Guan Eng dakwa Wan Fayhsal buat laporan polis 'palsu'


Lim Guan Eng menegaskan tiada pembatalan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary semasa beliau menjadi menteri kewangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mac, 2023.

LIM Guan Eng mendakwa Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal melakukan kesalahan jenayah apabila membuat “laporan polis palsu” terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan dirinya.

Wan Ahmad Fayhsal semalam membuat laporan polis bagi menggesa polis menyiasat pengerusi DAP itu dan Anwar berhubung status pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata Wan Fayshal bukan sahaja melakukan kesalahan jenayah dengan membuat laporan palsu, beliau juga tidak menghormati Parlimen apabila cuba membawa polis ke prosiding Parlimen.

“Membuat laporan palsu adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya.

Lim berkata perdana menteri tidak berbohong apabila berkata rekod dengan Kementerian Kewangan menunjukkan semasa beliau menjadi menteri kewangan dari Mei 2018 hingga Februari 2020, beliau tidak pernah membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

“Ini disokong oleh kegagalan Muhyiddin menunjukkan bukti atau mengemukakan surat pembatalan daripada saya semasa menjadi menteri kewangan.”

Beliau juga berkata Anwar juga betul apabila menyatakan pembatalan status pengecualian cukai terletak pada Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan bukannya perdana menteri atau menteri kewangan.

Mengenai Wan Ahmad Fayhsal yang memetik Seksyen 44(6B) Akta Cukai Pendapatan 1967 sebagai bukti apa yang diperkatakan oleh Anwar adalah salah, Lim berkata itu menunjukkan kejahilan dan kekurangan pengetahuannya mengenai hal ekonomi, kewangan atau percukaian.

Katanya, Seksyen 44(6B) merujuk kepada rayuan kepada menteri dan bukannya menteri yang memulakan pembatalan status dikecualikan cukai.

“Saya tidak melihat fail Yayasan Albukhary semasa saya menjadi menteri kewangan dan (oleh itu) tidak mempunyai kedudukan untuk memutuskan sebarang rayuan kerana tiada satu pun dibuat oleh Yayasan Albukhary kepada saya.

“Jelas sekali tiada pembatalan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary semasa saya menjadi menteri kewangan.”

Menurut Lim, ia turut menimbulkan persoalan sama ada terdapat sebarang pembatalan sama ada wujudnya status pengecualian cukai Yayasan Albukhary seperti didakwa Muhyiddin. – 25 Mac 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen