Kelantan, Terengganu, Kedah paling rendah mohon IPR, kata Rafizi 


Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata program itu untuk mengupayakan golongan B40 dan miskin tegar di seluruh negara bagi meningkatkan potensi pendapatan setiap isi rumah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2023.

NEGERI Kelantan, Terengganu dan Kedah mencatatkan jumlah permohonan yang paling rendah untuk menyertai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilancarkan pada minggu lepas.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM750 juta di bawah Belanjawan 2023 untuk melaksanakan IPR yang memberi tumpuan kepada mengupayakan golongan B40 dan miskin tegar di seluruh negara untuk meningkatkan potensi pendapatan setiap isi rumah.

“Sudah tiba masanya kepimpinan kerajaan negeri yang dikawal oleh Perikatan Nasional (PN) memastikan perancangan ekonomi di peringkat negeri juga sama baik.

“Saya syorkan adalah lebih baik bekerjasama menyambut usaha kerajaan persekutuan kerana peruntukan telah diberikan dan program telah disediakan,” katanya menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PAS-Permatang Pauh) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Rafizi berkata kerajaan telah memperuntukkan 50% daripada perbelanjaan pembangunan di bawah Belanjawan 2023 kepada lima negeri termiskin iaitu Sabah, Kelantan, Sarawak, Kedah dan Terengganu.

Sementara itu, beliau berkata Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES dan BA) yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi tahun 2022 dijangka diterbitkan pada pertengahan 2023.

HIES dan BA dijalankan dua kali setiap lima tahun dan data ini digunakan untuk pelaporan sosioekonomi dan input kepada penggubalan dasar kerajaan, katanya. – Bernama, 7 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen