Membentuk rakyat mahir membaca politik


Fakhrurrazi Rashid

Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim seolah-olah merendah-rendahkan intelektual rakyat dalam ucapan berkenaan kemerosotan budaya membaca. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2023.

MINGGU lepas, saya mengikuti kenyataan balas Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) terhadap dakwaan Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam ke atas satu ucapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di CTCORP Leadership Forum, Indonesia.

Khairil Nizam mendakwa perdana menteri seolah-olah merendah-rendahkan intelektual rakyat dalam ucapan berkenaan kemerosotan budaya membaca.

Kebimbangan disuarakan perdana menteri kerajaan perpaduan adalah satu pandangan normal yang pernah diungkap pemimpin negara sebelum ini.

Khairil dilihat mengambil cebisan ucapan Anwar Ibrahim di luar konteks sebenar untuk mendapat simpati politik golongan muda.

Masalah kurang membaca buku dalam kalangan rakyat adalah isu global yang turut berlaku di negara-negara maju.

Dalam satu kajian daripada Gallup, purata orang dewasa Amerika Syarikat (AS) membaca buku dalam setahun menurun daripada 15.6 buku pada tahun 2016 kepada 12.5 buku pada tahun 2021.

Pelajar universiti di AS adalah kumpulan yang kurang membaca dalam dapatan tersebut.

Tetapi, ia tidak bermaksud situasi di Malaysia lebih baik kerana kadar rakyat kita membaca buku masih tidak boleh menandingi rakyat di negara maju.

Fakta ini sudah cukup menunjukkan ketempangan ketua penerangan PAS itu. Walau apa pun, budaya membaca harus dipergiatkan bagi membina masyarakat berpengetahuan bagi memajukan negara.

Kemerosotan budaya membaca sering dikaitkan dengan hasil pilihan rakyat dalam proses demokrasi seperti pilihan raya.

Contohnya, selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) generasi Tik Tok yang dipelopori belia dijadikan bukti pengundi muda kurang faham isu politik sebenar sehingga terperangkap dalam sentimen kaum dan agama.

Ada pihak bertindak melulu dan mendesak kelayakan umur mengundi dinaikkan kepada umur 23 tahun agar tidak berlaku lagi manipulasi terhadap pengundi muda.

Ironinya, tidak pula ada cadangan mengehadkan umur mengundi sehingga 55 tahun seperti orang pencen bekerja.

Idea ini mungkin boleh menghakis penyokong ideologi politik lama dalam menentukan hala tuju negara dan menghadkan lebih ramai dinasour dalam politik negara.

Persiapan tempuh cabaran baharu

Lebih baik kita menerima prinsip mengundi adalah sama rata di sisi perlembagaan persekutuan untuk semua warganegara yang waras, termasuk orang muda. Semua pengundi adalah rasional dan bebas membuat keputusan kendiri.

Masalah dalam soal pertimbangan membuat keputusan pilihan raya bukanlah kemerosotan budaya membaca semata-mata.

Isu kemahiran membaca politik dalam kalangan rakyat juga turut menjadi kebimbangan besar dalam proses membuat keputusan secara demokratik.

Membaca politik atau istilah formalnya literasi politik adalah kemahiran membina kefahaman dan kesedaran tentang soal-soal politik, pentadbiran negara, ekonomi, dan isu-isu antarabangsa.

Kemahiran membaca politik bukan sekadar tahu parti politik atau sosok pemimpin, tetapi juga alat untuk membantu rakyat membuat keputusan ke atas dasar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.

Secara teorinya, kemahiran membaca politik dapat mencipta lebih ramai pengundi berpegetahuan dan mampu memilih kerajaan yang mampu memikul tanggungjawab dengan baik.

Hakikatnya, literasi politik dipinggirkan sekian lama dan hanya dibahaskan secara aktif setelah pelaksanaan Undi18 itu berlaku pada tahun 2019.

Politik Malaysia semakin hari semakin kompleks. Pilihan raya akan berlaku dengan lebih kerap dan ia memerlukan penyertaan rakyat Malaysia yang lebih aktif dalam proses membuat keputusan, khususnya pengundi muda.

Maka, usaha memperkasa kemahiran membaca politik tidak boleh dilengah-lengahkan lagi.  

Tanpa literasi politik, situasi politik negara akan berhadapan cabaran lebih kritikal. Penyebaran berita tidak benar dan palsu akan berleluasa.

Prinsip akauntabiliti, integriti, dan ketelusan dalam sistem politik negara akan terhakis kerana kurangnya kefahaman rakyat dan anak muda tentang isu-isu semasa.

Kelemahan-kelemahan ini membuka pintu kepada masalah yang lebih besar seperti rasuah, penyelewengan, dan salah guna kuasa disebabkan rakyat kurang peduli akan situasi politik dan pentadbiran negara.

Apabila isu rasuah dan penyelewengan berleluasa, periuk nasi rakyat dan ekonomi negara akan terkesan kerana kekayaan negara hanya untuk kepentingan pihak beberapa kerat.

Debat dan advokasi politik

Ruang demokrasi perlu diperluaskan untuk memperkasa kemahiran membaca politik dalam kalangan rakyat. Penganjuran debat politik antara pemimpin yang menyentuh isu-isu dasar perlu diteruskan, khasnya melalui platform media arus perdana.

Perdebatan politik mampu mendekatkan rakyat tentang isu semasa politik di samping membantu rakyat membuat penilaian sesuatu isu secara inklusif.

Menjelang pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri pada tahun ini, perdebatan parti politik atau calon-calon bertanding boleh dianjurkan melalui media arus perdana.

Tujuannya untuk memastikan rakyat dapat menilai sejauh mana pemimpin atau calon itu mampu menjawab pertanyaan kritikal berdasarkan fakta.

Kerja advokasi adalah enjin utama dalam meningkatkan kefahaman politik rakyat. Pelaburan dari segi kos dan masa bagi program literasi politik begitu penting agar agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat, dan parti politik mampu merangka modul pendidikan politik kepada rakyat, khasnya anak muda.

Kejayaan program seperti parlimen digital yang dilaksanakan oleh Undi18 sewaktu pandemik boleh dilaksanakan oleh kerajaan dalam skala yang lebih besar sebagai program yang boleh membentuk kefahaman politik dalam kalangan anak muda.

Malah, dengan peningkatan jumlah pengundi muda berusia 18 tahun, program seperti Parlimen Belia juga perlu ditambah baik agar ia mampu melibatkan lebih ramai anak muda dalam proses membuat keputusan di peringkat kebangsaan.

Usaha advokasi dan mencipta ruang perdebatan ini adalah pendekatan berkesan dalam membentuk masyarakat yang celik membaca politik dan mampu membuat pertimbangan yang rasional di saat proses pilihan raya dijalankan.

Pemerkasaan kemahiran membaca politik untuk rakyat ini bukanlah bermaksud propaganda, informasi tidak benar, dan mesej politik sentimen terus lenyap di ruang awam.

Tetapi, ia memberi satu asas kepada rakyat dan anak muda melakukan pertimbangan yang lebih rasional dalam menilai setiap informasi yang diterima untuk membuat keputusan

Sudah tiba waktunya teori-teori politik yang dibincangkan di dalam kelas dan pejabat, dipraktikkan di lapangan bersama rakyat. Janganlah sekadar membaca buku politik sahaja tetapi lupa menyampaikannya kepada masyarakat. – 22 Januari, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia. Kini, menjadi Koordinator Penyelidik Research For Social Advancement (REFSA), badan pemikir yang progresif dan percaya Malaysia yang lebih baik untuk semua masyarakat.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen