Malaysia kecam sekeras-kerasnya serangan bom di Masjid Peshawar


Pengebom bunuh diri disyaki menyasarkan anggota polis wilayah Khyber Pakhtunkhwa. – Gambar Facebook, 1 Februari, 2023.

MALAYSIA mengecam sekeras-kerasnya serangan bom bunuh diri ke atas sebuah masjid di Police Lines, Peshawar di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan pada Isnin.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata Malaysia menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa, rakyat dan kerajaan Pakistan.

Malaysia juga mengulangi pendirian menolak sebarang tindakan keganasan dalam semua bentuk dan manifestasi.

“Kami bersolidariti bersama saudara di Pakistan dalam memerangi ancaman keganasan dan kami menyeru agar pelaku jenayah kejam ini dibawa ke muka pengadilan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad terus memantau dengan teliti perkembangan terkini insiden itu di samping berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan maklumat terkini.

Suruhanjaya turut menasihatkan rakyat Malaysia di Pakistan supaya sentiasa berwaspada manakala bagi yang memerlukan sebarang bantuan boleh menghubungi talian (+92 5120 2900) atau e-mel [email protected].

Angka kematian akibat insiden pengeboman itu meningkat kepada 100 orang susulan lebih banyak mayat ditemukan dalam runtuhan masjid pada Selasa.

Pengebom bunuh diri disyaki menyasarkan anggota polis wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

Masjid berkenaan terletak di zon keselamatan tinggi termasuk membabitkan pelbagai unit keselamatan seperti Polis Ibu Kota, Polis Simpanan Sempadan, Pasukan Polis Elit dan jabatan anti keganasan.

Lebih 220 jemaah cedera dalam letupan itu dan kebanyakan mangsa adalah anggota polis. – Bernama, 1 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen