Guan Eng beri tempoh seminggu lagi untuk Muhyiddin mohon maaf


Lim Guan Eng memberi tempoh tujuh hari kepada Muhyiddin Yassin untuk memenuhi tuntutan yang serahkan peguamnya sebelum memulakan saman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2023.

PENGERUSI DAP Lim Guan Eng memberi tempoh seminggu lagi Muhyiddin Yassin untuk menarik balik dan memohon maaf atas kenyataan didakwa fitnah yang diulangi bekas perdana menteri itu.

Beliau juga mempelawa Muhyiddin mengemukakan tawaran ganti rugi atas kenyataan didakwa mencemar reputasi dan mengguris perasaannya itu.

Beliau memberi tempoh tujuh hari kepada Muhyiddin untuk memenuhi tuntutan berkenaan sebelum memulakan saman ke atas ahli Parlimen Pagoh tersebut.  

Tuntutan itu ekoran siri kenyataan Muhyiddin yang mempertahan kenyataan asal yang didakwa fitnah tersebut.

Kenyataan asal Muhyiddin di Facebook pada 11 Mac yang menuduh Lim membatalkan pengecualian cukai ke atas syarikat pegangan Yayasan Albukhary.

Yayasan tersebut salah satu firma yang terkait dengan kes penyelewengan RM232.5 juta yang dihadapi presiden Bersatu itu.

Muhyiddin dalam kenyataan itu mendakwa yayasan berkenaan menerima pengecualian cukai ketika beliau menjadi perdana menteri.

Dalam kenyataan itu, Muhyiddin seterusnya mendakwa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) enggan melaksana pengecualian cukai selepas PH mengambil alih Putrajaya.

Malah, LHDN juga mengenakan 45% cukai penalti ke atas yayasan itu, dakwanya.

Muhyiddin mendakwa Lim bertanggungjawab ke atas keputusan tersebut, selain menggariskan yayasan itu sebagai “pertubuhan yang melakukan kerja-kerja amal Islam”.

Lim pada tarikh tersebut memberikan tempoh sehingga hari ini untuk Muhyiddin memohon maaf dan menarik balik kenyataan berkenaan.

Beliau seterusnya merujuk kenyataan Muhyiddin kepada pemberita pada 12 Mac yang menyebut bekas perdana menteri itu tidak akan menarik balik tuduhan berkenaan dan enggan memohon maaf.

Lim dalam tuntutan melalui peguam dari tetuan Guok Partnership berkata, siri dakwaan itu hanya direka untuk mengalihkan perhatian dari kes mahkamah dihadapi Muhyiddin.

Katanya, siri kenyataan Muhyiddin antara lain menggambarkan beliau menyalahgunakan kuasa dengan mengeluarkan arahan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi tindakan ke atas yayasan tersebut.

Tambahnya, kenyataan Muhyiddin juga menggambarkan beliau seorang rasis, anti-Melayu dan anti-Islam kerana mensasarkan Yayasan Albukhary.

Ia juga menggambarkan Lim gagal menyelia pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri yang didakwa enggan memberi pengecualian cukai ke atas yayasan itu, katanya.

Lim juga berkata, Muhyiddin selaku bekas perdana menteri sepatutnya lebih berhati-hati dan tidak membuat kenyataan yang meniup sentimen perkauman.

“Kenyataan anda bertujuan dan diperkirakan untuk mengguris dan merosakkan imej anak guam kami sebagai ahli politik dan bekas menteri kewangan.”

Lim juga mendakwa, kenyataan Muhyiddin menggambarkan beliau melakukan jenayah dan serius dengan kenyataan yang tidak benar tanpa bukti.

Walhal, tuduhan dihadapi Muhyiddin sebaliknya menyangkal dakwaan bekas perdana menteri tersebut, kata Lim. – 15 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen