Jangan bermuka-muka berhubung tindakan SPRM, kata Fahmi kepada Muhyiddin 


Ravin Palanisamy

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata Muhyiddin perlu terima siasatan itu sebagaimana beliau menyokong perkara yang sama terhadap parti lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Februari, 2023.

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin tidak seharusnya bersikap bermuka-muka berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap partinya berkaitan pembiayaan politik, kata Fahmi Fadzil hari ini.

Ketua Penerangan PKR itu berkata, Muhyiddin harus menerima siasatan seperti mana sokongan beliau sebelum ini apabila tindakan sedemikian diambil terhadap parti lain seperti Umno.

“Tetapi, saya ingin mengingatkan ahli-ahli Bersatu bahawa mereka perlu mengingatkan presiden parti mereka supaya tidak bermuka-muka berhubung pendiriannya mengenai SPRM dan pembekuan akaun (parti itu).

“Mungkin peringatan kepada mereka bahawa mereka perlu mengingatkan presiden parti mereka apa itu adil,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Perayaan Tahun Baru Cina di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 2018, apabila akaun Umno dibekukan, Muhyiddin, yang merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu, berkata SPRM mempunyai hak untuk membekukan akaun berdasarkan penemuannya.

Bagaimanapun, minggu lalu, Muhyiddin berkata pihaknya akan menulis surat kepada SPRM untuk meminta agensi antirasuah itu membatalkan pembekuan akaunnya.

Ketua Perusuhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini mengesahkan bahawa akaun Bersatu dibekukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin menuduh kerajaan menggunakan SPRM sebagai alat politik.

Muhyiddin sebelum ini menafikan dakwaan kerajaannya telah menyeleweng RM92.5 bilion dana kecemasan Covid semasa beliau menjadi perdana menteri.

Mengenai laporan Bersatu kepada SPRM mengenai Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), yang mendakwa perbelanjaan berlebihan semasa pilihan raya umum November, Fahmi tidak menjawabnya tetapi berkata sesiapa sahaja berhak membuat laporan.

Minggu lalu, Ketua Bahagian Bersatu Puchong Mohd Shukor Mustaffa membuat laporan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya berhubung unsur perbelanjaan mewah oleh PH dan BN sepanjang tempoh kempen.– 12 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen