Saudi-Iran kembali berkawan, apakah sektarianisme berakhir?


Faisal Tehrani

Berita mengenai Arab Saudi dan Iran kembali memulihkan hubungan dua hala menjadi tajuk utama akhabr di Tehran hujung minggu lalu. – Gambar AFP, 14 Mac 2023.

PENGUMUMAN bahawa Arab Saudi dan Republik Islam Iran kini kembali memulihkan hubungan dua hala, setelah mengalami proses ‘perdamaian’ yang diterokai oleh China memang berlaku hampir tiba-tiba. 

China beroleh ‘kemenangan besar’ di Timur Tengah dengan melebarkan pengaruh dan penguasaannya. Manakala Iran yang sering tersepit oleh sekatan ekonomi dijangka dapat bernafas. Arab Saudi pula, barangkali akan beroleh manfaat dari pengetahuan dari pembangunan loji nuklear Iran. 

Di tengah-tengah itu ada harapan yang krisis dalaman Lubnan yang sering didalangi oleh kedua-dua buah negara iaitu Iran dan Arab Saudi akan kembali mereda. 

Juga, mungkin akan ada jalan keluar untuk Yemen yang sedang mengalami kenestapaan oleh gasakan Arab Saudi dan juga kebuluran ekoran perang.

Hubungan Iran dan Arab Saudi memang ada naik turun yang serius. Kali akhir kedua-duanya berbalah adalah ekoran tindakan Arab Saudi membunuh ulama Syiah terkemuka dari Saudi iaitu Sheikh Nimr pada 2016. Pembunuhan itu mendorong protes besar di Iran, dan menjalar ke Iraq. Kedutaan Arab Saudi di Tehran juga diserbu perusuh yang amarah. 

Akan tetapi dalam tempoh itu juga, iklim Timur Tengah mengalami pergolakan yang tidak dijangka. ISIS sang teroris telah tewas dan meski belum benar pupus, sudah dapat dianggap tidak signifikan. Iraq kembali bernyawa. 

Hubungan Qatar dan Arab Saudi yang terjejas pada 2017 kelihatannya memberi manfaat besar kepada Iran. Negara-negara Teluk seperti Emiriah Arab Bersatu turut kini berusaha merapati negara Parsi tersebut. Syria belum penuh tergugat malah makin utuh dengan dokongan Rusia. 

Semua di atas tidak memberi kelebihan, dan di tengah fasa pembaharuan dan modenisasi Arab Saudi di bawah ketiak Mohammed bin Salman, itu tidak membantu bahkan menyulitkan Arab Saudi.

Kembalinya Arab Saudi dan Iran di ‘meja ummah’ juga menandakan ‘kekalahan di pihak Amerika Syarikat dan Israel’ sebagai kuasa penentu politik di rantau tersebut. 

Hal ini dijangkakan bakal merubah lanskap politik Timur Tengah dengan begitu dramatik sekali. 

Akan tetapi, satu persoalan yang paling relevan — apakah ‘percintaan kembali’ Arab Saudi dan Iran ini akan meredam atau merendahkan suhu sektarianisme di seluruh dunia Islam. 

Umum mengetahui, perang sekte antara Sunni dan Syiah (meski Arab Saudi tidak layak dianggap mewakili Ahlus Sunnah wal Jamaah) berbumbukan wang petro-dolar dari Riyadh dan respon balas Iran yang selalu berlebihan.

Krisis mazhab atau sekte yang panas dan ganas sering berlaku di Iraq, Pakistan, Afghanistan, Nigeria dan tidak terkecuali di rantau Asia Tenggara. 

Di negara ini, anutan Wahabi oleh segelintir agamawan, penindasan secara legalistik terhadap mazhab Syiah dan kehilangan aktivis mazhab tersebut iaitu Amri Che Mat merupakan tanda yang jika dilacak adalah bersumberkan pertelagahan Arab Saudi dan Iran. 

Persoalan yang valid ekoran Arab Saudi dan Iran kembali menjadi ‘geng’ ialah apakah sektarianisme di negara ini akan ikut menguncup?

Malangnya tidak.

Pengaruh Wahabi telah benar-benar menular, dan momok Wahabi ini sudah dianut oleh banyak hantu-hantu lokal yang lain. Kalaupun wang Wahabi yang selama ini mengalir dari Arab Saudi tergencat, dan Iran juga menutup saluran dananya, momok Wahabi sudah berdikari dan seperti sang Frankenstein sudah boleh memocong dan mengilai malah menggila dengan wewenang sendiri.

Sebagai contoh, sumber sebenar pemomokan, stigmatisasi, kempen jahat dan fitnah hodoh terhadap masyarakat Syiah tempatan kini datangnya dari pihak berkuasa agama. Siapakah pula yang memberikan idea dan tenaga kepada mereka?

Tidak selalu dan semestinya Arab Saudi. Ia boleh datang dari India, meski tetap hulunya Riyadh.

Pada 1992, sekumpulan agamawan berhimpun di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) lantas menjayakan sebuah seminar yang dinamakan Seminar Ahli Sunnah dan Syiah Imamiyyah. Seminar dua hari pada 26 dan 27 Disember 1992 itu, antara lain menampilkan Wan Zahidi Wan Teh, yang menjaja kisah palsu bahawa Syiah digagaskan oleh Yahudi, memetik ‘Muhammad bin Abdul Wahab’ (pengasas Wahhabisme) sebagai ‘imam’ dan menggelar Syiah bukan Islam. 

Kertas lain yang benar-benar problem ialah tulisan daripada Mohd Asri Yusof, sarjana Deobandi tersohor dengan ‘Bahaya Syiah Kepada Aqidah, Syariah, Akhlak, Ummah dan Negara’. Beliau memulai kertasnya dengan ayat ‘ajaran Syiah pada hakikatnya adalah satu ajaran yang dirancang dan disusun sekian lama oleh musuh Islam. Ia merupakan hasil dan buah daripada pokok-pokok beracun yang ditanam oleh musuh-musuh Islam di bumi Islam’.

Kertas Asri yang tiada metodologi, kerangka akademik dan penuh fitnah kemudian kelihatannya semacam menjadi rujukan oleh pihak berkuasa agama negara ini. 

Asri yang dapat dikatakan agak ekstrem memanggil Syiah sebagai Hindu dan ‘jakun di Afrika’ lantaran berkabung tatkala Muharam. Ada banyak persamaan antara kertas Asri dan perincian mazhab Syiah oleh pihak berkuasa negara ini.

Seminar 1992 di UKM itu mendorong pengharaman Syiah di Malaysia yang kemudian dituruti oleh semua negeri dan menjadi permulaan kepada sektarianisme di negara ini. 

Ia mencapai kemuncaknya antara 2010 hingga 2016 apabila pentadbiran Najib Razak yang korup mempunyai hubungan rapat dengan Arab Saudi. Klimaks kejahatan terhadap penganut Syiah lokal ialah kehilangan paksa terhadap Amri Che Mat pada 2016. 

Punyalah gila, hari ini, Malaysia mencipta sejarah dengan menjadikan seorang Syiah sebagai satu kesalahan jenayah syariah. 

Bukan itu sahaja, pada 2014 militan Wahabi merancang untuk mensasarkan masjid Syiah di Kedah. Hal ini didedahkan oleh Ahmad Zahid Hamidi selaku menteri dalam negeri di Parlimen pada 8 Mac 2016.

Katanya: “Saya ambil contoh September 2014, kumpulan Daesh ini telah merancang untuk menguji bahan letupan buatan sendiri atau improvised explosive device (IED) di Alor Setar. Serangan disasarkan di beberapa lokasi di Kedah antaranya ialah masjid Syiah dan tokong Cina. 

“Pada 30 Januari 2015 seramai 13 orang elemen Daesh merancang untuk menculik pemimpin-pemimpin negara termasuk perdana menteri, menteri dalam negeri dan juga menteri pertahanan. 

“Mereka merancang untuk juga mencuri senjata di Kem Hobart Kedah dan lapangan sasaran Bukit Pinang Kedah. Mereka turut merancang untuk merompak van syarikat keselamatan yang membawa wang tunai dari Genting Highlands sebagai dana untuk melancarkan jihad di Malaysia. 

“Pada April 2015 seramai 11 orang elemen Daesh merancang untuk memusnahkan beberapa pusat hiburan, pusat maksiat dan perjudian di sekitar Kuala Lumpur. Mereka turut merancang untuk meletupkan Putrajaya. Bagi tujuan tersebut, satu persiapan dan uji kaji letupan bom telah dibuat. 

“Pada Mei 2015, mereka merancang untuk mengebom bangunan Freemason Lodge di Bukit Jalil.”

Anehnya, perancangan jahat ISIS terhadap masyarakat Syiah ini tidak pernah menjadi iktibar buat kerajaan. Pemomokan ke atas Syiah terus berlaku dalam tempoh itu, sehinggalah Amri Che Mat diculik oleh ejen kerajaan sendiri. 

Jika Malaysia sendiri menindas rakyat sendiri bermazhab Syiah, manalah tidaknya ISIS berani membuat onar?

Walhasil, ‘perdamaian’ antara Arab Saudi (Wahabi) dan Iran (Syiah) belum tentu akan menguntungkan penganut minoriti Syiah di rantau lain selain Timur Tengah. 

Momok-momok Wahabi yang dilepaskan dari sangkar sebelum era Mohammed bin Salman amat bermaharajalela. Tidak ada kesantunan dan kasih sayang yang dapat memadamkan hantu-hantu ganas zaman terdahulu.

Bahkan trauma yang dialami oleh masyarakat Syiah di seluruh dunia lanjutan dari kekejaman Wahabi beberapa dekad lalu masih perit dan pedih dan sukar dilupakan. – 14 Mac 2023. 

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen