Apabila pesakit Covid-19 mati tiba-tiba


Alfian Z.M. Tahir

Kemunculan varian Delta menyebabkan banyak kes kematian mengejut selepas pesakit tidak menyedari mereka telah dijangkiti Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2021.

PEMANDU teksi Abdul Malik Zaini tidak pernah terfikir akan kehilangan kakaknya akibat Covid-19 kerana tiada sebarang gejala atau petunjuk yang dirinya dijangkiti virus. 

Malik, 49 tahun, yang berasal dari Kedah berkata kakaknya meninggal secara mengejut pada 28 Julai lali seminggu selepas hari lahirnya yang ke 51.

“Dia tidak menunjukkan sebarang gejala Covid-19, jadi keluarga kami tidak tahu atau tidak mengesyaki apa-apa. 

“Saya menerima panggilan daripada anak saudara saya yang memaklumkan kakak saya sudah dibawa ke hospital kerana sesak nafas. 

“Saya tidak fikir ianya serius, hanya sesak nafas. Namun paramedik memaklumkan keluarga saya paras oksigen dalam badannya menurun mendadak. 

Dua jam selepas kakak Malik dibawa ke hospital, doktor memaklumkan keluarga dia sudah meninggal dunia, dan menambah dia dijangkiti Covid-19 varian Delta. 

Kematiannya diklasifikasikan sebagai kematian luar hospital (BID). Anak saudara Malik kemudian menjalani ujian saringan Covid-19 susulan kematian ibunya dan turut bergejala. 

Malik berkata, sehingga kini tiada siapa tahu bagaimana kakaknya boleh dijangkiti virus. 

“Saya tak boleh hadiri pengebumiannya. Semuanya diuruskan oleh hospital. Saya hanya mampu melihat dari jauh bagaimana jasadnya dibawa ke tanah perkuburan oleh petugas kesihatan yang memakai alat perlindungan peribadi (PPE),” katanya. 

Komander Pasukan Bertindak Khas GKV (GKV STF) Dr Chong Chee Keong berkata kemunculan varian Delta dan ramai pesakit tidak bergejala tidak menyedari mereka telah dijangkiti menjadi punca peningkatan kes Covid-19 di GKV. 

Data Kementerian Kesihatan mendedahkan hampir 2,000 pesakit Covid-19 disenaraikan BID dari April hingga semalam. Semalam sahaja sebanyak 77 kes BID direkodkan. Jumlah keseluruhan kes kematian di Malaysia kini 12,784. 

Beliau berkata walaupun program vaksinasi dipertingkatkan, jumlah kes jangkitan harian baharu masih meningkat kerana perlindungan daripada vaksin mengambil masa untuk terbina. 

Dr Chong juga berkata 80% daripada kes BID Covid-19 yang dikesan tidak pernah didiagnos dengan virus. 

“Mereka sama ada tiada akses untuk diagnos atau tampil untuk ujian saringan.

“60% daripada mereka yang dijangkiti biasanya tidak bergejala dan sekitar 30% bergejala ringan. Hanya lima hingga 10% perlu pemeriksaan secar afizikal di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).”

Varian Delta mula dikesan di India pada Disember 20209 selepas ia ketika itu dikenali sebagao varian India, atau varian membimbangkan (VOC) B.1.617.2.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus baru-baru ini berkata varian itu merebak dengan pantas ke seluruh dunia, menyebabkan lonjakan kes dan angka kematian. – 17 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen