PUTRAJAYA tidak seharusnya meneruskan cadangan mengecualikan cecair atau gel nikotin daripada senarai bahan terkawal berjadual di bawah Akta Racun 1952, kata badan pemerhati kesihatan.
Galen Centre for Health and Social Policy berkata kerajaan tidak seharusnya meneruskan langkah ini kerana ia bertentangan dengan kepentingan kesihatan awam.
Ketua Eksekutif Galen Azrul Mohd Khalib berkata Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok tidak sepatutnya menghapuskan nikotin sama sekali daripada dikawal di bawah undang-undang ini.
“Ia tidak masuk akal dan bertentangan dengan keutamaan kesihatan awam. Jika kerajaan serius untuk mengawal selia dan mengenakan cukai vape dan e-rokok, ia harus menggugurkan cadangan ini.
“Sebaliknya, mereka harus melihat untuk membentangkan dan meluluskan versi semakan Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok,” katanya dalam satu kenyataan.
Dilaporkan akan ada mesyuarat tidak lama lagi oleh Lembaga Racun Negara bagi membincangkan pengecualian kawalan nikotin di bawah Akta Racun 1952 bagi membolehkan ia dikenakan cukai oleh kerajaan.
Azrul berkata mereka terkejut kerana Galen Centre sebelum ini menegaskan dalam satu kenyataan pada Januari yang vape di Malaysia masih tidak dikawal, tidak terhad dan di luar kawalan.
“Sebanyak 4.9% daripada populasi pada masa ini menghisap vape dan jumlah ini meningkat dari hari ke hari. Walaupun masih terdapat kurang 2% perokok yang terdiri daripada wanita muda.
“Mereka kini membentuk lebih 30% daripada mereka yang menghisap vape. Anggaran bilangan penghisap vape baharu juga mengatasi bilangan perokok baharu.”
Beliau berkata pada masa ini tiada peraturan mengenai vape kerana ketiadaan Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok yang dicadangkan.
“Pada masa ini terdapat jurang besar dalam perundangan sedia ada berhubung pemasaran dan penjualan produk yang mengandungi nikotin, khususnya vape dan e-rokok.
“Dengan mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal berjadual dan tiada peraturan alternatif atau penggantian, akan menghapuskan sebarang kemungkinan walaupun cuba mengawal kandungan nikotin produk ini.
“Bahan guna vape murah yang mengandungi kepekatan tinggi nikotin cecair akan membanjiri pasaran.”
Beliau menambah penghisap vape mendapati walaupun mereka mungkin berhenti menghisap rokok, ketagihan mereka beralih kepada e-rokok dan vape.
“Ada yang akan menjadi dua pengguna, menghisap tembakau dan e-rokok.
“Klinik berhenti merokok sudah pun melihat pesakit yang menghisap rokok dan vape.”
Azrul berkata usia mereka yang baru ketagih nikotin melalui vape, juga semakin muda.
“Kanak-kanak seawal 10 tahun sudah mula ketagih nikotin.” – 29 Mac, 2023.
Komen