Selidik dulu sebelum malukan kami, MCA beritahu Zahid


Ooi Choong Han

Ketua Biro Perundangan Pemuda MCA, Ng Kian Nam berkata sebagai Timbalan Pengerusi BN, Zahid sepatutnya memastikan beliau mendapat fakta yang betul sebelum membuat sebarang tuduhan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2018.

MCA mengingatkan Naib Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengenai semangat Barisan Nasional (BN) iaitu saling menghormati antara sesama anggota parti komponen, selepas Zahid menegur pemimpin parti komponen gabungan itu yang tidak memberi sokongan dalam sebarang program bersama rakyat dianjurkan mereka.

Ketua Biro Perundangan Pemuda MCA, Ng Kian Nam berkata parti Cina itu tidak pernah dijemput dan diberitahu mengenai majlis di Rembau.

“Sekretariat negeri MCA tidak terima undangan. Kami bukan sengaja tidak hadir,” kata Ng.

Ng berkata, sebagai orang nombor dua dalam BN, Zahid sepatutnya memastikan beliau mendapat fakta yang betul sebelum membuat sebarang tuduhan.

“Pada saya, perlu ada rasa saling hormat menghormati antara parti komponen BN; pemimpin harus menjunjung semangat BN. Tolonglah cuba fahami dulu apa yang berlaku bercakap - jangan hanya memalukan atau menuduh parti komponen,” katanya.

“Tak patut tuduh kami tidak cuba untuk hadir majlis itu tanpa terlebih dahulu ambil tahu mengapa kami tidak hadir.”

Dalam satu majlis di Negeri Sembilan semalam, Zahid yang merupakan Timbalan Pengerusi BN telah menegur pemimpin parti komponen kerana tidak hadir pada majlis melibatkan akar umbi dan berkata mereka sepatutnya menunjukkan rasa hormat.

“Tolong tunjuk muka di sini (Parlimen Rembau) walaupun kita beri kerusi bertanding di tempat lain. Bantu calon kita, kerusi hendak tetapi program tidak hadir.

“Anda perlu tunjukkan hormat kepada kerusi ditandingi, jangan beri alasan sibuk. Saya mahu rekod cemerlang (Negeri Sembilan) diperoleh (PRU14),” kata Zahid seperti dilaporkan BH Online. – 14 Mac, 2018.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen