Angka korban kebakaran feri di Filipina meningkat kepada 29


Feri M/V Lady Mary Joy sedang menuju ke Bandar Zamboanga dari Jolo apabila ia terbakar di perairan Pulau Baluk-Baluk di bandar Hadji Muhammad wilayah Basilan pada pukul 10 malam waktu tempatan pada Rabu. – Gambar Facebook, 30 Mac, 2023.

ANGKA kematian akibat insiden feri terbakar di selatan Filipina lewat malam Rabu meningkat kepada 29 termasuk enam kanak-kanak, menurut Pengawal Pantai Filipina (PCG) pada Khamis.

M/V Lady Mary Joy 3 dalam perjalanan menuju ke Jolo dari Bandaraya Zamboanga sebelum dilaporkan terbakar di perairan Pulau Baluk-Baluk di wilayah Basilan sekitar jam 10.40 malam waktu tempatan.

Commodore Rejard Marfe, komander Daerah PCG di Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao berkata seramai 230 penumpang lagi berjaya diselamatkan dan kebakaran berjaya dipadamkan selepas sembilan jam.

Nixon Alonzo, ketua pejabat pengurusan bencana di wilayah Basilan memberitahu radio tempatan pihak berkuasa sedang mengesahkan laporan mengenai tujuh lagi penumpang yang didakwa terjun ke laut dan masih hilang.

Pihak berkuasa sedang meneliti punca kebakaran yang dilaporkan bermula di dalam kabin berhawa dingin di dalam feri itu. 

Kebanyakan penumpang sedang tidur ketika kebakaran berlaku. – Bernama, 30 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen