Menu Rahmah tetapi Islam tidak rahmah


Mohd Syazreen Abdullah

Sikap rahmah bukan hanya seputar makan minum sahaja sebaliknya termasuk semua perkara seperti dalam konteks masyarakat beragama dan kebebasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2023.

DI MANAKAH wacana Islam Rahmah? Menu Rahmah dan segala macam rahmah sudah ada. Bawah naungan kerajaan Madani, Melayu Islam atau non-Muslim, kini semua orang boleh tahu dan cakap mengenai rahmah – kesedaran kasihkan kemanusiaan dan bersimpati atas kesusahan orang lain.

Kerana itu Menu Rahmah alternatif kerajaan yang difahami sebagai salah satu solusi menyelesaikan masalah ekonomi sosial.

Meringankan beban kesusahan atas sikap kemanusiaan. Baguslah kalau difahami begitu dalam konteks membantu kesusahan orang –  itu sememangnya sifat rahmah.

Namun yang jadi masalah, kenapa masih ada tindakan pemimpin dan badan keagamaan kita yang tidak melambangkan sifat rahmah?

Khususnya dalam soal kehidupan kebebasan masyarakat beragama hari ini.

Adakah sikap rahmah itu selektif dan hanya seputar makan minum sahaja?

Di manakah suara rahmah dalam konteks masyarakat beragama dan kebebasan?

Lihat tindakan kekerasan yang dizahirkan badan kekuasaan agama baru-baru ini yang jelas tidak melambangkan sikap rahmah dan madani. Kebebasan berkarya dikawal. Interpretasi karya seni jadi tidak rahmah.

Kononnya melanggar keyakinan beragama. Sehinggakan mengundang kekerasan terhadap karya tersebut. 

Satu demi satu tindakan tidak rahmah ditonjolkan sehingga Muslim dilarang mengadakan program di rumah ibadat agama lain. Anehnya, kalau umat agama lain kita mahu dakwah mereka ke masjid.

Logik beragama apa yang tertanam dalam benak pemikiran Melayu dan pemimpin Islam beragama hari ini?

Terus membiarkan masyarakat menjadi samseng dalam beragama sehingga mengundang kekerasan adalah tindakan tidak rahmah.

Maka, rahmah tentang wacana moral yang organik. Wacana moral rahmah harus sentiasa ditanamkan dalam masyarakat beragama hari ini. Rahmah memupuk kemanusiaan dalam beragama.

Bukan marah-marah. Cuba renungkan sikap moral di tengah-tengah masyarakat beragama hari ini.

Apakah ia semakin rahmah atau marah-marah?

Ia bukan lagi sekadar Menu Rahmah. Ia soal bagaimana menyikapi kehidupan beragama.

Fikirkan di mana kedudukan wacana rahmah dari sudut sosial dan keberagaman.

Ironi, bermacam-macam rahmah tetapi kita gagal untuk bersikap rahmah yang sejagat. 

Sedarilah, sifat rahmah tidak boleh dibeli dengan nilai harga lima ringgit dan slogan populis politikus. 

Janganlah kita sempitkan sesuatu yang luas. Rahmah manifestasi kasih sayang Tuhan. Sikap sejagat yang menjangkau lintas budaya, agama dan bangsa. Ia tidak boleh dibeli dengan kekuasaan.

Malangnya, intipati rahmah tidak dihayati dalam skop yang luas. Sebaliknya kita bersikap selektif dan memilih rahmah mengikut versi kita. Bukan sejagat. Yang tidak sealiran kefahaman agama dan keimanan kita, maka kita jadi tidak rahmah – hipokrit.

Kita membuli kelompok yang berbeza keyakinan.

Justeru, setiap wacana rahmah seharusnya ada pendalilan terhadap sesuatu moral yang dilakukan.

Pentingnya bahawa di sini pendidikan berfikir logika, burhan atau pembuktian dalam sesuatu perkara. Menggunakan metode berfikir demonstrative terbuka adalah dengan memahami Islam secara humanis. 

Malangnya kita kurang mencermati dan meneliti hal moral sekali gus hanya menerima sesuatu moral yang dibentuk sifat populis tanpa kefahaman ikatannya dengan agama.

Inilah tugas berat pemerintah. Dakwah harmoni tanpa ada sebarang bentuk kekerasan dan pemaksaan. Mencari solusi kemanusiaan tanpa sedikit pun kekerasan.

Mewujudkan wacana berfikir tentang bagaimana memupuk moral dan akhlak dalam wacana rahmah kepada masyarakat berbagai macam aliran dan pegangan di Malaysia.

Kita tidak boleh selama-lamanya bersikap melenting terhadap perkara yang kita anggap berbau provokasi seterusnya mengambil tindakan selamat dengan jalan kekerasan.

Sebaliknya harus berusaha mencari jalan menyedarkan sikap kasih sayang dan menghormati pilihan masing-masing. Bukan masih di takuk lama melalui pendekatan marah-marah dan kekerasan. 

Cukuplah kerajaan sebelum ini melakukan. Begitu aib andai kerajaan madani turut memilih jalan kekerasan.

Janganlah kerana kita takut tindakan rahmah begitu menghilangkan sokongan dan kuasa akhirnya memilih menjadi hamba kepada pemikiran melampau dan selamanya tidak mahu keluar cara berfikir solusi tentang bagaimana mahu mendidik umat jadi lebih rahmah.

Ikuti teladan Nabi dalam menyikap hal ini. Rasulullah mendidik umatnya dengan penuh rahmah. Rasulullah mendidik sikap rahmah kepada para sahabatnya. Sabda Nabi:

Selamanya kamu belum dikatakan beriman sampai kamu memiliki sifat kasih sayang. Sahabat berkata: sesama kamikah sifat kasih sayang itu?

Rasulullah bersabda: Sifat kasih sayang itu bukan hanya sesama sahabatnya saja, namun kasih sayang itu adalah kasih sayang untuk seluruh ummah iaitu kepada seluruh makhluk ciptaan Allah”.

Rahmah bukan merangkumi soal manusia tertentu sahaja. Rahmah dengan kelompok itu dan tidak rahmah kepada kelompok lain.

Malah rahmah yang diajar Nabi kita Muhammad SAW adalah yang berbuat baik kepada kamu, juga mereka yang berbuat jahat kepadamu.

Ada kisah lain sikap Rahmah diajar nabi. “Aku ikut membantu Nabi di rumahnya selama sepuluh tahun. Beliau tidak pernah berkata-kata kasar, tidak pernah menyakitiku, tidak pernah membentakku, tidak pernah menampakkan wajah cemberut di hadapanku, dan bila menyuruh aku melakukan sesuatu lalu aku terlambat mengerjakannya beliau tidak pernah memarahiku. Bahkan bila ada salah seorang keluarganya memarahiku, beliau mencegahnya sambil mengatakan: “Biarkan saja, tidak apa-apa. Bila Allah menghendaki sesuatu, itu pasti akan terjadi”.

Nabi diutuskan menyebarkan akhlak rahmah bukan menebar kebencian yang dibungkus bahasa kebenaran yang tidak mempunyai akhlak. Bahkan dengan kekerasan. Islam dibawa nabi kita adalah agama rahmah yang membela kemanusiaan. 

Kata pemikir Islam, Fazlur Rahman bahawa Islam itu bererti merasa aman, utuh dan integral. Jadi Islam ajaran kedamaian yang menciptakan keamanan sama sekali melarang kekerasan. 

Islam bukan ajaran marah-marah seperti dalam hadis tersebut bahawa Nabi Muhammad tidak mempamerkan Islam marah sebaliknya sikap rahmah dan kasih sayang sekaligus kedamaian.

Pentingnya hidup damai dan menghargai setiap perbezaan yang ada. Wacana rahmah adalah tentang kesedaran dalam diri agar tidak merasa sombong dan berkuasa menindas ke atas orang lain. Kita sebagai makhluk sentiasa memerlukan antara satu sama lain dalam kehidupan. Saling melengkapi.

Demikian, Islam Rahmah boleh jadi songsang dan berubah marah-marah apabila bergumul dengan pemahaman manusia dan pemerintah yang kaku dan tidak manusiawi.

Masyarakat rahmah tidak sesekali terpalit dengan fahaman kekerasan.

Tuhan melarang sikap kekerasan terhadap yang berbeza dengan kita. Tidak kiralah bangsa, agama dan keyakinan. Jangan jadikan teologi sebagai sikap sombong terhadap keyakinan orang lain sehingga saling mempertikaikan antara umat beragama.

Persoalannya, rahmah versi apa yang kita pakai hari ini?

Jika atas jalan kekerasan dan marah-marah, itu bukan ajaran rahmah daripada nabi. Nabi menyifati rahmah seluruh alam makhluk di bumi dan di langit. – 17 Mac, 2023.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen