Dr Mahathir mainkan politik kaum, agama, kata pemimpin Sarawak


Desmond Davidson

Dr Mahathir dijangka hadir pada himpunan itu, hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2023.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memainkan politik agama dan kaum yang akan memecahbelahkan bangsa dalam usaha terakhir untuk memberi nafas baharu kepada legasinya, kata pemimpin Sarawak.

Menurut mereka, Dr Mahathir sepatutnya tahu beliau bermain dengan api jika menyokong perhimpunan Proklamasi Orang Melayu yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Dua Pemimpin parti politik bukan Melayu Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Snowdan Lawan dan Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Bobby Williams berkata Dr Mahathir mesti dihentikan jika beliau melampaui batas dalam hal hubungan kaum yang rapuh di negara ini.

“Ia memecah belah. Ia akan mengeruhkan lagi hubungan kaum di negara ini.

“Dr Mahathir patut lebih tahu daripada bermain dengan api,” kata Williams.

Kata Williams jika himpunan itu dibenarkan berlaku ia akan ‘menyebabkan pergolakan’ antara Melayu dan bukan Melayu.

Namun Lawan lebih cenderung percaya Dr Mahathir menggunakan himpunan itu sebagai agenda politiknya bukannya mengumpan kaum.

“Dr Mahathir ada motif tersembunyi. Dia hanya cuba untuk menghidupkan semula sokongan politik dan populariti peribadinya yang pudar.

“Saya tafsirkan ia sebagai nak promosikan legasinya. Ini percubaan terakhirnya untuk memberi nafas baharu kepada legasinya itu,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

Menurut Lawan, bekas perdana menteri itu mengambil langkah pertama dengan menyokong kenyataan anaknya Mukhriz Mahathir berkait pemansuhan sekolah vernakular.

Sementara itu Lawan juga berkata Dr Mahathir boleh menggunakan himpuan itu untuk mengalih tumpuan orang ramai daripada legasi pentadbirannya di tengah-tengah ketegasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim melawan pemimpin yang terpalit rasuah.

Pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 di Shah Alam semalam Anwar berkata, “banyak bekas pemimpin terlibat rasuah, bila diberi peluang memimpin, mereka sia-siakan dan kayakan ahli keluarga sendiri.”

Tanpa menamakan sesiapa, Anwar berkata pemimpin ini menjadikan anak-anak mereka bilionair.

“Saya akan lawan mereka,” kata presiden PKR itu.

Kata Lawan menyedari perkara itu, memainkan sentimen dan isu politik pilihan terbaik untuk mengalihkan perhatian.

“Dr Mahathir sepatutnya kekalkan kepimpinannya, sumbangannya kepada negara dan tokoh kebapaan dihormati.

“Yang terbaik benarkan kerajaan perpaduan untuk bekerja sementara Dr Mahathir keluar,” kata Lawan.

Dalam pada itu Williams berkata beliau percaya kehadiran Dr Mahathir pada himpunan itu nanti tiada kaitan dengan mempertahankan Melayu dan hak mereka.

Katanya himpunan itu tidak sepatutnya dibenarkan kerana akan menyebabkan pergolakan.

Sementara Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkilili berkata rakyat Malaysia sepatutnya tidak menghiraukan bekas perdana menteri itu.

“Rakyat patut abaikan saja beliau. Beliau peninggalan masa lalu.

“Himpunan itu tidak akan berjaya,” katanya.

Setiausaha Agung Parti Sarawak Bersatu (PSB) Baru Bian dalam kenyataan berkata ada baiknya perdana menteri memberi amaran kepada mereka yang cuba meniupkan api perkauman dan meyakinkan negara ini milik rakyat Malaysia.

“Polis perlu perhatikan mereka yang cuba buat kacau dan ambil tindakan sewajarnya supaya kestabilan negara boleh dikekalkan dan kerajaan sekarang diberi ruang untuk membina semula ekonomi negara bukannya terpaksa berdepan dengan mereka yang ada agenda sendiri untuk dapatkan kuasa politik,” katanya yang juga Adun Ba’ Kelalan. – 19 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen