Kerajaan mahu perkasa rakyat dengan hapuskan status muflis, kata pakar ekonomi


Alfian Z.M. Tahir

Pakar ekonomi berkata kerajaan mahu mengukuhkan ekonomi dan memperkasakan golongan muda dengan menghapuskan status kira-kira 120,000 orang yang diisytiharkan muflis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac 2023.

PUTRAJAYA mahu mengukuhkan ekonomi dan memperkasakan golongan muda serta kelas pekerja dengan menghapuskan status kira-kira 120,000 orang yang diisytiharkan muflis, kata pakar ekonomi.

Menurut pakar langkah kerajaan itu secara tidak langsung boleh meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kerana ia merupakan rancangan jangka panjang untuk memperbaiki ekonomi negara.

Dalam ucapan Belanjawan 2023 minggu lalu Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan mengumumkan pelepasan untuk 120,000 orang yang diisytiharkan muflis di seluruh negara.

Kriteria pertama pemohon mestilah diisytiharkan muflis selama lima tahun dengan hutang tertunggak kurang daripada RM50,000. Mereka juga tidak boleh tertakluk kepada sebarang prosiding atau penyiasatan di bawah Akta Insolvensi 1967.

Anwar ketika mengumumkan pelepasan itu berkata ia akan menjadi peluang kedua untuk golongan muflis.

Dalam jangka pendek kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 untuk memasukkan peruntukan pelepasan automatik yang dijangka dibawa ke Parlimen tidak lama lagi.

Ahli akademik Universiti Tun Abd Razak (Unirazak) Dr Barjoyai Bardai berkata kerajaan sedang berusaha mendorong dan menarik lebih ramai golongan muda dan pekerja untuk menyertai bidang keusahawanan.

Sambil menyatakan terdapat risiko bankrap semasa menjalankan perniagaan, Barjoyai berkata kerajaan menunjukkan tanda positif dengan mahu orang ramai menceburi bidang perniagaan.

“Ini adalah rancangan jangka panjang dan langkah untuk membersihkan orang ramai daripada status muflis adalah petanda positif daripada kerajaan. Mereka mahu golongan muda dan pekerja menyertai perniagaan.

“Terdapat 16.9 juta pekerja di negara ini dan 10 juta adalah daripada golongan tidak mahir jadi jika golongan ini boleh dipujuk untuk menyertai perniagaan, ekonomi boleh berkembang.

“Secara tidak langsung ekonomi akan berkembang. Di Malaysia PKS menyumbang kira-kira 35 peratus kepada KDNK, di negara maju ia boleh mencecah sehingga 50 peratus. Kita harus memuji langkah kerajaan,” katanya.

The Malaysian Insight berjumpa dengan beberapa individu yang melahirkan rasa lega apabila nama mereka akhirnya dibersihkan daripada insolvensi.

Mereka berkata status itu menyukarkan hidup mereka.

Seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Salawati berkata, dia diisytiharkan muflis selepas dipaksa berhutang 14 tahun lalu ketika bekas suaminya menganggur.

“Pengganggurannya memaksa saya mengambil pinjaman peribadi dan kad kredit sehingga saya disenaraikan sebagai bankrap dengan hutang RM119,000”, katanya.

Dia mengakui kehidupannya bergolak selepas diisytiharkan muflis termasuk terpaksa meminjam daripada peminjam wang haram.

“Saya bercerai dengan suami, dipecat daripada kerja dan terpaksa membesarkan dua anak yang masih kecil,” katanya.

Kehidupan baharu untuk semua

Sementara itu Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata impaknya pastinya akan dirasai oleh individu berkenaan.

Pakar ekonomi itu berkata apabila bebas daripada muflis individu berkenaan boleh membina kehidupan baharu.

“Impaknya tidak begitu besar kepada negara tetapi kepada individu itu sendiri. Mereka boleh mempunyai akaun bank sendiri, membuat transaksi dan pergi ke luar negara.”

“(Dan) ya mereka boleh melakukan perniagaan yang akan membantu mereka dari segi ekonomi. Kesannya akan menjadi besar. Mereka mendapat kehidupan semula. Bagi mereka yang mempunyai isteri dan anak, mereka boleh menikmati kehidupan yang lebih baik,” kata Razman.

Menurut data Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan berdasarkan hampir 50,000 kes dalam tempoh lima tahun lepas, kegagalan membayar pinjaman peribadi, perjanjian sewa beli perniagaan atau pinjaman perniagaan adalah antara punca utama orang ramai diisytiharkan muflis.

Daripada jumlah itu dua daripada setiap lima kes berpunca daripada pinjaman peribadi. Ini termasuk 4,653 kes pinjaman perumahan tidak dibayar dan 3,936 kes hutang kad kredit. – 3 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen