Macam ‘Bar Council’, tapi untuk pengamal media


Izmil Amri

JENUH saya menghadam dan mencerakin laporan jawatankuasa pro-tem Majlis Media Malaysia yang dikeluarkan pada Julai 2020, lima bulan selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang angkara Langkah Sheraton.

Laporan sepanjang 22 muka ini malah memuatkan satu perenggan khas buat menjadi andalan kenapa Majlis Media sangkut di tengah jalan.

“Pada bulan Mac 2020, Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu dilantik, iaitu Saifuddin Abdullah. Pada masa yang sama, Perintah Kawalan Pergerakan mula berkuat kuasa pada 18 Mac. Kedua-dua peristiwa ini mengekang usaha jawatankuasa.”

Tidak sahaja itu, perenggan seterusnya kedengaran penuh sinis dan rasa meluat.

“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan mula dilonggarkan, usaha terhadap cadangan majlis media diteruskan pada bulan Mei 2020 dan berkesudahan dengan laporan ini.”

Benda-benda yang ditutup dengan kata ‘berkesudahan’ selalunya bukanlah sesuatu yang baik dan memberi harapan. Apatah lagi Majlis Media itu bukannya sesuatu yang sepatutnya disudahi dengan senaskhah laporan sahaja.

Nama Saifuddin Abdullah disebut seketul dengan jelas. Saifuddin pernah menganggotai jemaah menteri yang menganjurkan supaya Majlis Media ditubuhkan. Meski, yalah idea untuk menubuhkan sebuah majlis yang mengawal selia pengamal media bukan hanya baru muncul selepas Umno tumbang. Bahkan pada tahun 70an lagi.

Namun apa yang mengecewakan ialah saranan Jawatankuasa Pro-Tem tiada diendahkan si Saifuddin. Apa yang dia buat ketika menjadi menteri pun tidaklah kita tahu.

Tak apa, barang yang lepas jangan dikenang. Mari saya surahkan secara ringkas apakah itu Majlis Media.

Kawal selia kendiri

“Macam Bar Council,” ujar seorang teman, cuba memberikan kefahaman dengan menggunakan perbandingan Majlis Peguam, ketika saya bertanya mengenai Majlis Media.

“Tapi untuk wartawan, tauke stesen tivi,” dia kata lagi. Senang rupanya nak faham. Ingatkan apa benda.

‘Self-regulation’ atau kawal selia kendiri adalah upaya untuk memastikan tangan pemerintah tidak menjerut dan membelenggu pengamal media daripada menjadi aparat penyebar propaganda. Kecualilah kalau ia memang media milik kerajaan.

Meski agenda kerajaan itu penting, apa yang lebih penting ialah tanggungjawab media untuk menjadi agitator semak imbang bagi memastikan kerajaan tidak terlalu selesa di kerusi kuasa.

Oleh yang demikian, seharusnya tidak menjadi kerja kerajaan untuk membungkam, mengawal, mengarah, mengerah dan memperalatkan media untuk menghasilkan kandungan yang memberati agendanya sahaja.

Perdebatan tentang media bebas lahir sejak penguasa menyedari informasi adalah raja dan sesiapa yang memegang penyebaran maklumat, dialah yang paling berkuasa.

Di Malaysia, upaya untuk membelenggu, mengikat dan mengawal media ini dimanifestasi melalui undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, diikuti Akta Penyiaran 1988, dan tentu sekali Akta Hasutan 1948 sebagai alat membungkam pendapat dan pengolahan persetujuan masyarakat.

Apabila internet hadir memecahkah tembok-tembok kuno ini, kerajaan hadir pula dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk ‘mengawal selia percakapan dalam talian’. Kemudian muncul pula Akta Antiberita Tidak Benar 2018, yang kemudiannya dimansuhkan.

Hairan, kan? Berita, tapi tidak benar. Bukankah yang dinamakan akhbar dan berita itu sepatutnya tidak berdusta?

Maka di sinilah muncul keperluan untuk para pengamal media menjalankan kawalselia kendiri terhadap amalan dan integriti berita masing-masing, tanpa dikekang, dipaksa dan diikat tangannya oleh pihak penguasa.

Jadi selepas Umno tumbang dan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kerajaan; beberapa usaha dimulakan oleh pertubuhan masyarakat madani serta pengamal media untuk merundingkan penubuhan sebuah Majlis Media, agar soal kebertanggungjawaban dan tata kelola amalan media yang baik boleh diuruskan sendiri tanpa campur tangan pihak berkuasa. Pendek kata, media akhirnya bebas menyebarkan maklumat selagi mana ia tidak membawa marabahaya kepada umum. Kan bagus tu.

Campur tangan Kerajaan

Jawatankuasa Pro-Tem Majlis Media yang dipengerusikan Premesh Chandran, mantan orang kuat Malaysiakini, mengemukakan cadangan kepada kerajaan termasuk draf Akta Majlis Media Malaysia tiga tahun lalu.

Sepatutnya tidak ada upaya tambahan untuk bermula semula dan membuang masa, lantas perkara ini boleh disegerakan.

Apatah lagi dalam keadaan kerajaan ini pun masih kelihatan bergelut dengan idealisme dan realpolitik dalam usaha menangani penyebaran maklumat secara salah, palsu dan jahat; hari demi hari melalui apa sahaja wasilah yang ada. Maka tidak wajar ia ditangguh-tangguh. Semakin ia ditangguh, semakin ia dilupakan.

Ini kelihatan dalam reaksi Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang baru-baru ini menyatakan hasrat untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dalam usaha untuk menangani masalah kewartawanan tanpa etika.

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dalam kenyataannya menegaskan sebarang usaha untuk meminda Akta terbabit seharusnya menumpukan kepada upaya memperkukuh kebebasan bersuara dan kebebasan media di Malaysia dan bukan sebaliknya.

Ya betul perlu ada kebertanggungjawaban dalam melapor namun menggunakan pendekatan undang-undang bagi menyekat media bukanlah jalan yang terbaik bagi mencapai objektif kewartawanan yang adil dan tidak berat sebelah.

Sebenarnya apa yang lebih penting ialah menyegerakan penubuhan Majlis Media ini sebagai sebuah badan kawal selia kendiri yang telus, dalam rangka mengekalkan standard etika yang tinggi, selain menjalankan peranan-peranan yang sedia digariskan dalam laporan jawatankuasa pro-tem serta draf akta yang dikemukakan.

Kementerian juga sebenarnya boleh menjalin kerjasama dengan usaha-usaha sedia ada termasuk bersama pertubuhan masyarakat madani untuk membanteras penyebaran maklumat palsu dan jahat secara lebih sistematik sebelum ia menular; selain mempergiat inisiatif menjalankan pendidikan literasi media digital agar masyarakat lebih celik dalam menilai serta menanggapi maklumat yang tersebar.

Bukankah ini lebih baik berbanding memberi sepenuh tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang yang lebih cenderung disalah guna pada masa akan datang.

Kerajaan pun tentunya sedar mempunyai tarikh luput dan akan bergantung kepada keberanian institusi media yang ia bebaskan untuk memastikan kerajaan pengganti akan terus tertakluk kepada semak imbang soal jawab wartawan yang tidak dibelenggu aparat kerajaan.

Barulah betul-betul madani dan reformasi. – 22 Februari, 2023.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen