Bincang dengan kami sebelum laksana cukai vape, kata pengusaha


Alfian Z.M. Tahir

Dalam Belanjawan 2023, kerajaan memperkenalkan duti eksais terhadap produk cecair atau gel yang mengandungi nikotin, dengan separuh daripada hasil akan diperuntukkan kepada KKM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2023.

PEMAIN industri rokok elektronik (e-rokok) bimbang dengan cukai baharu yang akan dikenakan terhadap produk mereka, gusar jumlah cukai yang tinggi akan membunuh industri.

Mereka juga mahukan garis panduan lebih jelas daripada pihak berkuasa mengenai penjualan cecair dan peranti vape.

Dalam Belanjawan 2023, kerajaan memperkenalkan duti eksais terhadap produk cecair atau gel yang mengandungi nikotin, dengan separuh daripada hasil akan diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak menyatakan jumlah cukai, kerajaan terdahulu dalam Belanjawan 2022 mencadangkan untuk mengenakan cukai eksais pada RM1.20 setiap mililiter ke atas cecair vape dengan nikotin. Bagaimanapun ia tidak dikuatkuasakan.

Kumpulan Advokasi Industri Vape Malaysia (MVIA) berpendapat cukai RM1.20 seliter - jika jumlah ini dikekalkan oleh kerajaan sekarang - adalah tidak logik dan akan membunuh industri di negara ini.

Presiden MVIA Rizani Zakaria berkata Malaysia sebagai satu daripada pengeluar cecair vape terbesar di dunia, tidak sepatutnya dikenakan cukai yang tinggi bagi produknya sendiri.

“Kami menghasilkan cecair ini, jadi bayangkan 30ml kali RM1.20 dan kami menjual cecair itu pada harga RM35 sebotol.

“Kita membunuh industri kita sendiri. Berbeza dengan China, bagi produk mereka sendiri, cukai hanya 10% manakala produk vape import cukainya ialah 35%,” kata Rizani.

Bagaimanapun, Rizani bersetuju dengan cadangan kerajaan memperuntukkan separuh daripada hasil kepada KKM tetapi menggesa kerajaan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan, termasuk pemain industri, mengenai peraturan penjualan produk e-rokok.

“Berbincang dengan kami mengenai cukai. Pada masa ini, kita  mengimport terlalu banyak produk asing yang boleh memberi banyak wang daripada cukai import tetapi kami tidak berbuat demikian. Pemain industri faham pasaran.

“Mengenai garis panduan seperti Generational End Game (GEG), bukan kita tidak bersetuju tetapi kerajaan mesti membezakan antara vape dan rokok. Kedua-duanya tidak sama.

“Kami juga mahukan SOP untuk produk vape asing. Pada masa ini kami tidak tahu sama ada produk itu memenuhi keperluan kerana tiada peraturan. Kita juga mesti mengetatkan penjualan produk vape kepada bawah umur atau pelajar sekolah,” tegasnya.

Kajian terbaru oleh firma tembakau JTI Malaysia, berdasarkan unjuran, menyatakan kerajaan terlepas peluang untuk mengutip RM866 juta cukai tahun lepas daripada cecair yang digunakan untuk vape atau rokok elektronik.

Tahun lepas, KKM memperkenalkan larangan merokok dan memiliki produk tembakau, termasuk vape, bagi mereka yang lahir selepas 2005.

Menurut laporan Malaysia 2020 kepada Konvensyen Rangka Kerja WHO mengenai Kawalan Tembakau, satu daripada lima (21.3%) orang berumur 15 tahun ke atas di negara ini adalah perokok. – 23 Mac, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen