Khutbah Jumaat: Tuhan maha indah bukan marah-marah


Mohd Syazreen Abdullah

Cabaran beragama hari ini bukan soal pergaduhan mazhab siapa betul dan salah tetapi bagaimana mahu menyajikan wajah agama supaya dilihat indah, bermutu dan berkualiti. – Bernama, 31 Mac, 2023.

CABARAN beragama hari ini bukan soal pergaduhan mazhab siapa betul dan salah. Bukan soal liberal, LGBT, Islamis, dan Syiah. 

Tetapi bagaimana mahu menyajikan wajah agama supaya dilihat indah, bermutu dan berkualiti – tentang kaedah mempraktikkan dan menonjolkan sisi keindahan beragama sekali gus Tuhan pada pandangan manusia dilihat Maha Indah lagi Mengasihi hamba-Nya.

Kewujudan Tuhan tidak boleh dirasai andai kita gagal mengenal sifat keindahan-Nya. Sifat-sifat kebaikan dan ciri-ciri masyarakat bertamadun tidak terbit melainkan  bermula dari pengalaman mengenal diri sekali gus mengenal Tuhan.

Keindahan Tuhan harus menjadi topik utama dalam beragama hari ini. Para pendakwah di Malaysia harus banyak berbicara soal sisi keindahan Tuhan. Sisi rahmah dan keadilan-Nya. Bukan sifat Tuhan marah-marah. 

Malangnya banyak lagi manusia hari ini tidak mengenal sifat-sifat-Nya yang Maha Cantik dan kasih sayang-Nya tanpa batasan. Cinta-Nya tidak disebarkan. Sebaliknya sifat itu harus disebarkan bukan disebarkan sifat kebencian. 

Hakikatnya, kecintaan dan kebaikan Tuhan tidak dicampurkan dengan hal-hal keburukan dan kebencian.

Hal ini supaya dapat menghindarkan agama dari dilihat dan dipraktikkan dengan bersifat marah-marah dan kekerasan. 
Mengenali Tuhan, bukan sekadar cabaran kepada kelompok ateis sahaja tetapi sebenarnya kepada semua kelompok manusia umumnya khususnya anak muda generasi milenia hari ini yang semakin rencam dan berfikir. 

Sehingga terdapat wujud fenomena sebahagian anak muda milenia hari ini seperti generasi tiktok dan sebagainya semakin mahu menjauhkan diri dari agama. 

Mereka putus asa kerana terkontang-kanting dalam mencari keindahan Tuhan pada abad moden hari ini – beragama pada era Google. 

Tidak cukup sisi keburukan agama yang cuba ditonjolkan oleh anti-Islam di luar sana, malah di negara kita Malaysia pun para pendakwah bersikap hampir sama dengan anti-Islam yang tidak serik-serik menonjolkan sisi kekerasan, marah-marah dalam agama Islam. 

Ada sahaja kekerasan yang ditonjolkan dalam sisi Tuhan dalam beragama. 

Bagaimana mahu menarik minat anak-anak muda, kaum skeptik agama jika seringkali agama dipersembahkan dalam keadaan Tuhan marah-marah, Islam marah-marah?

Agama serba tidak kena, marah sana, marah sini, kafir sana, kafir sini. Laknat sana, laknat sini. Dosa sana, dosa sini. 
Ini haram, itu haram. Sekat sana, sekat sini. Itu sesat, ini sesat. Syiah sesat, LGBT songsang, liberal pesong dan banyak lagi. Akhirnya, syurga untuk saya, neraka untuk kamu. 

Lihatlah khutbah Jumaat di Selangor baru-baru ini yang agak keterlaluan dan tidak menggambarkan sifat keindahan Tuhan pada mata hamba-Nya. 

Khutbah Jumaat yang bersumberkan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Negeri Selangor bertajuk “LGBT tabiat songsang” tidak menggambarkan pendekatan Islam Indah dalam menanggapi persoalan masalah ini. 

Hanya tahu melepaskan berbagai tohmahan dan bersifat menghukum sahaja. Mengajar para jemaah saling membenci sesama manusia dan berburuk sangka – Mendidik pemikiran jemaah bersikap kekerasan dalam beragama.

Marah-marah dan tidak setuju sekali pun tidak perlu mengeluarkan tajuk sebegitu. Sedangkan soal LGBT ini harus disikapi dengan cara lebih berhemah dan cekap oleh para pendakwah.

Para pendakwah dan khatib sepatutnya lebih arif lagi bijaksana.

Jika sisi kekerasan terus dibiarkan menjadi budaya pendekatan beragama hari ini, jangan terkejut jika anak muda semakin menjauhkan diri dengan agama. 

Orang-orang skeptik terhadap agama terus menjauhkan diri dengan agama. Tuhan tidak menarik minat mereka dalam beragama. Kerana itu wujud orang-orang yang beragama tapi tidak percayakan Tuhan. 

Ada orang memilih moral kebaikan tanpa perlu bertuhan. Bahkan, banyak orang-orang tidak menemukan Tuhan dalam hidupnya tetapi mengamalkan cara hidup kerohanian.

Ada yang Muslim tetapi mempraktikkan agama Buddha, mahupun Kristian. Ada juga lebih ekstrem menukar agama kerana tidak menemukan Tuhan dalam agamanya. 

Fenomena ini berpunca daripada kegagalan mengenal sifat Tuhan. Hakikatnya, keindahan Tuhan sesekali tidak bercampur dengan sifat kejelekan. Agama tidak mengajar seperti itu. 

Justeru, pendakwah Islam harus salahkan diri sendiri dahulu. Jangan tahu menuding salah kepada anak muda, kaum ateis atau orang-orang skeptik dalam beragama hari ini. Kerana pengalaman beragama sering dikaitkan dengan agama institusi.

Mereka itu dipengaruhi oleh pendekatan jumud lembaga, badan dan orang-orang beragama pada hari ini – Islam marah-marah.

Yang bermasalah hari ini para pendakwah dan badan keagamaan yang gagal menonjolkan Tuhan Maha Indah dalam beragama.

Tuhan tidak terbatas. Ia tidak dibayangkan seperti fikiran oleh khatib Jumaat. Tuhan bukan seperti yang digambarkan bersifat marah-marah. 

Tuhan pada zatnya di atas itu tidak dijangkau oleh fikiran sesiapa pun tetapi dapat dirasai-Nya di peringkat tasbih atau diturunkan (Tanazzul) “rasa kewujudan-Nya” agar umat dapat menikmat keindahan dan kasih-sayang-Nya. 

Para khatib Jumaat harus tunjukkan sisi ketuhanan kepada generasi milenia hari ini, atau kepada orang yang bersikap skeptik tentang agama dan keindahan Tuhan Yang Maha Kasih, Rahmah dan tidak marah-marah. Kerana itu hakikat Tanazzul bagi merasai kewujudan-Nya di alam semester ini. 

Justeru, jangan disempitkan pemikiran masyarakat Melayu Islam hari ini dengan versi khutbah yang marah-marah bertentangan dengan sifat Rahmah-Nya – maha mengasihani lagi menyayangi.

Tugas pendakwah atau khatib harus membuka pemikiran umat beragama hari ini khususnya anak muda agar melihat agama di masa hadapan milik bersama, inklusif dan sejagat.

Bukan lagi soal perbezaan gender mahupun keyakinan keimanan berbeza. Sebaliknya beragama dengan membahagiakan hal-hal yang kecil. 

Beragama mengenai kecantikan budi, beragama penuh kasih sayang agar agama tidak dilihat sesuatu yang menjauhkan dari sifat keindahan dan kemanusiaan.

Jangan ajar anak muda generasi era Google hari ini dengan pendekatan agama jelek, sempit dan membosankan. Agama tidak begitu. Allah Maha Indah. Menyantuni keindahan. 
Agama tidak memisahkan pengalaman kerohanian dengan keindahan estetika Tuhan. Keindahan itu salah satu pendekatan Tuhan “turun” di bumi agar Dia mendekati hamba-Nya dan hamba-Nya merasai kebahagiaan kewujudan-Nya.

Mungkin cabaran beragama hari ini lebih memerlukan definisi Tuhan seperti itu.

Namun malangnya hal ini gagal cuba dilaksanakan dan digambarkan oleh pendakwah khususnya para khatib Jumaat.

Pendakwah khususnya para khatib Jumaat harus berfikir pendekatan yang lebih indah. Baikilah mutu kandungan pesan khutbah Jumaat. 

Sediakan bahan kandungan khutbah yang mencerahkan dan membentuk pemikiran manusiawi jemaah masjid. Kaji semula definisi ketuhanan dalam penyampaian khutbah Jumaat. 

Islam memerlukan para khatib yang berfikiran manusiawi dan mampu mengungkapkan simbol-simbol keindahan Tuhan dalam beragama sekali gus dapat menyikapi rencam estetika. 

Maka, tonjol dan buka sisi keindahan Tuhan dalam beragama kepada seluruh masyarakat beragama hari ini. 

Kerana, Tuhan Maha Indah, bukan marah-marah. – 31 Mac, 2023.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen