Pelepasan bankrap sinar baru untuk hidup, kata individu muflis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Individu yang diisytihar muflis berkata status yang mereka tanggung bukan sahaja menyusahkan tetapi menyebabkan hidup bertambah sulit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac 2023.

KEPUTUSAN Putrajaya memberi kelonggaran lebih awal kepada individu yang diisytihar muflis untuk melepaskan diri daripada status bankrap memberi sinar harapan baharu untuk masa depan, kata mereka yang terlibat.

Individu muflis yang ditemui The Malaysian Insight berkata status bankrap yang mereka tanggung bukan sahaja menyusahkan tetapi menyebabkan hidup mereka bertambah sulit.

Seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Salawati berkata beliau jadi bankrap selepas terpaksa banyak berhutang kira-kira 14 tahun lalu setelah bekas suaminya pada masa itu tidak bekerja.

“Bekas suami saya tidak bekerja, memaksa saya mengambil pinjaman peribadi dan kad kredit hingga saya disenaraikan sebagai bankrap dengan hutang RM119,000”, katanya, yang pernah bekerja jadi pemandu bas.

Salawati, 53, berkata beliau hanya tahu dirinya sudah dibankrapkan pada 2009 apabila pada suatu hari tidak dapat mengeluarkan duit gajinya.

Beliau mengakui hidupnya jadi terumbang-ambing selepas disahkan bankrap, termasuk terpaksa meminjam daripada peminjam wang haram.

“Saya bercerai dengan bekas suami, dibuang kerja dan perlu membesarkan dua anak masih kecil. 

“Semuanya berlaku dalam masa setahun,” katanya, yang sudah lebih 10 tahun muflis.

“Akaun bank dibekukan, majikan juga tidak mahu ambil pekerja yang sudah bankrap, semua ini saya perlu tanggung sambil besarkan dua anak,” tambahnya.

Menurut Salawati, langkah kerajaan mengkaji semula undang-undang dan kesediaan melepaskan individu yang senasib sepertinya adalah “satu rancangan terbaik”.

“Bankrap ini satu beban buat kami sekeluarga sejak 10 tahun,” katanya.

Salawati ditemui di pejabat Jabatan Insolvensi Malaysia di Kuala Lumpur semalam, menguruskan permohonan pelepasan kebankrapan pada hari pertama kelonggaran itu berkuat kuasa selepas pengumumannya semasa pembentangan Belanjawan 2023, minggu lalu.

“Saya sudah dapat pelepasan hari ini. Mereka sudah keluarkan sijil pelepasan,” katanya, yang termasuk dalam kategori pertama yang diberikan pelepasan.

Mereka yang dibenarkan untuk memohonan pelepasan ialah pertama, yang sudah lima tahun diisytiharkan bankrap; kedua, baki hutang terlibat tidak lebih RM50,000; dan ketiga, tiada apa-apa prosiding atau siasatan mengikut Akta Insolvensi 1967 yang menghalang pelepasan diberikan kepada mereka.

Akaun bank mereka yang diisytihar muflis akan dibekukan, selain majikan juga tidak mahu ambil pekerja yang sudah bankrap. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac 2023.

Sementara itu, seorang bekas wartawan yang enggan dinamakan berkata pelepasan yang diperolehinya semalam bagaikan sinar baharu selepas sudah berhabis ikhtiar termasuk menjual rumah dan kedai untuk menyelesaikan hutang.

Beliau yang berumur 45 tahun dibankrapkan bersama isteri dan dua anaknya selepas menjadi penjamin kepada syarikat ayahnya yang digulung pada 2005.

“Meskipun sudah menggadai semua harta yang ada, kami masih dibelenggu bankrap.

“Kami hanya menemui sinar hari ini apabila dilepaskan daripada status bankrap,” katanya.

Beliau yang juga berstatus orang kelainan upaya kerana kemalangan mengakui hidupnya dan seluruh keluarganya termasuk ayah dan ibu jadi tunggang langgang selepas mereka jatuh muflis.

“Ketika bapa masih hidup, arwah beberapa kali berusaha memohon bebas bankrap namun hajatnya tidak kesampaian.

“Ayah meninggal dunia Mei tahun lalu dengan masih memegang status orang bankrap walaupun sebelum itu dia turun naik pejabat mohon bebas bankrap,” katanya.

Lebih malang, katanya, ibunya juga terpalit sehingga tidak dapat membuka akaun bank untuk kemasukan wang pencen arwah ayah sebagai pensyarah.

“Sepatutnya ibu yang sudah uzur menjalani kehidupan tenang macam rakan seusianya, tetapi kerana isu bankrap ini dia runsing dan jatuh sakit,” katanya.

Kelonggaran kepada individu yang diisytihar muflis untuk melepaskan diri daripada status bankrap berkuat kuasa selepas pengumumannya oleh Menteri Kewangan Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2023, minggu lalu. – Gambar Facebook Parlimen Malaysia, 2 Mac 2023.

Nasib sama dialami oleh Sherli, 49, yang bankrap sejak Disember 2011 kerana hutang RM26,400 pinjaman sewa beli kenderaan untuk seorang kawannya.

“Nama saya dipakai untuk beli kereta pada 2007. Dia tidak bayar hutang kepada bank sampai ke satu tahap akaun saya dibekukan dan nama saya disenarai hitamkan,” katanya.

Menurut Sherli, selepas rundingan dengan pegawai insolvensi di Kuantan, Pahang, beliau pun mula membuat ansuran untuk melunaskan hutangnya, antara Januari 2012 hingga Mei 2022.

“Apabila dicongak rupanya saya sudah membuat bayaran lebih RM39,000 sedangkan penyelesaian penuh pinjaman sewa itu yang diluluskan bank berjumlah RM32,500,” katanya, yang juga dilepaskan semalam.

Menceritakan pengalamannya jadi bankrap, Sherli berkata hidupnya bukan sahaja tidak tenteram tetapi sukar menjalani urusan harian termasuk disekat untuk ke luar negara.

“Saya hidup bagaikan pelarian di negara sendiri. Segala apa manfaat dan hak saya sebagai rakyat Malaysia dinafikan hanya kerana memegang status bankrap,” katanya.

Menteri Kewangan Anwar Ibrahim, yang juga perdana menteri, semasa mengumumkan kelonggaran itu berkata ia peluang kedua kepada mereka yang diisytiharkan bankrap.

Pelepasan segera itu adalah tindakan sementara kerajaan meminda Akta Insolvensi 1967 untuk memasukan peruntukan pelepasan secara automatik, yang dijangka akan dibawa ke Parlimen tidak lama lagi.

Mengikut data Jabatan Insolvensi Malaysia, hutang pinjaman peribadi, sewa beli perniagaan dan pinjaman perniagaan yang gagal dilunaskan antara faktor utama kes bankrap sejak lima tahun lalu.

Ini berdasarkan 49,133 kes kebankrapan yang ditadbir jabatan itu sejak 2018.

Daripada jumlah itu, dua dalam setiap lima kes berpunca daripada pinjaman peribadi.

Sejumlah 4,653 kes melibatkan pinjaman perumahan dan 3,936 kes melibatkan hutang kad kredit. – 2 Mac 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen