RENCANA ini tidak bertujuan untuk mengabsahkan amalan nepotisme mahu pun kronisme. Sebaliknya ia bertujuan untuk memahami kenapa ia berlaku dalam konteks pelantikan puteri reformasi Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri yang juga ayah beliau sendiri.
Nepotisme ringkasnya adalah amalan pilih kasih berdasarkan hubungan kekerabatan atau persanakan dengan menempatkan atau mengutamakan mereka yang punya hubungan darah dalam sesuatu kedudukan, jawatan, projek atau kontrak.
Manakala kronisme pula adalah amalan pilih kasih yang mengutamakan kawan, rakan, teman, sahabat atau penyokong dalam pemberian jawatan, kedudukan, projek atau kontrak.
Tidak banyak beza antara keduanya, melainkan yang satu pilih kasih kerana hubungan sedarah, dan yang satu lagi juga amalan pilih kasih tetapi tanpa hubungan sedarah sebaliknya atas hubungan peribadi.
Natijah kepada kedua-dua amalan tersebut, nepotisme dan kronisme, cenderung menghasilkan persaingan yang tidak adil, konflik kepentingan, menafikan peluang orang lain, mengurangkan kecekapan dalam organisasi serta hubungan kerja cenderung menjadi tidak professional sebaliknya personal dengan kerumitan-kerumitan yang terhasil daripada hubungan seperti itu dalam kehidupan berorganisasi.
Masyarakat moden secara umumnya memandang amalan nepotisme dan kronisme sebagai sesuatu yang menyalahi moral dan etika. Namun, ia tetap berlaku dalam masyarakat.
Persoalannya kenapa?
Rencana ini hanya akan menumpukan kepada nepotisme yang menjadi isu viral selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim melantik anak perempuan beliau Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepadanya.
Rencana ini tidak mengambil pendekatan biologi yang pada hemat saya bermasalah. Mempertalikan amalan nepotisme dengan biologi, seolah-olah mengatakan bahawa ia adalah sesuatu yang semula jadi dan semua manusia akan cenderung berbuat begitu kerana ia adalah sebahagian daripada sifat alamiah manusia.
Hakikatnya tidak semua manusia mengamalkannya. Banyak manusia di dalam pelbagai masyarakat dunia menentangnya dan takkan berkompromi dengan amalan seperti itu.
Malahan ada sahaja manusia dalam masyarakat kita dan juga masyarakat lainnya yang membuang, mendera, menyiksa dan menganiaya anak, ibu, bapa, saudara mara serta kaum kerabat darah daging mereka sendiri.
Kes-kes penganiayaan dan penderaan anak sendiri yang kerap kali menjadi tajuk berita di media massa adalah buktinya. Justeru, hujah bahawa amalan nepotisme adalah sesuatu yang alamiah (biologis) dengan sendirinya tertolak walaupun boleh dipertimbang untuk dibahaskan sebagai lancapan intelektual.
Rencana ini lebih menumpukan persoalan nepotisme (juga kronisme) sebagai suatu permasalahan struktural, khususnya dalam politik Malaysia.
Struktur politik Malaysia adalah berasaskan demokrasi liberal. Acuannya sistem persaingan politik menerusi pilihanraya dengan kaedah “First Past The Post” yang cenderung menghasilkan sindrom, “yang menang dapat sapu, yang kalah dapat abu”.
Manakala demokrasi liberal seperti yang telah saya hujahkan sebelum ini, sudah pun sampai ke titik mengah.
Natijah kepada struktur politik yang sebegitu rupa adalah ketidakstabilan yang berpanjangan. Persaingan politik bukan sahaja menjadi sengit, tetapi juga kejam, licik, penuh pengkhianatan, banyak “bermain wayang” dan masing-masing tikam-menikam di depan mahu pun dari belakang. Ini hakikat yang jelas tertera dalam lanskap politik Malaysia pada hari ini.
Manakala Anwar pula adalah sosok yang melalui semua sepak-terajang politik Malaysia secara langsung. Dipukul separuh mati, dipenjarakan, dikhianati, ditikam kawan sendiri – semua proses sejarah yang dilalui beliau itu pasti sedikit sebanyak bukan hanya memperkayakan pemahaman beliau tentang hakikat dan pragmatik politik, tetapi juga membentuk psikologi diri sebagai salah seorang pemainnya yang berpengalaman.
Dalam proses sejarah politik Malaysia, saya yakin tidak ada seorang politikus pun yang dapat menyamai apa yang telah dialami oleh seorang Anwar Ibrahim.
Memahami konteks ini terdapat dua unsur saling terkait yang mewujudkan suatu simbiosis dalam tindakan politik Anwar melantik Nurul Izzah sebagai penasihat kanan beliau, tanpa sebarang gaji, imbuhan atau kelebihan kewangan.
Di satu sisi unsur struktural yang melahirkan keadaan politik Malaysia terkini yang penuh dengan pengkhianatan, “wayang” dan tikam-menikam.
Manakala di satu sisi lagi, unsur psikologikal seorang Anwar yang biografi sejarah peribadinya memahat banyak pengalaman dikhianati, “diwayangi” dan ditikami, bukan hanya oleh musuh politik beliau, tetapi juga oleh orang yang pernah beliau letakkan sepenuh kepercayaan.
Kata kuncinya di sini adalah kepercayaan. Dalam konteks struktural-psikologikal inilah pada hemat saya persoalan nepotisme Anwar perlu difahami. Melantik Nurul Izzah adalah melantik orang yang paling beliau percayai.
Pertimbangan mengenai siapa yang memiliki kebolehpercayaan paling tinggi khususnya dalam konteks struktur politik Malaysia yang semakin penuh dengan tipu-muslihat, “wayang” dan ketidakstabilan adalah sesuatu yang saya fikir tidak terelakkan untuk diambil kira.
Apatah lagi posisi Nurul Izzah adalah di jantung yang mendegupkan nyawa Malaysia, yakni ekonomi dan kewangan, yang bukan cuma memerlukan kelayakan semata-mata tetapi juga kebolehpercayaan yang tinggi daripada Perdana Menteri.
Cabaran pasca-pandemik Covid-19 dan tekad politik perdana menteri untuk mengangkat martabat Malaysia serta membanteras rasuah dan korupsi sememangnya memerlukan orang yang paling beliau percayai.
Nurul Izzah adalah orangnya buat masa ini, khususnya untuk menangani masalah-masalah yang bukan sebarang orang boleh dipertanggungjawabkan. Terutamanya masalah ketirisan, rasuah dan korupsi peringkat tinggi yang rumit untuk diselesaikan tanpa adanya penglibatan orang yang dipercayai.
Malahan orang yang mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi daripada Perdana Menteri seperti Nurul Izzah sangat diperlukan untuk mendepani cabaran daripada warga penjawat awam yang bukan semuanya mendukung kerajaan perpaduan.
Keputusan PRU15 di Putrajaya menunjukkan Ku Nan yang tidak pernah kalah selama empat penggal di kawasan parlimen tersebut, akhirnya tewas di tangan Radzi Jidin selaku calon Perikatan Nasional (PN). Ia juga turut mencerminkan pendirian majoriti penjawat awam mengenai kerajaan perpaduan.
Mengambil kira semua perkara ini, maka pada hemat saya pelantikan Nurul Izzah walau pun kontroversi, namun boleh difahami – Perdana Menteri memerlukan orang yang paling beliau percayai untuk menzahirkan Malaysia Madani yang bebas rasuah dan korupsi.
Nepotisme tentunya bermasalah tetapi pada masa yang sama ia perlu dilihat secara menyeluruh khususnya dari sudut struktural, psikologikal dan tekad politik yang mendorong tindakan Perdana Menteri itu.
Buat masa ini, yang lebih penting pada hemat saya adalah sejauh mana Nurul Izzah berjaya melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada beliau itu dengan baik, sempurna dan berkesan. Masyarakat harus sentiasa memantau pencapaian beliau dalam tempoh yang munasabah.
Jika selepas tempoh tersebut didapati Nurul Izzah gagal berfungsi dengan baik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri, maka di saat itu masyarakat berhak untuk menuntut beliau supaya mengundur diri. – 1 Februari, 2023.
* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.
Komen