Had usia teksi, e-hailing dinaikkan kepada 15 tahun, kata APAD


Kata APAD, lanjutan tersebut diguna pakai bagi kenderaan dalam kelas lesen teksi dan e-hailing yang sudah mencapai had usia maksimum bermula 1 Januari tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2023.

AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) memaklumkan pelanjutan had usia penggunaan kenderaan teksi dan e-hailing seluruh negara dinaikkan kepada 15 tahun.

Menurut APAD dalam kenyataan hari ini, langkah itu sejajar hasrat kementerian pengangkutan untuk melestarikan industri teksi dan e-hailing ke arah penambaikan sistem pengangkutan negara.

Menurut agensi itu pelanjutan tersebut diguna pakai bagi kenderaan dalam kelas lesen teksi dan e-hailing yang sudah mencapai had usia maksimum bermula 1 Januari tahun ini.

Antara syarat lain ialah semua kenderaan yang akan diberi kelulusan tersebut mematuhi dan melepasi semua syarat pemeriksaan berkala wajib Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), selain mematuhi syarat operasi lain yang ditetapkan bagi memastikan tahap keselamatan kenderaan, keselesaan pengguna dan imej industri terjamin.

“Sehubungan itu pihak APAD berharap pemain industri teksi dan e-hailing dapat meningkatkan mutu perkhidmatan seterusnya menjadikan perkhidmatan ini sebagai mod pilihan rakyat yang diyakini dan berkualiti,” katanya.

Maklumat dan pertanyaan lanjut boleh didapati di laman portal rasmi APAD iaitu www.apad.gov.my atau hadir terus ke pejabat APAD berhampiran. – Bernama, 3 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen