PELAJAR yang tercicir daripada persekolahan disaran mengambil peluang mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid berkata bidang TVET menawarkan kursus yang seiring dengan keperluan industri ketika ini sekali gus menjamin masa depan pelajar.
“Saya mengesyorkan pelajar-pelajar yang keciciran sekolah ini jika dia tidak berminat dalam bidang akademik lagi dia boleh pergi kepada bidang kemahiran yang ditawarkan TVET.
“Kita ada GiatMara, Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan lain -lain yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya pada Majlis Perasmian Kolokium Kaunseling Murid Berisiko Cicir Negeri Kedah di Kuala Nerang, hari ini.
Sehingga Mac lepas, jumlah pelajar yang belajar di 280 institusi TVET di bawah KPLB seramai 48,785 orang.
Sementara itu, Mahdzir berkata kes keciciran sekolah di kawasan luar bandar masih terkawal yang membabitkan pelbagai faktor antaranya masalah keluarga dan kemiskinan.
“Jumlah pelajar yang tercicir tidaklah ramai berbanding jumlah lima juta pelajar sekolah di seluruh negara (tapi) perlu ada modul untuk menarik mereka kembali ke sekolah dan sekiranya mereka tidak berminat kita cadang mereka ke laluan TVET,” katanya.
Mahdzir berkata kolokium kaunseling yang diadakan itu bertujuan mengenal pasti punca pelajar tercicir selain merangka modul sesuai untuk menarik minat pelajar terbabit kembali ke sekolah. – Bernama, 23 Julai, 2022.
Komen