Kerajaan cuba selesai isu pas lawatan kerja sementara, kata Sivakumar


Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata kementeriannya sedang cuba menyelesaikan masalah penamatan perkhidmatan pekerja asing yang menggunakan PLKS untuk gedung tekstil, kedai gunting rambut dan kedai emas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac 2023.

KEMENTERIAN Sumber Manusia sedang cuba menyelesaikan masalah penamatan perkhidmatan pekerja asing yang menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk gedung tekstil, kedai gunting rambut dan kedai emas.

Menterinya V Sivakumar berkata beliau telah mengadakan perbincangan dan mengemukakan permohonan mengenai perkara tersebut dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub minggu lepas.

“Sejak Januari lepas, beberapa organisasi serta pertubuhan perniagaan yang terlibat  (gedung tekstil, kedai gunting rambut dan kedai emas) bertemu dengan saya dan meminta supaya penamatan pekerja asing yang dibekukan dapat dibuka semula.

“Oleh itu, saya berharap satu pertimbangan dan keputusan yang positif akan dibuat dengan segera setelah saya kemukakan permohonan tersebut kepada kedua-dua menteri berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan 2nd International Tamil Classical Music Conference 2023 di sebuah hotel di Ipoh hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai arahan dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berhubung perkhidmatan pekerja asing menggunakan PLKS di ketiga-tiga sektor berkenaan ditamatkan secara berperingkat.

Menurut Pekeliling JIM bertarikh 28 Februari lepas majikan subsektor kedai tekstil, kedai gunting dan kedai emas tidak lagi dibenarkan memperbaharui permit PLKS untuk pekerja mereka berkuat kuasa 15 Mac, namun surat pekeliling itu tidak memperincikan sebab di sebalik penamatan itu.

Pengusaha perniagaan terbabit meminta supaya kerajaan menarik balik arahan itu yang dikatakan memberi impak kepada kelangsungan perniagaan mereka.

Dianggarkan ketiga-tiga subsektor tersebut memerlukan 15,000 pekerja asing bagi memastikan kelancarannya. – Bernama, 19 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen