Petisyen PRU15: BN gagal batal kemenangan Pakatan di Segamat


Mahkamah pilihan raya memutuskan pestiyen difailkan untuk batalkan kemenangan calon PH bagi kerusi Parlimen Segamat cacat serta tidak menepati peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2023.

BARISAN Nasional (BN) gagal membatalkan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) R Yuneswaran di kerusi Parlimen Segamat apabila mahkamah pilihan raya menolak petisyen yang difailkan calonnya M Ramasamy.

Mahkamah pilihan raya yang bersidang di Muar memutuskan pestiyen Ramasamy, yang juga bendahari MIC, cacat serta tidak menepati peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Hakim pilihan raya Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas menerima bantahan yang dikemukakan oleh Yuneswaran dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

“Keputusan ini mengesahkan kemenangan saya pada Pilihan Raya Umum ke-15 bagi kawasan pilihan raya Segamat.

“Saya berterima kepada mahkamah pilihan raya atas keputusan ini,” kata Yuneswaran dalam satu kenyataan.

Pada PRU15, Yuneswaran yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR mengalahkan Ramasamy, yang jadi pesaing terdekatnya, dengan 5,669 undi.

Yuneswaran meraih 23,437 undi sementara Ramasamy dapat 17,768 undi.

Dua lagi calon iaitu P Poobalan daripada Perikatan Nasional dapat 8,385 undi sementara Syed Hairoul Faizey Syed Ali dari Gerakan Tanah Air (GTA) hanya dapat 1,062 undi dan hilang deposit.

Pada 17 Januari, The Malaysian Insight melaporkan calon BN mengemukakan petisyen untuk membatalkan kemenangan calon PH biarpun kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan bersama selepas PRU15.

Dalam petisyennya, Ramasamy mendakwa Yuneswaran dan agennya melanggar peraturan pilihan raya berhubung bahan kempen bercetak termasuk kain rentang.

Beliau juga mendakwa Yuneswaran, dalam satu majlis kempen, mengagihkan bungkusan makanan kepada antara 150 hingga 350 pengundi.

“Kita tidak tahu apa ada dalam bungkusan itu,” katanya.

Jelas Ramasamy, beliau juga sudah membuat laporan kepada pihak SPR dan polis semasa tempoh berkempen namun tiada tindakan diambil sehingga hari pengundian pada 19 November.

Petisyen itu adalah antara 12 petisyen yang dikemukakan terhadap keputusan PRU15.

Hampir kesemua petisyen itu ditolak oleh mahkamah berdasarkan bantahan awal pihak responden.

Sekurang-kurangnya dua petisyen sedang dibicarakan oleh mahkamah pilihan raya di Terengganu iaitu bagi kawasan pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu dan Marang. – 3 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen