Guan Eng tak batal pengecualian cukai Yayasan Albukhary, kata Anwar


Ravin Palanisamy

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan Lim Guan Eng tidak membatalkan pengecualian cukai Yayasan Albukhary semasa ahli Parlimen Bagan itu menjawat menteri kewangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan Lim Guan Eng tidak pernah membatalkan pengecualian cukai Yayasan Albukhary semasa ahli Parlimen Bagan itu menjawat menteri kewangan.

Pengesahan itu berdasarkan rekod Kementerian Kewangan, katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Kerajaan mengesahkan dari rekod Kementerian Kewangan bahawa Yang Berhormat Bagan semasa menjawat menteri kewangan tidak pernah membuat sebarang pembatalan kepada kelulusan percukaian yang didakwa diberikan kepada Yayasan Albukhary.

“Maka dakwaan yang dibuat bahawa beliau membatalkan pengecualian adalah tidak benar kerana hakikatnya kelulusan hanya dibuat pada 25 Februari 2021 iaitu kelulusan pengecualian cukai yang di luar kebiasaan yang melibatkan kedua-dua Yayasan Albukahry dan Kumpulan Albukary,” kata Anwar yang juga menteri kewangan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Ahli Parlimen Tambun itu juga berkata Yayasan Al Bukhari diberikan kelulusan pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53), yang dikecualikan daripada cukai pendapatan.

Beliau menjawab soalan daripada Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang mahu kerajaan mengesahkan sama ada Lim telah membatalkan pengecualian cukai Yayasan Albukhary dan sebab pembatalan dibuat sekiranya ada ketika menjawat jawatan menteri kewangan dari Mei 2018 hingga Februari 2020. 

Anwar selain itu menegaskan kuasa pengecualian cukai adalah kuasa mutlak ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri, bukan menteri kewangan atau perdana menteri.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lalu mendakwa Lim, ketika itu menteri kewangan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan pengecualian pembayaran cukai yang diluluskan untuk Yayasan Albukhary.

Presiden Bersatu itu dipanggil ke ibu pejabat SPRM Putrajaya untuk memberi keterangan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan isu berkaitan. Beliau ditahan pada hari sama sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Lim menuntut Muhyiddin untuk menarik balik dan memohon maaf atas kenyataan tersebut serta mengemukakan bukti atau berdepan saman fitnah. – 21 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen