Populisme dan keretakan politik golongan muda


Fakhrurrazi Rashid

Isu Himpit turut memperlihatkan segelintir anak muda yang mudah melabel program perarakan tersebut sebagai ekstremis ala-ala kumpulan militan. – Gambar Facebook, 28 Februari, 2023.

ENTAH kenapa PAS yang sudah lama bergelumang dalam politik negara, yang sepatutnya mematangkan sahsiah politiknya, hanya sekadar mampu melakukan perarakan ala-ala pahlawan dengan replika senjata dalam Perhimpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023, baru-baru ini.

Bak kata rakan saya “PAS sudah jatuh saham. Dulu masa jadi pembangkang tahun 2008 depa buat roket dan kereta kebal lagi mahal, sekarang tinggal pedang”.

Aktiviti itu sebenarnya hanyalah sebahagian daripada program Himpit. Cuma, apabila imej perarakan tersebar luas di media sosial, terlihatlah program itu seperti mahu memperluas fahaman ekstremisme. Pelbagai kritikan dilontarkan kepada PAS yang didakwa tidak peka akan sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia.

Segelintir pemimpin kanan PAS memberi respon yang agak keras kepada pengkritik. Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa pihak yang mengkritik perhimpunan itu berjangkit dengan Islamofobia.  

Ada pula yang berkata perarakan dengan replika senjata itu perkara biasa dibuat oleh kaum lain ketika menyambut perayaan. 

Faktanya, perarakan ala-ala pahlawan Arab dengan replika senjata begitu asing dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Malah, orang bukan Islam di Malaysia lebih sinonim perarakan agama Islam seperti selawat kepada Nabi Muhammad S.A.W ketika umat Islam di Malaysia menyambut Maulidur Rasul. 

Ramai tidak sedar program ini dianjurkan sayap pemuda sebuah parti. Penerapan elemen politik luar yang bersifat populis lebih ditonjolkan berbanding gagasan parti yang sebenar. Tidak hairan jika program sebegini akan membentuk pemikiran anak muda yang menggunakan perspektif luar yang berbeza dengan konteks tempatan untuk memahami politik negara.

Tandus idea

Parti politik Malaysia sedang berada dalam fasa ketandusan idea untuk menarik sokongan rakyat kepada perjuangan parti. Ketandusan ini menjadi punca parti politik tidak peduli usaha memperkukuh  gagasan dan idealisme parti kepada akar umbi mahupun rakyat. 

Apa yang lebih penting bagi parti politik sekarang adalah menunggang isu populis, sama ada cerita itu tepat atau sebaliknya. Pihak mana menunggang isu tertentu sehingga viral, dia akan menang.

Itulah perspektif dengan perarakan Himpit. Tema populis seperti pahlawan perang ala-ala Arab sememangnya mudah menarik perhatian anak muda, khususnya Melayu Islam. Tetapi, apakah ia sesuai dengan acuan tempatan yang lebih menekankan pendamaian walaupun berhadapan dengan persaingan politik seperti pilihan raya?

Tanpa disedari, isu Himpit turut memperlihatkan segelintir anak muda yang mudah melabel program perarakan tersebut sebagai ekstremis ala-ala kumpulan militan. Kumpulan yang kononnya progresif ini mudah terpengaruh dengan politik populis barat yang gemar melabel sesuatu puak secara keras dan literal.  Akhirnya, negara kita ada kumpulan anak muda yang sering stereotype dan prejudis  antara satu dan yang lain. 

Situasi ini menimbulkan persoalan besar tentang gagasan politik generasi muda hari ini. Kecenderungan memahami politik Malaysia dengan kanta pemikiran populisme berunsurkan politik dan budaya luar dilihat bakal menyulitkan pembangunan politik negara dengan acuan keMalaysiaan dalam membangunkan kematangan politik negara.

Apakah yang bakal terjadi dengan kefahaman generasi muda dalam mengangkat Perlembagaan Persekutuan? Apakah tradisi sistem demokrasi berparlimen dapat diperkukuh sekiranya elemen politik luar ini semakin luas?

Ini juga pengalaman yang saya perolehi dengan segelintir anak muda dalam program advokasi reformasi Parlimen. Terdapat kumpulan anak muda cenderung memahami Parlimen dalam naratif kaum dan agama.

Hujahnya, Parlimen perlu didominasi wakil rakyat Melayu dan Islam sebagai refleksi kepada jumlah majoriti rakyat di Malaysia. Ada segelintir yang melihat parlimen tidak relevan dan mahu pemerintah kesultanan Melayu dikembalikan kerana kecewa dengan sikap ahli politik negara.

Satu kumpulan anak muda yang dilihat progresif tetapi bersikap keras untuk membuat pembaharuan. Mereka mahu reformasi parlimen degan segera seperti negara barat tanpa melihat konteks persekitaran demokrasi di Malaysia yang dikategorikan masih ‘muda’. Jika tidak mengikut jejak negara demokrasi lain, Parlimen Malaysia akan ketinggalan jauh.

Timbul pula persoalan lain, bagaimana generasi muda akan datang melihat peranan institusi Parlimen jika pemikiran berdasarkan kebangsaan hilang dibenak pemikiran anak muda Malaysia?

Bermula dengan parti politik

Usaha menyuburkan idea politik kebangsaan kepada anak muda  bukan kerja mudah.  Tetapi, ia penting untuk membina imaginasi generasi muda mencorak dan memperkukuh identiti negara yang lebih baik berbanding generasi sebelum ini.

Pertembungan  politik itu adalah lumrah biasa,  tapi janganlah dek kerana perbezaan itu, generasi muda membiarkan pemikiran politik luar mencorakkan pembangunan negara.

Kesungguhan meningkatkan gagasan politik kebangsaan dalam kalangan anak muda berteraskan kekuatan dan kebersamaan masyarakat di Malaysia,  mampu menjadi benteng utama dalam mempertahankan identiti negara daripada terhakis  disebabkan keadaan geopolitik yang tidak menentu. 

Pengukuhan ini tidak sepatutnya menebalkan lagi sikap prejudis dan prasangka anak muda terhadap masyarakat tempatan dan dunia. Tetapi, ia adalah ruang kepada generasi belia lebih terbuka dan matang dalam melihat sesuatu isu dengan meletakkan kepentingan negara sebagai agenda utama.

Parti politik di Makaysia perlu mempunyai kesedaran mengangkat idealisme kebangsaan. Sekurang-kurangnya, usaha menyuburkan semangat kebangsaan berdasarkan gagasan diperjuangkan parti haruslah bermula dengan ahli muda di dalam parti. Ia lebih berkesan berbanding menunggu pihak kerajaan melaksanakan dasar pendidikan politik bagi belia.

Janganlah sekadar mahukan pemuda dalam parti politik bermainan TikTok dan menunggang isu populis semata-mata untuk diangkat sebagai pemimpin. 

Jika inilah yang diutamakan pemimpin parti, maka gagasan dan prinsip parti politik kian dilupakan dan ia secara langsung membenarkan acuan politik luar yang populis membentuk politik generasi muda.

Generasi muda juga haruslah aktif mencari dan membahaskan idealisme politik kebangsaan. Ajaklah berbincang dengan kumpulan berbeza dan luar daripada zon selesa. Raikanlah usaha mencari solusi tuntas yang mengutamakan kepentingan negara berdasarkan realiti politik di Malaysia.

Persoalannya, apakah generasi muda hari ini boleh mengangkat gagasan politik kebangsaan? 

Atau lebih selesa dengan politik populis yang sarat dengan emosi sehingga menjejaskan perkembangan politik negara? – 28 Februari, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen