SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang giat menjejaki aset dan wang yang berkaitan dengan aktiviti haram sindiket penipuan pelaburan antarabangsa.
SPRM dalam satu kenyataan berkata usaha mendapatkan semula berjuta-juta ringgit sedang dijalankan dengan bantuan Bank Negara Malaysia (BNM), Interpol, Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA – United Kingdom) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Agensi antirasuah itu sedang mendapatkan wang itu selepas empat dalang sindiket itu yang merupakan warga asing didakwa di mahkamah di Shah Alam pada 16 Mac dan Butterworth pada 17 Mac, tiga minggu selepas operasi mereka dilancarkan.
Mereka ditangkap dalam operasi rahsia SPRM, kod bernama Op Tropicana yang diadakan serentak di 24 premis di Lembah Klang dan Pulau Pinang.
Empat warga United Kingdom itu dijatuhkan hukuman penjara dan denda selepas mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif menipu.
Semalam Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara enam bulan kepada dua lelaki warga Britain selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menjalankan penipuan skim pelaburan dalam talian antarabangsa.
Hakim Rozilah Salleh turut mendenda Andrew Mark Peters, 55, RM180,000 sebagai ganti penjara 22 bulan, manakala Darren Anthony McNicholas, 51, didenda RM140,000 sebagai ganti 16 bulan di penjara.
Peters didakwa dengan dua pertuduhan menjalankan skim itu, mengarahkan McNicholas di bawah nama samaran “David Henshaw” dan “Henry Paxton” untuk memperdaya warga Scotland dengan jaminan keuntungan tinggi daripada pelaburan jangka pendek dengan membeli saham dalam dua syarikat yang tidak wujud.
Sebelum ini lima warga Britain dan dua warga Filipina adalah antara 10 orang yang ditahan SPRM dalam serbuan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 21 Februari lalu berhubung skim penipuan pelaburan antarabangsa yang turut melibatkan pengubahan wang haram dan amalan rasuah lain.
Mengenai dakwaan SPRM sedang memantau lima bank utama berhubung penglibatan dalam sindiket penipuan itu, agensi itu berkata siasatan lebih tertumpu kepada individu terbabit dan bukannya melibatkan institusi kewangan secara khusus.
“Mereka adalah segelintir golongan profesional termasuk pegawai bank, akauntan dan setiausaha syarikat yang bertindak bagi membolehkan operasi sindiket haram itu.
“SPRM akan terus bekerjasama rapat dengan BNM dan agensi penguatkuasaan lain untuk menumpaskan sindiket penipuan antarabangsa ini,” katanya. – 18 Mac 2023.
Komen