Segera bentang RUU dana politik, letak SPRM bawah Parlimen, kata Pakatan


PUTRAJAYA perlu segera membuat pembaharuan bagi menangani rasuah dengan menggubal Rang Undang-Undang Pendanaan Politik dan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bidang kuasa Parlimen, kata Pakatan Harapan (PH).

Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini berkata beberapa reformasi dan tindakan tegas perlu diambil susulan kes rasuah yang semakin menjadi-jadi, terutamanya yang membabitkan tokoh politik dan perkhidmatan awam.

Kenyataan itu memberi contoh kes melibatkan bekas ketua setiausaha negara Mohd Sidek Hassan merangkap ahli lembaga penasihat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Berdasarkan laporan media,  Mohd Sidek menerima bayaran sehingga RM30,000 sebulan walaupun tiada sebarang mesyuarat lembaga penasihat 1MDB diadakan. Ini menimbulkan pelbagai tanda tanya kerana pada ketika beliau menerima bayaran-bayaran berkait 1MDB ini beliau masih memegang jawatan ketua setiausaha negara (KSN).

“Dalam kes berhubung Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pula, seorang bekas pengarah UKSB berkata Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menerima di antara SG$200,000 hingga SG$520,000 sebulan. Bekas pengarah itu juga berkata Khairy Jamaluddin melalui Umno Bahagian Rembau telah menerima di antara RM50,000 hingga RM200,000,” kenyataan itu dipetik.

Kenyataan ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.

Minggu lalu, Sidek memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beliau dilantik sebagai ahli lembaga penasihat 1MDB kerana bekas perdana menteri Najib Razak berpendapat gaji yang diterimanya semasa jadi KSN agak rendah.

Sidek berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes 1MDB melibatkan Najib.

“Kedua-dua kes ini amat merisaukan, bukan hanya kerana ia melibatkan tokoh-tokoh politik besar tetapi juga tokoh utama perkhidmatan awam,” kata Majlis Presiden PH. – 14 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen