Gaji khidmat awam RM29,000 rendah, jadi Najib beri saya peranan 1MDB, kata bekas KSN


Alfian Z.M. Tahir

Bekas penasihat 1MDB Mohd Sidek Hassan memberitahu mahkamah hari ini gajinya sebagai ketua setiausaha negara tidak cukup menyebabkan bekas perdana menteri Najib Razak melantiknya ke 1MDB.– Gambar fail, 8 Jun, 2022.

BEKAS penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Mohd Sidek Hassan memberitahu mahkamah hari ini gaji RM29,125 sebagai ketua setiausaha kerajaan (KSN) ketika itu tidak mencukupi dan menjadi sebab Najib Razak melantiknya ke 1MDB.

Bayaran kepada beliau sebanyak RM30,000 untuk menduduki lembaga penasihat syarikat itu diberitahu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Hari ini, Sidek berkata beliau percaya bahawa Najib telah memberikannya peranan dalam 1MDB dengan gaji RM30,000 “atas kebaikan hatinya”.

“Jadi, atas kebaikan hatinya, saya fikir ini hanyalah untuk pampasan,” katanya pada perbicaraan Najib kerana menyalahgunakan dana 1MDB.

Semalam, Sidek berkata bahawa perdana menteri ketika itu merasakan pendapatannya sebagai ketua setiausaha ‘terlalu rendah’.

Mendedahkan jumlah gajinya sebagai KSN hari ini, Sidek yang berusia 71 tahun berkata beliau juga merasakan ia tidak sepadan dengan tugas yang dijalankan.

“Saya fikir sebab PM tawarkan saya adalah kerana gaji saya… Saya benci ini kerana ia muncul dalam semua akhbar hari ini.

“Pada fikiran saya adalah bahawa PM berpendapat untuk tanggungjawab yang saya pikul, gaji adalah rendah,” katanya pada pemeriksaan balas Surin daripada peguam Najib Shafee Abdullah.

Sidek adalah ketua setiausaha kerajaan dari September, 2006 hingga bersara pada Jun, 2012.

Semalam, Sidek berkata beliau dilantik oleh Najib sebagai ahli lembaga penasihat (1MDB) pada 2010.

Sidek kemudian berkata syarikat milik Kementerian Kewangan itu tidak pernah mengadakan satu mesyuarat pun sepanjang tahun beliau berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah.

Walaupun tidak melakukan apa-apa sebagai penasihat, beliau berkata menerima gaji bulanan RM30,000 sebagai penasihat kerana Najib merasakan gajinya sebagai ketua setiausaha ‘terlalu rendah’.

Sidek menerima bayaran sebanyak RM30,000 setiap bulan dari Julai 2010 hingga Disember 2012.

Jumlah itu kemudiannya dikurangkan kepada RM10,000 sebulan dari Januari 2013 hingga Jun 2015.

Najib sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah berhubung penyelewengan dana 1MDB RM2.28 bilion.

Beliau berdepan 25 pertuduhan, empat untuk salah guna kuasa dan 21 untuk pengubahan wang haram, bagi kesalahan yang didakwa dilakukan antara 2011 dan 2013.

Sebagai ketua setiausaha kerajaan, Sidek ditanya hari ini oleh pihak pendakwaan sama ada Najib telah memberitahu sebarang mesyuarat kabinet mengenai hubungannya dengan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low.

Sidek menyatakan beliau tidak ingat.

Ketua pendakwa raya Gopal Sri Ram kemudian bertanya kepada Sidek bagaimana beliau membuat kesimpulan bahawa 1MDB ditubuhkan untuk menjadi dana politik Barisan Nasional.

Sidek menjawab ini kerana menteri digalakkan mencadangkan projek yang boleh membiayai 1MDB.

“Dalam perbincangan kabinet misalnya, terdapat isu dana melibatkan 1MDB dan menteri digalakkan memberi cadangan yang boleh digunakan (untuk membiayai projek),” kata Sidek.

Sidek kemudian dibebaskan dari kandang saksi dan bekas menteri kewangan II, Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dijangka hadir di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah pada 2.30 petang hari ini.  – 8 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen