DAP tanya bolehkah Hamzah simpan fail pemimpin kerajaan?


Dalam wawancara bersama The Star, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zaiudin mendedahkan mendedahkan beliau menyimpan banyak fail pemimpin kerajaan sejak menteri dalam negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac 2023.

BOLEHKAH Hamzah Zainudin menyimpan fail berkaitan pemimpin-pemimpin kerajaan sedangkan beliau bukan lagi menteri dalam negeri, soal DAP.

Perkara itu dibangkitkan Lim Kit Siang dan Lim Lip Eng susulan Hamzah semalam mendedahkan beliau menyimpan banyak fail pemimpin kerajaan sejak menteri dalam negeri, dan tidak mustahil akan didedahkan jika kerajaan terus mencari kesalahan pembangkang.

Menurut mereka Hamzah mungkin melakukan melanggar undang-undang jika benar berbuat demikian.

“Adakah Hamzah akan menyerahkan diri kepada polis kerana menyimpan fail kerajaan walaupun beliau bukan lagi menteri dalam negeri?” soal Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Fail mengenai pemimpin kerajaan itu didedahkan Hamzah yang juga setiausaha agung Bersatu dalam wawancara bersama The Star semalam.

Kenyataannya itu dikeluarkan sebagai ingatan kepada kerajaan supaya tidak terlalu kerap mencari kesalahan pembangkang, sambil menegaskan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang menghadapi tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram menjadi mangsa pendakwaan terpilih.

“Jangan cari salah saja. Saya boleh cari salah mereka.

“Saya pernah jadi menteri dalam negeri. Saya rasa saya ada banyak fail berkenaan mereka juga, (terpulang) sama ada saya nak gunakannya atau tidak,” katanya dipetik The Star.

Dalam kenyataannya hari ini, Kit Siang selanjutnya mempersoalkan mengapa Hamzah tidak mengambil sebarang tindakan jika betul mempunyai bukti salah laku membabitkan pemimpin kerajaan.

“Jika fail dalam simpanan Hamzah menunjukkan pemimpin Pakatan Harapan-Umno terlibat rasuah dan pengubahan wang haram, menaga kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak ambil tindakan?”

Sementara itu Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng dalam satu kenyataan berasingan mengemukakan tiga soalan kepada Hamzah.

“Pertama, bolehkah Hamzah simpan fail seperti yang didakwa, terutamanya selepas beliau bukan lagi menteri dalam negeri? Jika jawapannya ya, adakah bekas menteri dalam negeri Ahmad Zahid Hamidi dan Muhyiddin Yassin juga menyimpat rekod sulit tersebut?” soalnya.

Tambahnya, jika Hamzah tahu terdapat bukti dalam fail yang didakwa itu, mengapa pesalah berkenaan tidak tidak dihadapkan ke mahkamah semasa ahli Parlimen Larut itu berada dalam kerajaan, dan mengapa baru sekarang mahu mengugut kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Beliau turut bertanya adakah Hamzah cuba menjadikan fail tersebut sebagai bahan tawar-menawar dengan kerajaan.

“Ketiga, bukankah Hamzah tidak bertanggungjawan kerana tidak menegakkan keadilan apabila tidak melaporkan jenayah kepada pihak berkuasa? Jika fail-fail berkenaan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi, bukankah Hamzah telah melakukan kesalahan kerana menyimpannya?” soal ahli Parlimen DAP itu.

Beliau seterusnya menggesa pihak berkuasa menyiasat Hamzah kerana cubaan menutup perbuatan jenayah. – 13 Mac 2023. 

Berita penuh di sini
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen