KDN teliti persediaan asas bawa keluar kanak-kanak di depoh tahanan


KDN sedang mengenal pasti jumlah sebenar dan keberadaan kanak-kanak berkenaan, sebelum diserahkan kepada NGO yang mengkhusus dalam penjagaan kanak-kanak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2023.

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti persediaan asas bagi perancangan membawa keluar kanak-kanak yang berada di depoh tahanan sementara Imigresen di seluruh negara, kata menterinya Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata KDN juga sedang mengenal pasti jumlah sebenar dan keberadaan kanak-kanak berkenaan, sebelum diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengkhusus dalam penjagaan kanak-kanak.

“KSU (Ketua Setiausaha) telah diarahkan untuk to keep the ball rolling (meneruskan perancangan itu). Biar mereka buat kerja mereka dahulu,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya, hari ini.

Pada 15 Februari lepas, Saifuddin dilaporkan berkata pihaknya serius menguruskan kebajikan kanak-kanak di depoh berkenaan selepas ia mendapat perhatian aktivis hak asasi manusia serta badan antarabangsa, dan perbincangan telah diadakan bersama beberapa kumpulan termasuk NGO untuk pelaksanaannya.

Mengulas acara pembukaan rasmi sebuah bar di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 30 Mac ini, Saifuddin berkata penganjuran sebarang aktiviti yang boleh menimbulkan keresahan kepada orang awam semasa Ramadan adalah tidak wajar.

Beliau berkata kelulusan penganjuran acara itu yang membabitkan sekumpulan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand dan berpakaian wanita akan dikenal pasti dahulu sebelum pihaknya mengambil tindakan.

“Jelas kita memasuki ambang Ramadan seeloknya untuk acara seumpama itu tidak diteruskan kerana akan mewujudkan keresahan. (Kita)...kena ada saling menghormati,” katanya.

Premis berkenaan menyiarkan poster pelancaran mereka di media sosial menampilkan model Thai Hot Guy sebagai tetamu undangan penghias poster dan ia mengundang kemarahan rakyat Malaysia. – Bernama, 22 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen