Finas jangka RM1 bilion pelaburan daripada 25 filem dan produksi TV


PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dijangka menerima pelaburan mencecah RM1.02 bilion daripada 25 projek yang berjalan tahun ini.

Ketua pegawai eksekutifnya Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata ini termasuk 18 projek antarabangsa melibatkan filem dan program realiti serta tujuh produksi tempatan.

Menurut Nasir pada Januari terdapat dua produksi antarabangsa yang sedang menjalankan penggambaran di Malaysia dengan pelaburan RM416 juta melibatkan program realiti dan filem cetera.

“Program realiti akan jalani penggambaran di utara manakala projek filem itu akan diarahkan oleh pengarah yang menang Oscar dua kali.

“Penggambaran filem itu akan dijalankan di beberapa tempat termasuk Lembah Klang, Pulau Pinang, Sandakan dan Johor Bahru,” katanya.

Tambahnya, pelaburan bernilai RM416 juta itu kebanyakan disalurkan kepada kru, hotel, studio, makanan da minuman, pengangkutan, hiburan serta pelancongan.

Katanya kesemua angka yang disebutkan itu daripada Perbelanjaan Kos Produksi di Malaysia (QMPE).

“Rebat tunai 30%+ 5% (Cultural Test) akan diberikan kepada produser mengikut QMPE.

“Dana ini disediakan kerajaan sebagai insetif tambahan kepada pembangunan kandungan kreatif khususnya untuk filem, televisyen dan lain-lain produksi skrin,” katanya.

Menurutnya sejak 2013 Finas memperoleh pelaburan RM2.4 bilion yang memanfaatkan orang tempatan.

Tahun lalu jumlah pelaburan diterima Finas mencecah RM187 juta.

Ketika ditanya sama ada pengarah yang memenangi Oscar Ang Lee akan mencari pelakon bagi filem biopik legenda kungfu Bruce Lee di sini, Nasir berkata perkara itu rahsia susulan adanya Dokumen Perjanjian Kerahsiaan (NDA).

“Kami tak boleh dedahkan nama projek, produser, pengarah, pelakon buat masa ini sebab adanya NDA.

“Produksi yang akan tentukan bila boleh dedah,” katanya.

Tahun lalu dilaporkan Ang Lee berada di Johor Baru pada Disember dikatakan mencari lokasi penggambaran.

Filem yang dalam proses penggambaran di 3000 Pictures akan dibintangi anak Ang Lee, Mason, 32 yang memegang watak sebagai Bruce Lee. – 24 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen