5 maut, 5 cedera kejadian tembakan di Georgia


SEKURANG-KURANGNYA lima orang termasuk seorang pegawai polis, terbunuh dan lima lagi cedera pada Jumaat dalam satu kejadian tembakan di timur Georgia, menurut pihak berkuasa.

Penyerang melepaskan tembakan dari balkoni sebuah apartmen di bandar Sagarejo, kira-kira 58 kilometer ke timur ibu kota Tbilisi, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Kementerian Dalam Negeri.

“Penyerang turut melepaskan tembakan ke arah pekerja Kementerian Dalam Negeri… seorang daripadanya terbunuh,” menurut kenyataan itu.

Selepas pasukan keselamatan tambahan dikerah di tempat kejadian, penyerang mungkin membunuh diri dengan menggunakan senjata api. 

Menteri Dalam Negeri Georgia Vakhtang Gomelauri berkata penyerang pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Georgia dari 2006 hingga 2021.

Pihak berkuasa melancarkan siasatan terhadap serangan itu. – Bernama, 21 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen