ENAM orang maut manakala dua lagi cedera selepas sebuah bas penumpang terbabas dari jambatan dan terjunam ke dalam sungai di wilayah Galicia barat laut Sepanyol, kata pihak berkuasa.
Kemalangan berlaku pada malam Sabtu lalu dekat bandar Vigo dan bersempadan dengan Portugal.
Akhbar La Voz de Galicia melaporkan bas yang terjunam ke dalam Sungai Lerez itu membawa penumpang yang melawat ahli keluarga di penjara Monterroso, tengah Galicia.
Menurut perkhidmatan kecemasan dua mayat telah ditemui berhampiran lokasi kemalangan, manakala empat lagi di sungai itu semalam.
“Pasukan penyelamat mengesahkan kesemua mangsa yang hilang berjaya diselamatkan,” menurut perkhidmatan itu dalam satu kenyataan dimuat naik di Twitter, sekali gus mengumumkan operasi pencarian ditamatkan.
Pihak berkuasa berkata operasi menyelamat sebelum itu terpaksa ditangguhkan semalam disebabkan cuaca buruk namun disambung semula awal pagi semalam dengan bantuan unit penyelamat gunung dan sebuah helikopter.
Kemalangan berlaku di kawasan curam, membuatkan operasi menyelamat agak sukar, kata jurucakap polis di bandar Pontevedra yang terletak kira-kira 30 kilometer daripada lokasi kemalangan. Hujan lebat pada Sabtu menyebabkan paras air Sungai Lerez naik mendadak, sekali gus merumitkan lagi operasi.
Punca kemalangan sedang disiasat, kata pihak berkuasa. – AFP, 26 Disember, 2022.
Komen