Kerajaan tidak akan layan usaha melobi pelaksanaan 5G, kata Fahmi


Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kementeriannya tidak akan terkesan dengan sebarang tindakan untuk melobi kontrak pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac 2023.

MENTERI Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menegaskan tidak akan melayan sebarang usaha melobi berhubung pelaksanaan 5G di Malaysia sama ada dibuat menerusi laporan yang disiarkan di media antarabangsa mahupun dalam negara.

Beliau berkata penilaian, perbincangan dan penelitian sedang dilakukan berhubung hala tuju pelaksanaan 5G dan pihak kementerian tidak akan terkesan dengan sebarang tindakan untuk melobi kontrak pelaksanaan rangkaian itu di negara ini.

“Sekiranya ada mana-mana media yang mendengar ucapan saya ini, hentikan perkara itu, tiada lagi perbuatan melobi melalui media luar ataupun media dalam negara, cukuplah. Berikan kami ruang untuk bincang hingga ke penghujungnya.

“Kami tidak akan melayan dan kami tidak akan terpengaruh dan kami juga tidak akan prejudis. Bentangkanlah lima muka surat ke, 10 muka surat ke, saya tak baca satu patah pun, di depan saya adalah perbincangan yang perlu dilakukan dan saya akan tetap berpegang padanya,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini. 

Fahmi menjawab celahan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat menyemak semula tender yang diberikan kepada Ericsson dan kesan kewangan kepada kerajaan jika tender 5G tersebut disemak semula dan diberikan kepada pihak lain.

Chong berkata soalannya itu adalah berikutan artikel yang disiarkan oleh Financial Times bertajuk “Huawei fights for role as Malaysia reviews 5G tender” yang disiarkan tiga hari lepas. 

Sebelum ini, syarikat telekomunikasi gergasi Sweden Ericsson menegaskan kontrak 5G dengan Digital Nasional Bhd (DNB) diperoleh secara adil, berdasarkan penyelesaian utama dan kompetitif.

Pada 4 Mac lepas, Ericsson dalam satu kenyataan memaklumkan kontrak 5G, menurut DNB pada Julai 2021, diberikan mengikut standard tadbir urus yang paling ketat berdasarkan nasihat EY Consulting.

Terdahulu, Fahmi berkata kerajaan dijangka membuat keputusan muktamad mengenai hala tuju model pelaksanaan rangkaian 5G pada penghujung Mac 2023.

Beliau berkata sejak proses perbincangan dan sesi libat urus kementerian bersama syarikat telekomunikasi, DNB serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia berhubung perkara itu dimulakan, aspek ketelusan dalam pelaksanaan projek tersebut dapat diterjemah dengan lebih berkesan.

“Sebagai sebuah kerajaan yang mengangkat konsep negara hukum, kita juga menghormati the sanctity of contract, sekiranya ada apa-apa kontrak yang telah ditandatangani, kita akan hormat,” katanya.

Beliau berkata pihaknya tiada sebarang halangan sekiranya pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia merasakan ada keperluan untuk menyiasat daripada aspek tatakelola dan urus tadbir dalam projek berkenaan.

“Sekiranya perlu maka siasatlah tapi bagi pihak kementerian yang diamanahkan untuk mengelola dan mengemudi proses ini, kita akan pastikan proses ini dapat diselesaikan dan insya-Allah, kita akan umumkan nanti,” katanya. 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini mengarahkan pelan pelaksanaan 5G disemak semula kerana tidak dilaksanakan secara telus oleh kerajaan sebelum ini dan ketiadaan proses tender sewajarnya. – Bernama, 9 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen