Keputusan Zahid tidak dapat nasihat Lembaga Disiplin Umno, kata Ismail Sabri


Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob tidak setuju dengan keputusan pemecatan dan penggantungan lebih 40 ahli parti kerana dibuat tidak mematuhi proses perundangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2023.

NAIB Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob membayangkan keputusan pemecatan dan penggantungan keseluruhan lebih 40 pemimpin dan ahli Umno malam tadi adalah keputusan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan tidak mendapat nasihat lembaga disiplin.

Keputusan yang diumumkan oleh Ahmad Zahid itu juga bertentangan dengan prinsip keadilan kerana yang dikenakan tindakan tidak diberi peluang membela diri, katanya.

“Saya menyatakan tidak setuju dengan keputusan tersebut atas alasan pemecatan dan penggantungan dibuat tidak mematuhi proses perundangan dan bertentangan dengan prinsip ‘natural justice’ seperti hak membela diri,” katanya dalam satu hantaran di Instagram, malam ini.

Jelas Ismail, mereka yang dikenakan tindakan tidak diberikan surat tunjuk sebab, yang sepatutnya akan membolehkan mereka membela diri termasuk dengan mengemukakan saksi.

Tindakan terhadap mereka juga, katanya, tidak mengikut prosedur parti iaitu daripada jawatankuasa disiplin, dibawa kepada jawatankuasa pengurusan parti dan seterusnya kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk keputusan.

“Proses ini tidak dilaksanakan. Saya dimaklumkan jawatankuasa disiplin tidak pernah menasihatkan presiden untuk sebarang tindakan namun hanya memaklumkan tentang terdapat laporan dibuat terhadap yang dituduh,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, beliau tidak bersetuju dengan keputusan yang diumumkan oleh Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan malam tadi kerana ada “kecacatan nyata” dalam proses membuat keputusan.

“Sebagai sebuah parti yang bertamadun, Umno mesti dilihat telus dalam membuat sebarang tindakan,” tambahnya.

Semalam, Ahmad mengumumkan MKT Umno memecat 44 ahlinya termasuk bekas ketua sayap Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas pengerusi Umno Selangor, Noh Omar.

Noh pada awalnya digantung enam tahun tetapi kemudian meminta supaya dipecat, dan permintaannya diterima oleh Ahmad Zahid.

Baki 42 orang lagi yang dipecat ialah lima ahli Umno Pasir Gudang, sembilan ahli bahagian Putrajaya, dua ahli bahagian Tanjong Karang dan 26 ahli dari Pahang.

Mesyuarat malam tadi juga, kata Ahmad, menggantung keahlian bekas naib presiden Hishammuddin Hussein selama enam tahun bersama tiga yang lain, termasuk bekas ketua penerangan parti Shahril Sufian Hamdan.

Dua lagi yang digantung ialah Maulizan Bujang (ketua Umno Tebrau) dan Salim Sharif (ketua Umno Jempol).

Sebelum mesyuarat MKT Umno malam semalam, Ahmad Zahid berkata Umno sedang melakukan “pembersihan besar-besaran” parti terhadap mereka yang dianggap pengkhianat semasa pilihan raya umum lepas. – 28 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen