Hilangnya politik budiman


G Manimaran

SUDAH lebih tiga bulan Piala Dunia FIFA 2022 menutup tirai. Tidak ada pihak yang bercakap lagi tentang keabsahan perlawanan akhir yang melahirkan juara edisi baharu – Argentina yang menumpaskan Perancis.

Perlawanan akhir yang cukup menarik, masih segar dalam ingatan. Sebaliknya negara-negara anggota FIFA sudah mula memfokus untuk menghadapi kejohanan empat tahun akan datang, yang akan berlangsung pada tahun 2026 di tiga buah negara Amerika Utara.

Itulah semangat sukan yang menjadi asas tarikan para peminat bola sepak.

Bagaimanapun suasana agak berlainan dalam soal politik tempatan sesudah lebih empat bulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilangsungkan. Cakap-cakap mengenai usaha menggantikan kerajaan pusat berterusan. Sebenarnya Piala Dunia FIFA dan politik dua perkara yang berbeza. Oleh itu kita tidak melihat cakap-cakap sedemikian dalam bidang sukan.

Habis sahaja satu edisi para pemegang taruh akan beralih untuk membuat persiapan menghadapi edisi seterusnya. Itulah semangat budiman dalam bidang sukan.

Pola cakap-cakap bahawa “kerajaan sudah jatuh, akan digantikan dengan baharu” bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia. Malah bukan sesuatu yang luar biasa. Ia menjadi perhatian khusus sejak selepas PRU 2008. Cakap-cakap pasal nombor yang dikuasai untuk mengambil alih tampuk pentadbiran. Seolah-olah pemain-pemain politik telah menjadikannya sebagai satu kes teladan untuk diikuti.

Kata pepatah, “rumah siap pahat masih berbunyi”.

Kemungkinan ada kebenarannya memandangkan aktor-aktor yang terlibat dalam siri lakonan politik negara tidak jauh berbeza. Mereka yang melakonkan adegan politik masih sama.

Tempoh satu tahun pertama selepas PRU14 dan persekitaran semasa pada hari ini nampaknya tidak jauh berbeza. Politiking berdendam berterusan. Sikap terbuka untuk menerima kesudahan tidak ada. Modus operasi untuk menggantikan kerajaan masih sama. Sifatnya masih sama. Ia berterusan.

Saya tidak mahu menggunakan “rampasan kuasa”. Dalam politik istilah ini membawa pengertian berbeza. Saya juga percaya kita belum sampai ke tahap itu meskipun cakap-cakap mengenai juga pernah wujud di awal selepas keputusan PRU 2008.

Aktor-aktor yang terlibat hampir sama. Skrip pun hampir sama.

Kita perlu mengambil pendekatan berpolitik yang berbeza. Lebih matang dalam membawa negara ke anjakan kedinamikan yang lebih konstruktif untuk mengembalikan kegemilangan negara.

Kita perlu membuang politiking remeh-temeh. Rakyat berhadapan dengan pelbagai isu sosioekonomi yang perlu diutamakan.

Kita perlu menerima hakikat bahawa rakyat sudah memberikan mandat semasa PRU15 pada 19 November 2022. Itulah mandatnya. Walaupun tiada keputusan muktamad untuk membentuk kerajaan yang stabil, sebaliknya telah membawa kepada Parlimen tergantung, itulah keputusan rakyat.

Kita perlu menghormati keputusan rakyat. Bukan sahaja di peringkat pusat, tetapi juga di tiba buah negeri yang telah mengadakan pilihan raya negeri (PRN) secara serentak. Enam negeri akan diberikan giliran mereka.

Pengadil pun sudah membuat keputusan. Keputusan telah diumumkan pada 24 November.

Kita mahukan rampasan kuasa atau menjatuhkan kerajaan? Parti-parti politik perlu melihat daripada perspektif yang lebih luas dan lebih besar. Adakah kita mahu menjadi punca kepada, dan hendak meneruskan, ketidaktentuan dan ketidakstabilan?

Kerajaan semasa mempunyai 148 kerusi di Parlimen. Lebih satu daripada 147 kerusi yang diperlukan untuk majoriti dua pertiga. Satu kedudukan yang telah lama dinantikan.

Ada baiknya kita merenung kembali titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika merasmikan sidang Parlimen pertama selepas PRU15 pada 23 Februari lalu.

Titah baginda: “Sehingga ke hari ini, beta telah melalui pelbagai peristiwa dan pengalaman yang sukar untuk beta lupakan.” Baginda merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang telah diberi “keafiatan untuk memerintah negara” dengan empat orang perdana menteri bersama empat Kabinet yang berlainan.

Baginda seterusnya bertitah, “Jika kepelbagaian, kemajmukan dan kekusutan politik berterusan menjadi punca perbalahan dan perpecahan, beta merasa khuatir suasana damai dan kemajuan yang didambakan tidak akan menjadi kenyataan buat selama-lamanya.” Bukan sahaja baginda, semua orang khuatir.

Malah baginda juga berkali-kali pernah menekankan keperluan untuk setiap parti politik di Parlimen bersatu untuk memberi sokongan ke atas Bajet 2023.

Tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah negara seorang Yang di-Pertuan Agong memberikan nasihat sedemikian. Keadaan itu turut mencerminkan peranan Yang di-Pertuan Agong di bawah perlembagaan bukan hanya seremonial semata-mata. Lebih daripada itu.

Hari ini kita ada sebuah kerajaan yang dikenali sebagai “kerajaan perpaduan” dengan dianggotai pelbagai parti politik. Maka, aktor-aktor politik perlu meletakkan keyakinan dan memberikan kepercayaan kepada parti yang mentadbir. Begitu juga pihak yang sedang mentadbir wajar menghargai kehadiran barisan pembangkang sama ada di peringkat pusat ataupun negeri dengan dada terbuka.

Perlu ada pendekatan berpolitik budiman ataupun gentlemen sebaik sahaja pilihan raya selesai. Jika tidak, ketidaktentuan selama empat tahun lalu akan berlarutan. Keyakinan pihak komuniti bisnes dan pelabur akan terhakis. Mereka sedang mengambil pendirian tunggu dan lihat di sempadan negara. Sekarang pun sentimen sedemikian sudah menebal walaupun sudah empat bulan PRU15 berlalu dengan harapan akan ada situasi lebih meyakinkan dan stabil.

Tumpuan kini lebih kepada PRN di enam negeri. Keputusannya juga dinantikan dengan kerisauan sama ada politiking melampau akan berlarutan sehingga tidak menguntungkan rakyat dan negara.

Cakap-cakap kerajaan akan jatuh, tidak akan bertahan lama dan sebagainya sebenarnya merugikan negara. Semua parti perlu mencari kemuafakatan bersama untuk membawa negara ke hadapan, bukannya kekal di persimpangan yang belum diketahui hala tuju seterusnya. Percakaran yang berterusan tidak akan membawa manfaat yang disasarkan.

Di bawah mandat semasa gelanggangnya berbeza iaitu gelanggang untuk mentadbir. Gelanggang untuk bersaing akan datang kembali dalam empat atau lima tahun lagi. Ketika itu parti-parti politik akan berpeluang untuk bertanding mencari mandat yang diidamkan, manakala rakyat pula akan kembali memberikan mandat.

Kita perlu kembali kepada pengalaman Dewan Undangan Negeri Kelantan yang kekal berkuasa selama empat tahun meskipun dengan perbezaan hanya tiga kerusi semasa PRU 2004. Mandat dihargai sehingga penghujung pentadbiran. Tiada cakap-cakap mahu menggulingkan kerajaan.

Ia wujud di depan kita. Mengapa boleh? Ia menjadi kenyataan kerana politik budiman. Kita juga perlu mula mengamalkan politik matang. Kematangan berpolitik perlu dan wajar.

Keunikan Malaysia disumbangkan oleh kekayaan pelbagai kaum, agama dan budaya. Negara dibangunkan atas landasan ini. Bukannya bertindak sebaliknya.

Jadi saya nampak skrip 2018-2019 berulang. Maka timbullah dakwaan dan tanggapan berapa lama kerajaan semasa akan bertahan.

Sebenarnya politik budiman boleh dipraktikkan. Bukan sesuatu yang sukar. Daripada bermain dengan nombor kerusi yang ada di tangan, secara tidak langsung boleh mencetuskan kerisauan dan kebimbangan yang berterusan dalam pemegang taruh, aktor-aktor politik perlu memikirkan pendekatan berbeza untuk mencerminkan politik budiman.

Jika ahli politik gagal, gagallah rakyat dan gagallah negara. – 20 Mac 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen