SERANGAN bersenjata di Sepanyol dan Jerman baru-baru ini yang menyebabkan beberapa orang terbunuh manakala ramai lagi cedera menimbulkan kemarahan para pemimpin Eropah, lapor Xinhua.
Pada Rabu seorang terbunuh manakala seorang lagi mangsa cedera selepas seorang lelaki bertindak menyerang menggunakan parang di dua gereja di Algeciras, selatan Sepanyol.
Pada hari yang sama seorang lelaki bersenjatakan pisau membunuh dua orang dan mencederakan sekurang-kurangnya tujuh yang lain dalam kereta api di utara Jerman.
Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez menggelar serangan di Algeciras sebagai “mengerikan”, dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Sanchez berikrar untuk menjalankan siasatan berhubung serangan itu.
Pada Khamis Kementerian Dalam Negeri Sepanyol memaklumkan seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu ditahan Polis Kebangsaan Sepanyol.
Di Jerman penyerang berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan dan dimasukkan ke hospital.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa suspek akan disoal siasat manakala motif serangan masih belum diketahui.
Sabine Sutterlin-Waack, menteri dalam negeri memberitahu wartawan bahawa beliau “terkejut dan ngeri dengan insiden itu”.
Insiden di Sepanyol dan Jerman berlaku selepas serangan di Paris dua minggu lalu, di mana seorang lelaki mencederakan enam orang dengan menggunakan sabit di Gare Du Nord (Stesen Paris Utara).
Pada Khamis Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni mengecam “keganasan dan serangan membuta tuli” di Sepanyol dan Jerman, sambil menyatakan solidariti bersama kedua-dua negara itu.
Laporan media mencatatkan peningkatan serangan ganas sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Walaupun tiada bukti jelas mengenai punca serangan, media tempatan membuat spekulasi bahawa ekonomi yang merosot dan peningkatan sentimen terhadap pendatang boleh mencetuskan insiden sedemikian. – Bernama, 27 Januari, 2023.
Komen