Adakah Putrajaya halalkan produk vape bernikotin melalui cukai, tanya ahli Parlimen


Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan mengenakan cukai terhadap produk vape berasaskan nikotin, berkata cecair nikotin berada di bawah Akta Racun justeru tidak boleh dijual apatah lagi dicukaikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2021.

ADAKAH kerajaan merancang untuk menghalalkan vape selepas bercadang untuk kenakan cukai terhadap cecair rokok elektronik berasaskan nikotin, tanya Dr Lee Boon Chye hari ini.

Bekas timbalan menteri kesihatan itu berkata cecair vape yang mengandungi nikotin kini dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan oleh itu tidak boleh dijual sebagai produk pengguna.

“Bagaimanakah kerajaan boleh kenakan cukai terhadap produk yang sudah menyalahi undang-undang?” kata Dr Lee semasa perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

“Apakah mekanisme kerajaan untuk halalkan penjualan cecair vape yang ada nikotin?”

Beliau berkata kawalan sedia ada telah gagal memandangkan vape kini berleluasa di kalangan rakyat Malaysia.

“Kajian pada 2016 terhadap penggunaan tembakau dan rokok elektronik oleh Institut Kesihatan Negara Malaysia menunjukkan 9.1 peratus atau 300,000 remaja berumur antara 10 hingga 19 tahun menggunakan vape dan 21 peratus pelajar pernah menggunakan vape sebelum ini.

“Ini menunjukkan vape berleluasa,” kata ahli Parlimen Gopeng itu.

“Bagaimana kerajaan akan hentikan penggunaan ini jika dalam masa sama benarkan produk vape berasaskan nikotin dijual sebagai produk pengguna?”

Beliau berkata cara untuk bendung merokok adalah dengan berhenti terus dan tidak meminta perokok beralih kepada produk seperti vape atau e-rokok kerana ia bukanlah alternatif yang “100 peratus selamat”.

Pada 29 Oktober lepas, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata kerajaan bercadang memperkenalkan duti eksais ke atas produk cecair atau gel yang mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik atau vape. – 8 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen