LATIHAN dan pemahiran semula (reskilling) dalam bidang seperti analitik data dan kecerdasan buatan (AI) perlu disediakan untuk pekerja terutama golongan berpendapatan sederhana bagi mengelak mereka kehilangan kerja susulan kehadiran teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kata penganalisis.
Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) berkata Putrajaya perlu wujudkan kursus khas untuk membantu pekerja yang berisiko kehilangan pekerjaan dan juga selepas jangkaan 60,000 pekerja di negara ini akan hilang kerja tahun ini atas ketidaktentuan pasaran dunia.
Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Dr Syed Hussain Syed Husman berkata pengangguran boleh mencecah dua kali ganda tahun ini sehingga 60,000 orang berbanding purata tahun sebelumnya.
Katanya sektor pembuatan dan pembinaan merupakan sektor yang menerima impak paling besar dan beliau turut menjangkakan perniagaan runcit dan perkhidmatan mungkin akan bergelut kerana terlalu bergantung kepada perbelanjaan domestik dan pelancong.
Namun Syed Hussain berkata pengangguran bergantung kepada situasi ekonomi termasuk prestasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tahun ini.
“Jika orang ramai mengurangkan perbelanjaan, kita akan menyaksikan lebih banyak pemberhentian (pekerja) berlaku dalam sektor terbabit.
Mengulas dakwaan Syed Hussain, Barjoyai yang merupakan ahli ekonomi berkata teknologi IR4.0 akan menyebabkan 70 peratus kerja berlebihan di Malaysia.
“Apa yang boleh dilakukan ialah menyediakan latihan dan latih semula. Syarikat perisian, peranti dan AI boleh menggantikan pekerja mereka dengan robot.
“Jadi kita kena sediakan latihan itu kepada orang ramai. Selepas enam sampai sembilan bulan mereka boleh kembali bekerja dengan jawatan lebih tinggi. Pekerja perlu tahu yang mereka memang tak ada pilihan lain selain pergi latih semula jika tidak mahu hilang kerja,” katanya.
Sebelum ini The Malaysian Insight melaporkan model fesyen, setiausaha dan juru-audit antara 10 pekerja yang mungkin akan lenyap dalam beberapa tahun mendatang susulan kehadiran teknologi IR4.0.
Sebaliknya pakar diet, pengusaha hotel dan guru antara pekerjaan yang sukar digantikan dengan robot atau AI mengikut agensi kerajaan dalam mengendalikan pasaran pekerja. – 21 Februari, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen