Inisiatif baharu bantu raih pendapatan minimum RM2,000 sebulan, kata Rafizi


Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memperkenalkan inisiatif baharu bagi membantu golongan miskin tegar, miskin dan B40 menjana pendapatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2023.

KERAJAAN menyasarkan peserta inisiatif pendapatan rakyat (IPR) terdiri daripada golongan miskin tegar, miskin dan B40 berupaya menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Katanya, IPR dengan sasaran 100,000 peserta itu bertujuan meningkatkan pendapatan tiga golongan terbabit dengan menyaksikan kerjasama kerajaan, rakyat dan rakan strategik, sekali gus membantu mereka keluar daripada garis kemiskinan yang ditetapkan pada RM1,900 sebulan.

“Usahawan tani, contohnya, mereka akan mula merasai pendapatan itu selepas hasil tuaian pertama tanaman mereka tetapi dalam tempoh menunggu hasil tuaian itu, kerajaan akan memberi elaun bulanan sebanyak RM500.

“Semua bantuan ini kita sudah ambil kira selama 24 bulan, termasuklah dari segi penyediaan tapak pertanian, infrastruktur, kelengkapan dan latihan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran IPR di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Cempaka, Ampang hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

IPR merangkumi tiga model iaitu usahawan tani (Intan), inisiatif usahawan makanan (Insan) dan inisiatif operator perkhidmatan (Ikhsan) yang diwujudkan untuk menyelesaikan masalah ekonomi harian rakyat.

Di bawah Intan, Rafizi berkata kerajaan persekutuan akan menyediakan 800 ekar (323.7 hektar) tanah sebagai permulaan untuk diusahakan oleh peserta usahawan tani sebelum diperluaskan kepada 5,000 ekar (2,023.4 hektar) menerusi kerjasama kerajaan negeri.

“Saya yakin kerajaan negeri akan menyambut baik inisiatif ini kerana dalam membantu mengatasi masalah bekalan makanan setempat, ia juga mewujudkan peluang pekerjaan di peringkat setempat terutama di negeri yang banyak berlakunya migrasi atau perpindahan penduduk ke bandar,” katanya.

Justeru katanya, beliau akan berjumpa dengan menteri besar dan ketua menteri supaya mereka memperuntukkan tanah di bawah kerajaan negeri untuk pelaksanaan program itu di seluruh negara. – Bernama, 26 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen