Sedikit yang membawa rahmah 


Fakhrurrazi Rashid

Banyak manfaat yang boleh dinikmati rakyat sekiranya inisiatif seperti meringankan kos sara hidup ini dilaksanakan di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2023.

WAKTU pulang kerja selalunya memenatkan. Fikiran dikosongkan dan hal-hal pejabat dilupakan untuk berehat bersama keluarga. Kadang-kadang, disapa oleh jiran tetangga sewaktu pulang ke rumah adalah perkara yang tidak diduga. Satu perkara yang kurang dibuat kebanyakan orang sekarang.

Jiran saya ini seorang suri rumah, namanya Kak Masnah. Orangnya peramah dan mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah. Suaminya pula, Abang Zainal, bekerja sebagai kakitangan awam biasa.

Sedang kami rancak berborak dan bertanya khabar, Kak Masnah tiba-tiba buka cerita tentang menu rahmah. Dia berkongsi cerita kedai mamak berhampiran rumah kami sediakan menu rahmah. Kak Masnah dan suaminya sudah beberapa kali membeli menu rahmah itu. Kadang-kadang, Abang Zainal bawa satu keluarga makan menu rahmah di luar.

“Makanan dia ok. Selera  juga kami makan. Cuma, Kak tak faham kenapa ada orang kata menu rahmah ni ada macam-macam risiko. Betulkah Bob?

“Kalau tengok biasa saja. Saya pun tak boleh komen sebab tak pernah beli,” jawab saya.

“Bukan apa, ada menu rahmah ni dapatlah Kak rehat. Penat juga nak masak tiap-tiap hari, jaga rumah, tengok anak-anak,” Kak Masnah jelaskan.

“Budak-budak ini pun seronok makan luar, lagi-lagi tengah cuti sekolah ni. Karang, terperuk dekat rumah dah macam PKP pulak,” Kak Masnah menambah sambil ketawa kecil.

Terlihat jelas keluarga Kak Masnah ini nampaknya ceria walaupun mereka bukanlah keluarga yang senang.

“Dengar menu rahmah ni macam kecil, tapi ia amat besar buat Kak, lagi-lagi suri rumah macam Kak ni yang letih buat kerja rumah”, tambah Kak Masnah.

Untung buat wanita

“Kak dengan abang ok ke harga barang naik ni?” tanya saya ala-ala macam orang buat bancian.

“Nak kata senang tu tak lah. Memang harga barang ni makin mahal. Tu yang saya pergi jualan barang basah murah,” jawab Kak Masnah.

“Hari tu, kak pergi jualan murah negeri Selangor buat. Jimatlah sikit duit abang kau tu nak keluar duit beli barang. Mati akal juga tengok duit dia kering setiap bulan,” tambah Kak Masnah lagi.

Sebelum masuk rumah memandangkan hari kian senja, Kak Masnah tanya saya: “Bob, menu rahmah ni sampai bila, eh? Kak harap dia buat lama sikit lah”.

Sambil ketawa saya pun tanya Kak Masnah. “Tak tahu pula saya. Kenapa?”

“Benda macam menu rahmah, jualan murah negeri Selangor buat tu memang banyak membantu. Ringanlah beban Kak sekeluarga yang kadang-kadang susah nak sediakan makanan untuk rumah ni,” Kak Masnah luahkan hasratnya yang menghargai bantuan-bantuan yang dirasakannya.

Mungkin ini perbualan kosong secara spontan antara jiran tetangga. Namun, petang itu mengajar saya bagaimana inisiatif kerajaan yang biasa-biasa seperti menu rahmah ini dapat memudahkan golongan wanita seperti suri rumah yang sudah cukup terbeban dengan kos sara hidup sekarang. Cerita-cerita ini jarang kita dengar di khalayak ramai.

Siapa sangka, inisiatif yang disasarkan kepada isi rumah berpendapatan rendah sebenarnya lebih membantu golongan wanita menjalani kehidupan yang lebih seimbang. Kalau ikut teori logik saya, lagi banyak dasar kebajikan dan bantuan diperluaskan kerajaan, lebih ramai golongan wanita yang dapat kita bantu untuk keluar daripada  kebuntuan hidup.

Kenyataan saya ini membawa kepada satu persoalan, berapa banyak wanita berada dalam golongan B40? Atau dalam satu isi rumah B40, berapa ramai wanita yang ada? Malangnya, saya tidak dapat memperoleh angka spesifik untuk perkara ini kerana kekurangan data di Malaysia.

Tetapi, ada beberapa laporan kajian yang boleh mengambarkan keperitan wanita dalam menghadapi kos sara hidup, khasnya pasca Covid-19. Laporan “Families on the Edge” yang diterbitkan Unicef pada tahun 2020 menyatakan isi rumah B40 diketuai wanita, termasuk ibu tunggal, adalah golongan paling terjejas teruk kerana kehilangan punca pendapatan akibat Covid-19.

Kajian tersebut menunjukkan golongan isi rumah berpendapatan bawah RM2,000 lebih cenderung membeli makanan seperti telur dan mee segera kerana harganya lebih murah berbanding makanan seperti nasi dan protein.

Kajian Unicef ini pula selari dengan kaji selidik Gallup, sebuah syarikat analitik, di peringkat antarabangsa mendapati wanita lebih tertekan dan sukar mempunyai wang membeli makanan pada tahun 2021 meningkat kepada 37 peratus berbanding 34 peratus pada tahun 2020.

Bantu rakyat, bukan main politik

Sebab itu pentingnya pembuat dasar dan masyarakat melihat inisiatif kerajaan itu dari sudut kebaikan kepada kehidupan wanita. Apabila perspektif ini diperluaskan, ia akan memberi kesan limpahan kepada wanita untuk kuat menjalani cabaran hidup yang sering tidak menyebelahi golongan ini.

Ironinya, ketika golongan wanita yang memerlukan inisiatif kerajaan untuk menampung beban hidup, ada pula suara sumbang daripada ahli politik tertentu mempersenda dan mempolitikkan program kebajikan ini kerana mempunyai perbezaan politik. Lebih sedih lagi apabila perkara ini keluar daripada segelintir pemimpin wanita.

Bayangkan sahaja, berapa banyak manfaat yang boleh dinikmati rakyat sekiranya inisiatif seperti meringankan kos sara hidup ini dilaksanakan di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri.

Contohnya dengan adanya menu rahmah yang murah dan jualan jimat atau Ehsan Rakyat diperkenalkan kerajaan Selangor, bukankah ini dapat meringankan beban golongan memerlukan dalam mendapat sumber makanan dengan harga berpatutan yang lebih banyak?  Mungkin sebab itu juga penting untuk memilih kerajaan persekutuan dan negeri yang mengambil berat soal kebajikan rakyat.

Usaha membentuk program meringankan beban hidup rakyat ini akan menjadi lebih menarik menjelang enam pilihan raya negeri (PRN) pada tahun ini. Sudah pasti, setiap parti politik juga akan membina formula dan asas kukuh untuk membantu rakyat agar mereka masih kekal dalam kerajaan masing-masing.

Ini satu persaingan yang sihat dalam merencana pelan kebajikan untuk rakyat. Lebih banyak tawaran program bantuan dan kebajikan rakyat, lebih banyak manfaat akan diterima oleh golongan berpendapatan rendah.

Lebih elok sekiranya masa rakyat digunakan pemimpin untuk membincangkan soal kebajikan rakyat berbanding membangkitkan perasaan sakit hati, perkauman, dan agama di media sosial yang hanya menambahkan lagi kelaparan rakyat di tengah-tengah kesempitan ekonomi. – 22 Mac, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen