelancongan yang mungkin terabai ialah pelancongan-gastro, yang merupakan komponen utama dalam kembara itu sendiri.

Untuk kawasan pelancongan yang benar-benar mantap, sering pendiri atau pemaju kawasan tersebut akan turut menitik-beratkan ciri-ciri neofilia yang dapat merangsang minat pelancong-neofilik. 

Kumpulan pelancong neofilik inilah yang benar-benar disasarkan oleh pemaju sektor pelancongan di Korea Selatan. Makanya dalam dekad kebelakangan ini kita bukan sahaja mendengar kisah pelancong ke Korea untuk merasai pengalaman indah di negara tersebut, kita juga secara tanpa sedar diperkenalkan dengan warisan makanan Korea seperti kimchi, bulgogi, samgyeopsal dan aneka ramen. 

Kita menelan bulat-bulat makanan Korea tanpa mempersoalkan kalorinya, khasiatnya, dan mungkin risiko yang dihadirkan bersama-sama. Semata-mata kerana kita ingin jadi sebahagian daripada K-Pop.

Salah satu produk pelancongan-gastro yang mungkin dapat membangkitkan perhatian pelancong-neofilik tentunya beberapa jenis makanan atau kuih warisan kita yang boleh dipasarkan jika diberi perhatian lebih. 

Dalam hal ini pengusaha kecil sederhana dalam bidang makanan ini mesti ditongkatkan bukan sahaja dengan cara pendanaan dan pemasaran yang rapi serta betul, akan tetapi dibantu dengan cara dorongan hasil penyelidikan yang tepat. Saya tidak pasti berapa peruntukkan yang telah dibidak dalam bajet negara baru-baru ini.

Sebagai misalan, produk yang boleh diketengahkan untuk pelancong luar adalah kuih baulu. Sudah tentu, kuih baulu bakar ala-ala orang dahulu boleh disasarkan kepada pelancong lokal. Namun demikian, pelancongan-gastro mesti berfikir jauh seperti caranya Korea Selatan, yang memberi perhatian kepada penyelidikan untuk menjual makanan mereka di luar sempadan. 

Di negara kita, agensi yang berkaitan seperti Fama, Mada dan Mara misalnya mestilah berfikir di luar kotak untuk mencadangkan dan menggesa pembuat kuih tradisional supaya dapat berfikir secara sejagat. Itu tentu tergantung kepada peruntukan daripada kementerian. 

Untuk itu, jenis lama baulu dengan pembuatan tradisional dan rasa kampung mungkin terpaksa dikorbankan; misalnya baulu kini barangkali terpaksa digayakan ala donut. Baulu mungkin perlu diberi pelbagai perasa. 

Baulu juga terpaksa ’digadaikan’ mutu rasanya dengan memberi kelebihan kepada mutu persembahan. Baulu harus dipasarkan dengan pelbagai bentuk, saiz dan dihias dengan pelbagai pakej istimewa.

Baulu tradisi bagaimanapun janganlah diabaikan, ini kerana pelancong dalam negara masih memburu ciri baulu cara orang dahulu yang mana mereka akan mencari bahulu asli sembari menekankan aspek rasa, bau atau aroma, bentuk asal (cermai dan ikan) serta warna yang mana ‘kuning’ adalah warna asalnya. 

Pun untuk pelancong neofilik yang mengabai autentik, khusus dari luar negara, baulu gaya moden yang datang dengan perasa coklat, strawberi, pandan dan sebagainya perlu diberi naratif segar. Bentuk baulu moden mungkin sahaja aneh-aneh seperti bentuk kereta, kapal terbang atau apa sahaja. 

Dalam usaha melakukan inovasi terhadap makanan tradisi, pengkaji mestilah fokus dalam memilih apa yang hendak dibangunkan. Misalnya jika pengkaji berhasrat untuk meningkatkan kualiti, maka sensori iaitu perasaan senang, enak, dan terkenang-kenang perlu diberi perhatian. Untuk itu tekstur dan bau memain peranan nyata. 

Pengkaji juga boleh menumpu kepada aspek fungsi di mana khasiat sesuatu makanan itu ditingkatkan khusus untuk pelancong neofilik yang mementingkan kesihatan. Misalnya mungkinkah diketengahkan ‘baulu rendah kalori’? 

Terakhir, pengkaji juga boleh mencari nilai baharu dengan memberi idea untuk membantu ekspresi baulu baharu yang terkait status atau jenamanya. 

Misalnya kita boleh mencipta ”jenama kebangsaan” dengan brand Baulu Kak Rahmah, atau Baulu Madani yang membawa simbol tertentu. Ia mungkin melucukan hari ini, tetapi fikirkan Mee Tarik Warisan Asli Abang Hassan yang punya banyak cawangan di luar China hari ini.

Baulu sedia ada yang kita perolehi di pasaran dapat dikatakan kurang menarik dari segi pembungkusannya. Jika kita mengingatkan zaman anak-anak lalu, kita akan mengingat makanan semasa membesar dari segi nama, rasa, dan paling berbekas, cara pembungkusannya yang mungkin unik. Pembikin industri makanan memerlukan bantuan idea ini.

Rencana ini hanya menyebut baulu sebagai contoh. Masih banyak lagi makanan tradisional kita, khusus, daripada orang Melayu yang dapat diterokai untuk disuntik inovasi dan kreativiti bagi menjaring audien baharu dalam kalangan pelancong-gastro yang terbuka kepada pengalaman neofilia. Makanan seperti kerepek, rempeyek, kuih bakar, denderam, dan dodol sebagai contoh perlu diangkat secara konsisten. 

Masalahnya Malaysia masih ketinggalan dalam usaha merebut peluang dan mempromosi makanan ini. Lama-kelamaan negara jiran kita yang tak punya apa sejarah dan warisan tidak semena-mena akan ‘mencuri’nya dan kemudian mencipta naratif palsu. 

Ada sebuah negara memperkenalkan durian sebagai buah negaranya padahal tidak ditemukan sebatang pohon durian pun di negara itu. Silap haribulan tempoyak akan dipasarkan sebagai makanan negara tersebut. Itu boleh berlaku, kerana mereka tidak peduli untuk melanggar tatkala kita tidak peduli dan gagal menganggar.

Jangan ada satu lagi warisan kita tergadai dek terleka dan tiada kesungguhan. Kita harus iri hati dengan cara Indonesia mempamer, mencipta dan memasar produk makanan tradisi mereka. Kadangkala ia sama sekali tidak sedap. Gah hanya pada nama, dan rasanya entah apa-apa. 

Pun ia tetap dibeli sebagai buah tangan oleh pelancong-gastro kerana salah satu sifat manusia ialah mencuba, dan untuk pelancong neofilik dek kerana jahil dan tidak tahu rasa dan mutu asalnya makanan itu, mereka akan cepat memuja. Ia adalah satu fitrah manusia yang dieskploit oleh Korea Selatan dengan jayanya.

Moga-moga baulu dan makanan lain kita akan sempat beroleh kemasyhuran sebelum kepupusan. Berilah masa hadapan kepada makanan warisan ini kalau pun kita tidak mampu memberi masa hadapan kepada generasi mendatang dari segi lainnya. Paling tidak adalah sesuatu untuk jadi memori hidup di era selepas Covid ini. – 5 April 2023. 

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen