KALAU ingin memahami kenapa Pakatan Harapan (PH) sukar untuk menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) di kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia, cubalah singgah di Lenggong, sebuah mukim di Hulu Perak, kira-kira satu jam memandu dari Ipoh.
Rata-rata pengundi di kawasan Parlimen dengan majoriti pengundi Melayu ini bekerja sebagai petani, penoreh getah, peniaga kecil atau kakitangan awam. Di sini, berita-berita negatif tentang pentadbiran Najib disambut dengan skeptikal. Malah, rata-rata mereka tidak mahu percaya dan tidak ambil tahu.
Pengundi di kerusi negeri Kota Tampan dan Kenering ini, yang keseluruhannya berjumlah hampir 30,000 orang, bersyukur dengan bantuan tunai yang diberikan oleh kerajaan. Mereka juga percaya semua kesejahteraan yang mereka nikmati adalah hasil usaha kerajaan yang memerintah.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi, usaha meraih undi Melayu dijangka akan bertambah hebat. Pemimpin PH yang diketuai bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad giat masuk ke kawasan Felda dan luar bandar untuk memujuk pengundi Melayu.
Malam tadi, pemimpin kanan PH berceramah di petempatan Felda dalam kawasan Parlimen Tanjong Malim, di selatan Perak, dan memberitahu majoriti pengundi Melayu itu kenapa mereka mesti menolak BN pada PRU14 nanti.
Di Lenggong, skandal 1MDB hampir tidak meninggalkan kesan kepada penduduk kampung, yang hanya melihatnya sebagai modal pembangkang untuk memburukkan BN.
Bagi warga emas Saudah Ngah, 71, penoreh getah hampir 30 tahun mengakui mengalami kesempitan hidup namun masih bersyukur kerana menerima bantuan kerajaan seperti BR1M.
.jpg)
“Pendapatan makcik dapat bantuan zakat RM300 sebulan. Sekarang tak larat nak menoreh lagi dah. Wakil rakyat sini banyak bantu.
“Isu 1MDB makcik tak berapa faham. Tapi makcik tak percayalah. Takkan Najib (Perdana Menteri Najib Razak) nak buat macam itu,” kata Saudah Ngah, 71, yang hampir separuh usianya menoreh getah.
Tetapi warga emas yang tinggal di Kampung Banggol Batu di Kota Tampan ini mengaku hidup sekarang susah sedikit kerana adanya cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tetapi beliau berterima kasih kepada kerajaan atas segala bantuan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Memanglah harga barang mahal sebab ada GST tapi kerajaan dah bagi BR1M, jadi dia bagi balik pada makcik,” katanya.
“Makcik dapat juga bantuan zakat RM300 sebulan. Sekarang tak larat nak menoreh lagi dah. Wakil rakyat sini banyak bantu,” tambah Saudah.

Pada pilihan raya umum yang lalu, calon BN Shamsul Anuar Nasarah mengalahkan Razman Zakaria dari PAS dengan kelebihan 3,453 undi. Majoriti itu lebih kecil sedikit berbanding 4,019 undi pada PRU 2008. BN juga menang di Kota Tampan dan Kenering dengan majoriti lebih 1,000 undi.
Saharuddin Jamaluddin, 64, dari Kampung Bukit Sapi senada dengan Saudah dan memuji BR1M yang diberikan oleh kerajaan.
Katanya, BR1M membantu penduduk kampung berdepan dengan kos sara hidup yang meningkat, yang merupakan isu utama rakyat, dan bukannya 1MDB.
“Isu 1MDB itu tak tahu lah kita. Macam fitnah pun ada. Yang penting sekarang ini, kos sara hidup. Barang memang mahal sebab GST,” katanya.
.jpg)
Saharuddin juga berharap kerajaan akan menaikkan kadar BR1M selepas PRU14 ini.
“BR1M dapat RM1,200. Kira macam sebulan RM100. Kita minta naik lagilah. Kita banyak nak pakai duit. Anak bongsu pun sekolah lagi tingkatan 6, banyak hendak pakai duit,” kata bapa anak lima ini.
“Kalau menoreh pun, satu hari 30kg, baru dapat RM60 kena bagi dua dengan tuan tanah. Kita ini kerja saja, tiada kebun. Mujurlah BN ada mahu bantu sedikit sebanyak,” tambahnya.
Dalam pada itu, Rahmah Md Napi, 69, enggan menukar wakil rakyat apatah lagi kerajaan kerana sudah rasa hidup selesa dan aman.
Rahmah juga berkata tidak ada apa perlunya untuk beliau ambil tahu tentang segala dakwaan berhubung skandal 1MDB kerana negara ini “sudah aman”.
.jpg)
“Kita malas nak ambil tahu. TV pun opah tak tengok. Sekarang ini kan sudah aman. Buat apalah nak tukar-tukar.
“Tidaklah kita ini kaya, tapi cukuplah makan sekarang,” katanya.
Walau tidak minat bagaimanapun pengundi dengan isu nasional 1MDB yang jadi senjata utama PH melawan BN, Ketua Cabang PKR Lenggong, Azalan Shah Banyamin tidak putus asa cuba menerangkannya kepada penduduk kampung.
Katanya, jentera yang dikendalikan oleh Sekretariat PH Lenggong juga sibuk menjelaskan segala yang hendak dilakukan oleh gabungan pembangkang itu untuk meningkatkan mutu hidup rakyat termasuk menghapuskan GST dalam 100 hari pertama jadi kerajaan, kalau menang pilihan raya.
“Kita lebih kepada pendekatan individu menziarah untuk terang isu setempat seperti masalah sara hidup dan harga barang,” katanya.
“Kita buat rangkaian di setiap kampung dan tumpu pada isu-isu yang dekat dengan mereka seperti harga getah rendah dan rumah mahal.”
Tetapi hakikatnya Lenggong ini kubu kuat BN dan tidak pernah jatuh ke tangan pembangkang termasuk ketika Umno berdepan krisis besar selepas Anwar Ibrahim dipecat dua dekad lalu.
“Saya rasa yakin BN akan kekal di Lenggong, bukan kerana tradisi saja tetapi kerana perkhidmatan kita kepada rakyat tidak bermusim. Malah servis kita meliputi seluruh rakyat,” kata Shamsul yang sudah dua penggal mewakili penduduk Lenggong di Parlimen.
“Kita telah kerja lama sejak sebelum PRU. Itu menunjukkan hubungan kita dengan rakyat. Alhamdulillah, tahap yang cukup baik. Ini satu kekuatan Umno dan BN,” katanya.
Penyelia Kanan Kemas Lenggong, Zanariah Din, 45, sangat berpuas hati dengan khidmat konsisten semua wakil rakyat di Lenggong yang selalu turun padang menjelaskan isu semasa atau memberi bantuan kepada rakyat.
.jpg)
“Pembangunan di Lenggong meningkat. Ada ruang orang muda meniaga, kiosk Aman Jaya, Pasar Tani untuk anak muda cari pendapatan. Di pekan juga ada gelanggang futsal untuk anak muda,” katanya.
Di Lenggong, hampir 45% pengundi berumur 21 hingga 39 tahun.
Bagaimanapun menurut Shamsul, BN tidak pernah rasa selesa dengan kemenangan sebelum ini dan tidak mahu menjadikan kelemahan pembangkang yang katanya tidak bersatu sebagai kelebihan.
“Kita tidak mahu bergantung dengan kelemahan Pakatan. Saya bertuah berada di Lenggong (kerana penduduk setia pada BN) tetapi sebagai ahli parlimen kita tak boleh mengambil mudah kerana keadaan sudah berbeza dengan adanya media sosial,” katanya.
“Walaupun orang kata ini kawasan putih kita tetap bekerja untuk pastikan kita menang besar.” – 17 Mac, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan