KERAJAAN harus meneliti semula hukuman atas kesalahan berkaitan penggunaan ketum supaya tidak menganiayai mereka yang menggunakannya untuk tujuan rawatan kesihatan, kata pengkaji perubatan.
Hukuman lebih keras sepatutnya dikenakan ke atas mereka yang menyeludup ketum berbanding mereka yang menggunakannya secara peribadi sebagai ubat, kata pensyarah kanan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Darshan Singh.
“Jika pihak berkuasa menahan seseorang yang terlibat secara langsung dengan aktiviti penyeludupan ketum undang-undang yang lebih keras boleh digunakan.
“Tetapi jika orang yang gunakan secara peribadi secara tradisional mereka tidak sepatutnya didenda dengan tegas. Ini pendapat saya,” kata Darshan, dalam wawancara bersama The Malaysian Insight di pejabatnya, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Pada masa ini undang-undang memperuntukkan hukuman yang sama bagi kesalahan berkaitan ketum tanpa membezakan kadar, sedikit atau banyak.
Akta Racun 1952 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara empat tahun atau kedua-duanya kepada sesiapa yang mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram.
Hukuman penjara bagaimanapun jarang dikenakan kepada pesalah yang ditangkap memiliki ketum secara haram.
Bezakan kadar
Darshan berkata, undang-undang berkenaan mesti diperhalusi dengan membezakan jenis kesalahan. Beliau mencadangkan kerajaan supaya menetapkan 500gm sebagai garis kadar kesalahan.
“Contohnya memiliki lebih 500gm daun ketum, boleh kita katakan mereka terlibat dengan aktiviti penyeludupan. Orang yang gunakan ketum atas alasan perubatan tak memerlukan 500gm daun ketum.
“Mungkin terdapat keperluan untuk dilihat peruntukan itu atau pindanya dengan menyatakan dengan jelas,” katanya.

Darshan juga mencadangkan agar mereka yang ditahan dengan daun ketum kurang daripada 500gm tidak perlu dibawa ke mahkamah dan didenda kerana ia sudah tentu untuk kegunaan peribadi.
Beliau memberikan contoh seorang yang ditahan dengan 1 tan daun ketum dan seorang lagi dengan 350ml air ketum.
“Kami bukan mempromosikan ketum. Tapi kita kena sedar komuniti sudah gunakan ketum untuk perubatan sejak lebih 100 tahun,” tambahnya.
Air rebusan ketum digunakan antaranya untuk menambah tenaga terutama dalam kalangan mereka yang bekerja berat.
Darshan yang membuat kajian mengenai ketum sejak 10 tahun lalu berkata cadangannya ada asas kerana mereka yang menggunakan ketum untuk berubat kebanyakannya dalam proses berhenti daripada penyalahgunaan dadah.
“Mereka pernah dipenjarakan untuk satu tempoh yang lama, mereka mahu berubah dan menjadi individu yang lebih baik, mereka gunakan ketum untuk alasan terapeutik… alasan yang baik.
“Tidak adil untuk orang yang mahu berubah dan menggunakan ketum untuk tujuan yang baik, kalau ditangkap memiliki ketum dan didenda. Ia tak menyelesaikan penyalahgunaan dadah atau ketum di dalam negara.
“Tetapi kerajaan harus lebih tegas terhadap pesalah yang menyeludup ketum. Mereka perlu ditahan dan dikenakan hukuman yang setimpal,” katanya.
Jelas Darshan, kajiannya menunjukkan ketum digunakan sebagai pengganti membolehkan penagih kekalkan atau menahan diri daripada penyalahgunaan dadah
“Sebab itu ketum popular bagi mereka yang nak tinggalkan dadah.
“Mereka tak mahu ke pusat rawatan tetapi merawat sendiri ketagihan mereka, namun saya lihat ada juga salah faham kepada ketum,” katanya.

Kajiannya juga mendapati, peningkatan penyalahgunaan ketum oleh kumpulan bawah umur disebabkan mereka sudah terlibat dengan dadah dan ingin berhenti menjadi penagih dadah.
“Mereka ketagih dan percaya hanya ketum yang boleh membantu keluar daripada ketagihan, tetapi ia tak dilaporkan. Sebaliknya, apa yang dipaparkan ketum adalah gerbang penagihan dadah. Salah… sebaliknya yang berlaku.
“Mereka yang menagih gunakan ketum untuk rawatan ketagihan diri mereka sendiri. Tapi pihak berkuasa kata sebaliknya, seolah ramai orang yang ketagih ketum dan kemungkinan lama kelamaan mereka akan beralih kepada ketagihan dadah,” tambah Darshan.
Bukan penjenayah
Sementara itu seorang petani getah yang mahu dikenali sebagai Virot, yang menanam ketum di sekeliling kediamannya, bersetuju dengan pandangan Darshan dan menegaskan pengguna ketum untuk perubatan bukan penjenayah.
“Minum ketum ini bukan macam minum arak, (boleh bertindak) luar kawalan, datangkan jenayah. Macam dadah, meningkatkan jenayah, ketum tidak.
“Ketum tak bawa ketagihan ibarat ketagihan rokok, ia tak memudaratkan sampai mereka menjadi penjenayah, bawa kereta sampai langgar orang, tidak ada,” katanya lagi.
Virot juga tidak setuju dengan hukuman denda ke atas mereka yang minum air ketum, terutama penduduk kampung yang berpendapatan rendah.
“Minum ketum bukan satu jenayah, boleh juga kita ringankan hukuman,” katanya.
Ketum dijual di pasaran gelap antara RM15 hinga RM20 sekilogram, bergantung lokasi penanamannya. Ia menjadi hasil sampingan kepada sesetengah petani menambah pendapatan, malah mudah dijaga berbanding tanaman lain.
“Getah bila hujan tak boleh menoreh, tapi ketum boleh petik, cuma kena tunggu tiga bulan selepas kutip untuk daun menjadi tua,” kata Virot. – 10 Jun, 2022.
Komen