Air batu glasier mula cair


Hishamuddin Rais

ZAMAN Air Batu terjadi di atas muka bumi ini kira-kira 2.4 bilion tahun dahulu. Selama 11,500 tahun bumi kita ini dibungkus oleh salji dan air batu.

Umat manusia yang mula wujud di atas muka bumi ini kira-kira 300,000 tahun dahulu. Homo sapiens bercabang dari homo erectus muncul dari wilayah Afrika Timur. 

Hari ini kawasan permulaan manusia muncul ini dikatakan wilayah berhampiran dengan negara Ethiopia.

Di wilayah inilah asal usul nenek moyang kita semua. Nenek moyang  semua umat manusia. Umat manusia semua bangsa dan manusia semua agama. Amin.

Dari wilayah ini – dalam masa berjuta tahun – umat manusia bergerak dalam kumpulan merayau dan berpindah. Ada yang ke Utara ke Eropah, ke Amerika, ke Timur, ke benua Asia hingga ke Australia.

Mereka bergerak untuk mencari dan memburu makanan. Proses berevolusi ini mengambil masa berjuta-juta tahun sebelum menjadi manusia yang kita kenali sebagai manusia hari ini.

Ketika  zaman air batu berjalan umat manusia yang di Afrika tidak merasakan impak teruk dari kesejukan zaman air batu. Mereka beradaptasi.

Waktu berjalan. Bumi berevolusi. Pokok mati, pokok tumbuh. Binatang mati, binatang lahir. Mati tumbuh hilang berganti. 

Mayat, bangkai dan serpihan plankton inilah yang ditelan bumi untuk menjadi minyak dan arang  batu. Inilah asal usul bahan bakar tenaga fosil.

Masa terus berjalan. Iklim juga berubah kerana berlaku pergerakan kedudukan muka bumi yang berhadapan dengan matahari. Bumi beralih sendeng. Kini planet bumi mula merapati matahari seperti kedudukan bumi kita hari ini.

Pergerakan kedudukan bumi yang baru ini membolehkan panas cahaya matahari mencairkan air batu yang menutup bumi. 

Air batu yang cair menjadi sungai dan laut. Ada kawasan muka bumi tenggelam dan ada yang timbul. Ada kawasan menjadi benua dan ada  yang menjadi pulau-pulau.

Proses berevolusi ini mengambil masa beratus juta tahun. Hingga menjadi dunia yang kita ketahui sebagai dunia hari ini.

Hari ini masih ada air batu dan salji di Kutub Utara dan Kutub Selatan. Salji dan glasier ini adalah peninggalan Zaman Air Batu. 
Glasier dan salji juga masih ada di pergunungan seperti di Banjaran Himalaya atau di gunung di Eropah.

Mengikut para saintis, glasier ini adalah peninggalan zaman air batu yang berakhir 10,000 tahun dahulu.

Di Kutub Utara, kawasan ini dipanggil Arctic Circle. Kawasan ini terletak di Utara Scandinavia, Rusia, Canada, Greenland dan Alaska.

Warga di wilayah ini dipanggil Eskimo atau Inuit. Kalau Arab Badwi hidup berbudaya dalam padang pasir.

Kalau Orang Asal – Senoi dan Temiar – hidup dalam hutan belantara. Orang Eskimo hidup berbudaya dalam benua air batu.

Kutub Selatan atau Antartic Circle terletak di bawah benua Australia dan benua Amerika Latin. Di wilayah ini tidak ada manusia hidup berbudaya di sini. 

Wilayah ini dituntut oleh negara New Zealand, Australia, France, Norway, United Kingdom, Chile dan Argentina.

Kita juga – Malaysia – ada merakamkan kepentingan kita di Antartic Circle. Malaysia menandatangani beberapa perjanjian antarabangsa terhadap wilayah ini.

Hari ini kenaikan suhu bumi membawa efek rumah hijau. Efek rumah hijau ini membawa kesan yang amat jelas di wilayah air batu ini.

Wilayah Kutub Utara dan Selatan ini amat sejuk dan udara paling bersih, indah dan nyaman. 

Kini semuanya semakin berubah. Perubahan ini mula ditemui apabila kajian di Kutub Utara bermula semenjak tahun 1978.

Hasil kajian didapati air batu glasier yang keras beribu-ribu tahun telah mula bergerak. Glasier yang cair semakin banyak.

Portal berita CNN (Cable News Network) dari Atlanta, Amerika melaporkan kepanasan yang amat sangat berlaku pada tahun 2021. 

Pada 15 hingga 17 Julai 2021, air yang cair dari glasier berjumlah 6 bilion tan sehari.

Selama tiga hari air cair dari glasier ini boleh mengisi 7.2 juta kolam renang bersaiz Olimpik. Air sebanyak inj boleh menaikan air laut sebanyak 3 kaki setahun.

Pada masa yang sama bahang panas ini juga mencairkan glasier di Banjaran Himalaya.

Laporan portal berita  PBS (Public Broadcasting Service) yang berpangkalan di Arlington, Virginia, Amerika melaporkan pada 20 Jun 2022 glasier di Himalaya makin cair. Tidak pernah berlaku glasier cair seperti ini dalam masa 10 tahun kebelakangan ini.

Air glasier yang cair dari Himalaya akan masuk ke dalam Sungai Ganges, Indus dan Brahmaputra. 

Lebih kurang 129 juta kaum tani bergantung hidup di lembah aliran sungai-sungai ini.

Hasil dari pencairan glasier ini mengakibatkan banjir di India, Pakistan dan Bangladesh pada tahun 2010, 2012, 2015 dan 2017.

Banjir Sungai Indus paling terbesar berlaku di Pakistan  pada tahun lalu. Hampir satu pertiga bumi Pakistan ditenggelami air. Amin

Antara 14 Jun hingga Oktober 2022, Sungai  Indus yang bermula di Nangka Prabat di utara Pakistan melimpah. 

Air sungai yang mengalir masuk ke dalam Lautan Arab memecah tebing dan melimpahkan banjir.

Pada ketika yang sama hujan monsun sampai. Sungai sedang penuh dengan air glasier cair dari Himalaya.

Dua punca air ini bertemu dan menghasilkan banjir terbesar dalam sejarah Pakistan.

Dua sumber air yang masuk ke dalam sungai Indus mengakibatkan 1,739 tercabut nyawa, 14 bilion dolar kerosakan dan 15 bilion dolar kerugian ekonomi.

Kita juga selalu membaca dan mendengar badan NGO menentang penebangan hutan dan  kayu kayan. 

Dikatakan hutan Amazon di Amerika Latin dan hutan tropika di Kalimantan sebagai ‘gudang oksigen’.

Apa sebenarnya peranan hutan rimba ini? Apa maknanya gudang oksigen?

Daun-daun yang hijau dari semua pokok di dunia ini memerlukan makanan. 

Fakta ini diketahui semenjak zaman Mesir Kuno. Justeru penduduk di zaman Mesir Kuno menyembah matahari yang dipanggil Tuhan Ra.

Warga Mesir kuno tahu tanpa sinar cahaya matahari tidak ada apa yang boleh hidup di muka bumi ini. Justeru mereka menyembah Ra.

Pokok untuk hidup perlu makan. Daun bertugas mencari makanan untuk pokok berbunga dan berbuah.

Dengan bantuan cahaya matahari daun-daun ini menyedut gas karbon dioksida dari udara dan air dari bumi. Proses ini menghasilkan gula dan oksigen.

Daun hijau ini kemudian akan mengeluarkan oksigen di waktu siang dengan bantuan  cahaya mata hari.

Proses matahari menyinari daun-daun kayu mencari makan ini dinamakan fotosintesis.

Dalam proses fotosintesis ini daun dan pokok menapis dan menyimpan karbon dioksida. 

Jika hutan terbakar atau hutan ditebang untuk merembat balaknya maka karbon dioksida tidak ada penapis. Juga hilang tempat gas ini tersimpan.

Bila hutan terbakar gas karbon dioksida akan keluar dan masuk ke atmosfera. Gas ini akan berkumpul bersama gas methane dan nitrous  oxide untuk memayung bumi. Gas-gas yang terkumpul ini menambah bahang kerana cahaya matahari terperangkap.

Akibatnya dunia jadi panas. Keadaan ikat berikat dan kait mengait ini sama seperti lagu Katak dan

Ular:

Katak oh katak

Kenapa panggil hujan

Macam mana aku tak panggil

Ular nak makan aku

Ular oh ular

Kenapa nak makan katak

Macam mana aku tak makan

Memang makanan aku

Semua yang wujud dalam alam kita ini kait berkait. Teranyam tersusun dan teratur dengan baik seperti secawan susu milik Anak Beruang yang ditemui oleh Goldilocks.

Apa pula terjadi dengan air hujan dan air glasier yang masuk ke laut?

Tiga par empat permukaan planet bumi adalah air. Tanpa air – H20  -  tidak akan ada apa-apa hidupan di atas muka bumi ini.

Justeru roket yang dihantar ke bintang Marikh tugas utama adalah cuba mengenal apakah akan ditemui air di bintang ini. 

Jika mana-mana planet atau bintang yang ada kombinasi H2O, besar kemungkinan akan ada kehidupan. Ini hipotesis para saintis.

Dunia yang semakin panas ini bahangnya juga sedang menaikkan suhu air laut. 

Dari kajian para saintis yang diterbitkan dalam Jurnal Science Advances pada 20 April 2022 air laut bergerak 77% daripada kebiasaan. Ini akibat pemanasan air laut.

Hubaya hubaya – air laut memainkan peranan yang amat penting dalam perencanaan iklim dan cuaca dunia kita ini.

Peranan muka bumi dan kayu kayan dalam hutan rimba ialah menyedut sedikit kepanasan. Permukaan laut juga menyedut panahan cahaya matahari.

Sedutan panahan cahaya matahari di permukaan laut ini banyak berlaku di wilayah Khatulistiwa. Jelas laut berperanan sebagai panel untuk menyimpan dan mengumpul panas.

Bila permukaan laut bertambah panas air laut berkembang dan menjadi semakin banyak.

Suhu air laut bertambah panas. Laut semakin bergelora. Angin laut semakin keras.  

Wilayah lautan yang panas akan memanaskan atmosfera. Udara panas di permukaan laut akan naik ke langit.

Wilayah panas ini menjadi kosong dan terus menarik datang udara dari wilayah yang tidak panas. Pergerakan angin ini menjadi ribut dan taufan.

Sepuluh tahun kebelakangan ini glasier dan salji cair. Air laut jadi panas dan bertambah. Semua ini hasil dari efek rumah hijau. Banjir dan ribut taufan semakin kerap.

Apakah langkah yang akan diambil homo sapiens. Apakah homo sapiens akan mengadaptasi seperti yang dilakukan jutaan tahun dahulu ketika bumi dibaluti salju. Tunggu pencerahan. Amin. – 25 Januari, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen