Bersatu gesa SPRM siasat perbelanjaan Pakatan, BN semasa PRU15


Ketua Bahagian Bersatu Puchong Mohd Shukor Mustaffa membuat laporan kepada SPRM berhubung perbelanjaan mewah PH dan BN semasa PRU15. – Gambar Facebook, 7 Februari, 2023.

BERSATU mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berhubung perbelanjaan berlebihan mereka semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Bahagian Bersatu Puchong Mohd Shukor Mustaffa yang membuat laporan mengenai perkara itu di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini berkata satu elemen perbelanjaan mewah itu ialah penggunaan perkhidmatan helikopter oleh Pengerusi PH Anwar Ibrahim semasa tempoh berkempen.

“Hari ini, saya memfailkan laporan kepada SPRM berhubung perbelanjaan mewah PH dan BN semasa PRU15.

“Pelbagai laporan media dan siaran media sosial menunjukkan PH dan BN menggunakan banyak poster dan bendera.

“Anwar juga menggunakan helikopter untuk bergerak sepanjang tempoh kempen,” kata Shukor pada sidang media di hadapan ibu pejabat SPRM.

“Kami berharap siasatan menyeluruh oleh SPRM dapat dijalankan ke atas kedua-dua pihak terutama terhadap Anwar,” katanya.

Laporan terhadap PH dan BN - kedua-duanya sekutu dalam kerajaan perpaduan peringkat persekutuan pimpinan Anwar - dibuat selepas SPRM membekukan akaun Bersatu sebagai sebahagian daripada siasatannya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini berkata kertas siasatan dibuka berhubung dakwaan penyelewengan dana RM600 bilion yang digunakan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional sebelum ini semasa pandemik Covid-19 dari 2020 hingga 2022.

Pemimpin Bersatu menafikan sebarang salah laku, sambil menambah dananya adalah daripada sumber yang sah.

Dakwaan sebelum ini dibangkitkan oleh pemimpin PH dan BN berhubung perbelanjaan mewah Bersatu dan PN semasa PRU15. – 7 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen