Serangan dekat Kementerian Luar Afghanistan di Kabul, 6 orang awam terbunuh


Ambulans membawa mangsa letupan keluar dari kawasan kejadian. – Gambar AFP, 27 Mac, 2023.

SATU serangan berhampiran Kementerian Luar Afghanistan pada Isnin meragut nyawa enam orang awam sementara beberapa orang lagi cedera.

Pasukan keselamatan berjaya mengesan penyerang dan menembak lelaki tersebut di hadapan sebuah pusat perniagaan berhampiran kementerian tersebut, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Abdul Nafy Takor menerusi Twitter.

“Penyerang itu berjaya ditembak mati namun bahan letupan dibawanya turut meletup hingga mengorbankan enam orang awam dan mencederakan beberapa lagi mangsa lain,” katanya.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kecemasan Itali yang mengendalikan sebuah hospital di ibu kota tersebut mengesahkan ada menerima dua mayat dan 12 mangsa cedera termasuk seorang kanak-kanak.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Serangan hari ini itu merupakan serangan kedua yang berlaku berhampiran Kementerian Luar Afghanistan di Kabul dalam tempoh kurang tiga bulan.

Pada 11 Januari lalu seorang pengebom meletupkan dirinya berhampiran bangunan kementerian itu yang meragut 10 nyawa dan 53 mangsa cedera, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – AFP, 27 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen