Industri vape diberi masa sebulan untuk daftar aktiviti


Alfian Z.M. Tahir

Duti baharu berkuat kuasa mulai Sabtu berikutan bermulanya Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2023. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2023.

PEMAIN industri vape khususnya pengeluar tempatan diberi tempoh sebulan untuk mendaftarkan aktiviti mereka dengan Jabatan Kastam dan Eksais, kata kementerian kewangan.

Dalam satu kenyataan, ia berkata pemain industri dalam sektor pembuatan boleh mula mendaftar aktiviti pembuatan mereka mulai Sabtu lalu hingga 30 April.

“Pendaftaran awal dalam tempoh yang ditetapkan boleh mengelakkan pengilang daripada dikenakan kompaun bagi kesalahan pendaftaran lewat.

“Pendaftaran awal ini akan memastikan pematuhan industri yang komprehensif dan kutipan cukai yang lancar menjelang Mei 2023.

“Pendaftaran pelesenan di bawah Akta Eksais 1976 boleh dilakukan secara dalam talian menerusi pautan Sistem MyExcise https://myexcise.customs.gov.my/myexcise/,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Jumaat, Putrajaya mewartakan duti eksais bagi cecair vape dengan kandungan nikotin pada 40 sen setiap mililiter, dalam usahanya untuk mengenakan cukai produk cecair atau gel yang mengandungi nikotin.

Duti baharu itu berkuat kuasa mulai Sabtu berikutan bermulanya Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2023.

Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2023 diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di bawah subseksyen 6(1) Akta Eksais 1976.

Warta itu kemudiannya akan dibentangkan di Dewan Rakyat menurut subseksyen 6(2) Akta Eksais 1976.

Semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari, Anwar yang juga menteri kewangan mengumumkan kerajaan akan mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel yang mengandungi nikotin, dengan separuh daripada hasil akan diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata produk cecair atau gel dengan nikotin - dianggarkan bernilai RM2 bilion dalam potensi hasil kerajaan - digunakan secara meluas dengan rokok elektronik dan vape, walaupun secara teknikalnya menyalahi undang-undang.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan rancangan di bawah Belanjawan 2022 untuk mengembangkan kutipan cukai kepada cecair vape yang mengandungi nikotin dengan mengenakan cukai eksais pada RM1.20 setiap mililiter, tetapi penguatkuasaannya ditangguhkan. – 2 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen