Tiada akta dana politik salah siapa?


G Manimaran

Pendanaan politik tidak dikawal bukan sahaja membuka ruang untuk rasuah dan pengaruh tidak wajar oleh pihak berkepentingan, bahkan ia akan merendahkan keyakinan umum terhadap integriti pilihan raya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2023.

KETIKA isu mengenai sumbangan dana politik menjadi perhatian, saya teringat kandungan di bawah satu bab kecil dalam buku autobiografi “Frankly Speaking”, karya bekas timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, Musa Hitam, yang khusus membicarakan mengenai pendekatan kutipan dana untuk parti dominan Barisan Nasional (BN) itu.

Beliau menceritakan dengan terperinci tatakelola yang diamalkan oleh kepimpinan (Tun) Dr Ismail Abdul Rahman (timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri ketika era Abdul Razak Hussein) dan kemudian semasa pentadbiran Hussein Onn (perdana menteri ketiga, presiden Umno dan pengerusi BN).

“Sedihnya prosedur ini kelihatan bukan lagi amalan biasa pada masa sekarang,” kata beliau dalam karyanya yang diterbitkan pada tahun 2016.

Musa seterusnya menulis: “Sementara sumbangan besar dikendalikan di peringkat lebih tinggi, saya juga menerima sumbangan parti kecil dari semasa ke semasa. Shahrir (Samad), setiausaha politik saya di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian, selalunya hadir setiap kali perkara ini berlaku.

“Kami mahu memastikan perkara seperti itu dikendalikan dengan betul, dan sebarang wang yang diterima disalurkan terus kepada parti.”

Karya yang menggariskan pengalaman lima dekad lalu. Tetapi ia masih relevan pada hari ini.

Dari sudut politik dan pilihan raya, Umno dan BN dilihat sebagai entiti politik yang paling ‘lumayan’ daripada kaca mata orang ramai. Semasa Pilihan Raya Umum ke-15 November lalu, ia berada di kedudukan sebaliknya. Beberapa insiden sejak beberapa tahun lalu memberikan gambaran secara langsung mengenai kedudukan aset gabungan itu. Ini termasuklah kes-kes mahkamah yang menjadi perbicaraan.

Dua perkara menjadi perhatian saya hasil pandangan Musa, yang turut pernah menjadi menteri dalam negeri, dalam buku tersebut. Sumbangan, sama ada kecil ataupun besar, bukan perkara baharu dalam arena politik. Ia wujud dalam sistem politik dari dulu sehingga sekarang, dan akan berterusan.

Sebaliknya, pendekatan yang digunakan untuk menerima, merekodkan dan menggunakan dengan penuh berintegriti, telus dan bertanggungjawab, tanpa tunduk kepada pihak yang melobi dan yang memberikan sumbangan adalah penting.

Dalam erti kata sebenar tiada pihak yang memberikan sumbangan tanpa tujuan. Mesti ada motifnya. Kata orang “ada udang di sebalik batu”. Malah, ada yang mengatakan “ada udang di sebalik mi”.

Sebagaimana pemimpin yang diberikan mandat dan amanah untuk menjalankan fungsi politik dan urus tadbir baik, pemimpin-pemimpin yang berada dalam kuasa, tidak kira peringkat dan kedudukan, perlu menunjukkan contoh yang baik untuk diteladani rakyat jelata. Kepimpinan melalui teladan.

Pada masa yang sama saya tertarik dengan kenyataan pelbagai pihak mengenai sumbangan dana politik dan ketiadaan akta yang boleh dijadikan panduan dalam mengamalkan budaya berintegriti yang cukup tinggi.

Pandangan yang sama diutarakan apabila saya mengetuai kluster media ketika menjadi ahli tetap Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC). Para pemegang taruh yang ditemui meletakkan asas hujah bahawa tidak ada kerangka perundangan yang boleh diterima pakai dan dijadikan panduan amalan.

Sekali lagi kita pergi kepada situasi ketiadaan undang-undang yang memandu kita sebagai anggota dalam satu-satu ekosistem. Kita selalu dipandu oleh parameter undang-undang.

Malangnya kita selalu bergerak perlahan dalam mewujudkan keperluan tersebut demi kepentingan negara dalam jangka panjang.

Kita mengambil masa lebih tiga dekad untuk tampil dengan undang-undang antilompat parti. Isunya muncul awal 1990-an dan hanya menjadi kenyataan pada Julai 2022, meskipun masih belum menyeluruh dan hanya tujuh negeri yang mengambil usaha ke arah itu. Pelbagai pihak terutama parti-parti politik termasuk yang memerintah memberikan pelbagai alasan, termasuklah tindakan sedemikian akan mengawal kebebasan yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Begitu juga dasar undi 18 yang pertama kali dibangkitkan pada tahun 1970an, tetapi hanya dikuatkuasakan pada akhir tahun lalu meskipun digubal pada Julai 2019. Itu pun berhadapan dengan pelbagai alasan dan rintangan sehingga mencetuskan persoalan sama ada kita benar-benar jujur daripada pelaksanaan dan penguatkuasaan.

Dalam reaksi segera selepas ketua penerangannya didakwa di mahkamah pada minggu lepas, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata, setiap parti politik memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti parti dan Perlembagaan membenarkan sumbangan diterima daripada ahli, orang ramai dan juga individu yang menyokong perjuangan parti.

Pun begitu kata beliau: “Setakat ini tidak ada satu pun undang-undang khusus untuk pembiayaan politik di Malaysia.” Dan beliau seterusnya berkata, “hari ini, parti Bersatu telah menjadi sasaran pendakwaan terpilih kerana menerima sumbangan dana politik yang secara tiba-tiba menjadi satu kesalahan jenayah.”

Pada September 2021, Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian pernah mengatakan bahawa Akta Pendanaan Politik perlu diteruskan oleh kerajaan. Bagaimanapun, kata Setiausaha Agung Umno itu, draf akta berkenaan perlu dibentangkan semula oleh pihak berkaitan bagi mendapatkan maklum balas yang terkini. 

Pendirian itu disuarakan memandangkan beliau juga pernah menjadi “mangsa kepada dana politik yang tidak diaktakan”. Malah, kes berkenaan dikatakan menyebabkan beliau bukan individu pilihan untuk menyertai barisan Kabinet ketika pentadbiran Muhyiddin mahupun Ismail Sabri Yaakob. Dalam kerajaan perpaduan, beliau merupakan timbalan menteri kewangan.

Ahmad menambah, kerajaan BN pada tahun 2009 telah berusaha membentangkan RUU mengenai pendanaan politik. Namun, ia terhenti pada peringkat draf akta pada 2016 dan tidak dapat dibentangkan pada ketika itu.

Dalam kenyataannya beberapa tahun lalu, Tengku Adnan Tengku Mansor, antara pemimpin Umno-BN yang pernah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah tetapi telah bebas, dilaporkan sebagai berkata bahawa kerajaan pimpinan BN tidak pernah menentang cadangan untuk parti politik mengisytihar jumlah dana politik mereka.

Malah katanya, BN bersedia untuk mengisytiharkannya pada bila-bila masa. “Tentang dana politik, kami di pihak Umno dan BN sudah bersetuju, pihak pembangkang yang menentang. Inilah masalahnya,” kata mengulas berita mengenai laporan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) yang mengesyorkan 32 cadangan bagi menyelesaikan
 isu membabitkan dana politik. JKNMPP ditubuhkan oleh perdana menteri ketika itu, Najib Razak pada 14 Ogos 2015.

Jawatankuasa itu yang diketuai oleh Paul Low, menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang bertanggungjawab ke atas soal integriti dan urus tadbir baik, menyerahkan laporannya dalam tempoh satu tahun.

Bagaimanapun dapatannya tidak menjadi kenyataan sehingga ke hari ini.

Cadangan yang hampir sama pernah dikemukakan oleh ERC dalam laporannya yang diserahkan kepada Muhyiddin. ERC dibentuk ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan Mahathir Mohamad pada Ogos 2018. Sekali lagi dapatan tidak ada tindakan pelaksanaan.

Pelbagai entiti bukan politik juga pernah mengesyorkan kepentingan melaksanakan undang-undang khusus mengenai dana politik. Misalnya pada Januari 2020, BERSIH 2.0 mengesyorkan supaya Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dipinda manakala undang-undang pendanaan politik mesti digubal bagi mengawal dua teras utamanya iaitu sumber dan perbelanjaan dana tersebut.

Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954  hanya mengawal perbelanjaan kempen calon sewaktu kempen pilihan raya, sementara perbelanjaan oleh parti politik dan lain-lain termasuk untuk faedah calon sebahagian besarnya tidak dikawal.

Pertubuhan itu menegaskan pendanaan politik yang tidak dikawal bukan sahaja akan membuka ruang untuk rasuah dan pengaruh tidak wajar oleh pihak berkepentingan, bahkan ia akan merendahkan keyakinan umum terhadap integriti pilihan raya.

“Maka pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta penggubalan undang-undang pendanaan politik mesti digubal bagi menyediakan padang yang sama rata kepada pertandingan politik serta mengurangkan pengaruh politik wang,” jelas kenyataan itu, merujuk kepada testimoni Tengku Adnan di Mahkamah Tinggi yang mendedahkan amalan Umno mengutip sumbangan untuk kempen pilihan raya melalui sumbangan politik.

Pendirian yang sama pernah diutarakan oleh Rasuah Busters dan IDEAS Malaysia.

Awal tahun ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said  menekankan bahawa kerangka RUU berkaitan sumbangan politik sudah siap dan cuma memerlukan mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri untuk dibentangkan di Parlimen.

Cadangan kerangka perundangan bagi RUU Sumbangan Politik juga pernah dikemukakan oleh kerajaan PH pada November 2019, tiga bulan sebelum kerajaan itu tumbang, kepada Parlimen untuk dibentangkan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang.

Namun, hasrat ini juga tidak kesampaian dan terhenti di sana apabila kerajaan berubah tangan.

Tahun lalu, Ismail Sabri Yaakob yang menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri memberitahu bahawa penggubalan RUU Sumbangan Politik akan dikawal selia entiti bebas dikenali Pengawal Selia Sumbangan Politik peringkat persekutuan dan negeri.

Oleh itu, pandangan pihak berkepentingan termasuk parti politik turut diambil kira berkaitan perincian RUU itu, sebelum dibentangkan untuk bacaan pertama pada sesi Dewan Rakyat.

Nampaknya lipatan sejarah menunjukkan bahawa hampir kesemua parti mempunyai pemimpin mereka menjadi ‘mangsa’ ketiadaan undang-undang berkaitan sumbangan dana politik. Kita bersimpati dengan mereka dalam hal ini.

Dalam sejarah lebih enam dekad, kesemua parti atau gabungan yang mereka wakili juga telah menjadi kerajaan dan perdana menteri. Mereka adalah sebahagian daripada pentadbiran masa lalu dan pada hari ini. Mereka telah ada ruang dan peluang untuk menggubal undang-undang berkaitan.

Malangnya impian itu tidak menjadi kenyataan. Semua orang tahu sebabnya. Sebaliknya tuding-menuding dan mempersalahkan ketiadaan undang-undang berlarutan.

Jadi, kini tidak ada alasan untuk kita melengah-lengahkan lagi keperluan mandatori itu.

Kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim perlu menunaikan perkara ini. Kerajaan semasa ada segala sokongan dan iltizam untuk berbuat demikian. Kesemua komponen dalam kerajaan perpaduan pernah menjanjikan aspek tatakelola baik dalam manifesto masing-masing. Saya yakin mereka akan sokong usaha ini.

Jangan sampai ada lagi parti dan ahli politik menjadi mangsa kepada ketiadaan undang-undang dana politik. Jika tidak, rakyat dan negara akan menjadi mangsa kepada perbuatan akibat ketiadaan akta dan tindakan tidak mengaktakan undang-undang tersebut.

Tidak salah bagi ahli politik dan parti mendapatkan dana daripada mana-mana sumber yang sah. Tetapi kita perlu ada ketelusan dan budaya berintegriti. Ini antara prinsip asas sistem demokrasi. Dan, kepimpinan melalui teladan, dan slogan “saya menjalankan amanah”.

Undang-undang sumbangan dana politik harus merangkumi kutipan dan perbelanjaan ketika pilihan raya. Bukan hanya dana politik. Ini kerana pilihan raya sebahagian daripada aktiviti berpolitik. – 27 Februari, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen